UMS – 167 Peserta sertai kursus kahwin

JUMAAT, 27 APRIL – Seramai 167 peserta menyertai Kursus Pra Perkahwinan anjuran Exco Kerohanian dan Pembangunan Sahsiah Jawatankuasa Kebajikan Mahasiswa (Jakmas) Kolej Kediaman Excellent (KKE), Universiti Malaysia Sabah (UMS) baru-baru ini.

Bertempat di Dewan Kuliah Pusat 16 UMS, program yang dianjurkan dengan kerjasama Mawaddah Company itu disertai peserta yang terdiri daripada mahasiswa UMS dan juga orang awam.

Pengarah Program, Mazwan Muhammed berkata, program itu bertujuan memberi pendedahan dan mendidik mahasiswa menjadi agen-agen pembangun institusi kekeluargaan.

“Di samping itu, ia bagi memberi pendedahan mengenai hubungan dalam rumah tangga, permasalahan dan cara penyelesaian serta isu-isu lain yang berkaitan,” katanya dalam satu kenyataan.

Beliau berkata, pelbagai pengisian menarik yang disampaikan oleh para penceramah yang bertauliah, antaranya Tuan Hj. Mohd Nasir Kursin, Ustazah Siti Hajar, Ustaz Malai Ali Malai Ahmad, Ustaz Baharuddin Hj. Alwi dan Ali Zainal Hj. Maidin.

“Sejujurnya, kami tidak menyangka sambutan yang begitu menggalakkan dalam kalangan mahasiswa dan orang awam dalam menjayakan kursus pada kali ini.

“Justeru, terima kasih diucapkan kepada semua peserta yang sudi untuk menghadiri kursus ini dan mudah-mudahan apa yang dilakukan ini mendapat keredhaan daripada Allah S.W.T,” tambahnya.

Hadir sama pada program itu, Pengetua KKE, Dr. Syahruddin Hj. Awg Ahmad; Timbalan Pengetua KKE, Mohd. Hilmey Saili; wakil Mawaddah Company, Saiful Farhan Baharuddin; Felo Penyelaras Program, Mat Usup Hj. Rasid; dan Yang Dipertua Jakmas KKE, Siti Irra Syahirah Mohd Yasin.

SUMBER

Leave a Reply