Masa dapat panggilan dari MalaysiaKini semalam, di akhir temu bual, aku tekankan bahawa,

Politik harus pergi lebih jauh dari politik sempit yang kita fahami hari ini: kerajaan vs pembangkang. Kita mesti sama-sama bina dan bawa naratif baru dalam politik di Malaysia. Di Malaysia Muda, kita percaya kerja-kerja pemberdayaan dan penyusunan masyarakat melalui lapangan dan praktik politik, sastra dan sejarah, dan aksi awam, di akhirnya nanti adalah untuk menumbuhkan panji keadilan sosial, pembebasan dan demokrasi bagi masyarakat Malaysia yang lebih baik.

Rakyat mesti punya kesedaran bahawa rakyatlah yang paling berkuasa di negara ini. Supaya nanti, pemimpin dari parti mana pun yang naik, jika mereka zalim, menindas orang miskin, tidak berlaku adil, maka, ketika itu, rakyat sendirilah yang akan bangkit melawan pemerintah.

Barangkali, cita-cita ini terlalu jauh, tapi jujurnya, aku sendiri, sebagai anak muda, sudah muak dengan politik taksub kepartian. Bukan aku tidak baca berjuta berita dan status politik muncul di timeline aku. Tapi aku penat. Penat melihat rata-rata anak muda seumur aku, masih bingung dalam kepompong kepartian, terlalu memuja sosok, sedangkan suara manusia tertindas, orang miskin, masyarakat awam tidak diberi ruang selayaknya.

Pada aku, mahasiswa, anak muda, perlu berhenti bermain politik agama, kepartian, perkauman yang jelas-jelas memecahkan rakyat. Sebaliknya, kembalilah kepada isu-isu masyarakat hari ini. Ketika aku masuk ke kawasan Felda, bila ditanya sendiri, memang ada warga Felda yang percaya, nanti orang Cina menang, Malaysia akan dirampas. Sayang, kalau ada anak muda, yang masih menjadi agen menyuburkan kebencian, melalui ras agama dan bangsa. Aku fikir itu cuma kerja sia-sia.

Aku pasti kerja-kerja untuk turun , untuk sama-sama membentuk kesedaran sosial yang tidak hanya ‘KL Sentrik’ pasti memerlukan kerahan tenaga yang banyak, jadi aku ingin mengajak kawan-kawan, jika ada kumpulan-kumpulan kecil di tempat kalian, untuk berjumpa. Bertukar pandang untuk membentuk Malaysia yang lebih baik. Duduk dan bergerak bersama.

Jauh dalam sudut hati, aku percaya parti politik, tidak akan punya masa untuk menyusun masyarakat. Aku, kau dan kita semualah masyarakat yang akan menyusun diri mereka sendiri.

Bagi orang yang bergelumang dalam parti, pasti hanya ada 6 hari untuk bertungkus lumus habis-habisan sempena PRU 14.

Tapi bagi aku, kerja membangun semula masyarakat baru bermula. Jalan di hadapan, kitalah yang tentukan dan kita akan terus menjambatani peluang dan ruang walau terpaksa merangkak perlahan-lahan.

Leave a Reply