Mukmin – MM Jangan syok sendiri, koperasi mahasiswa lebih baik

Aku mencintai gerakan mahasiswa buktinya di tahun 2015 aku dan teman-teman membina gerakan mahasiswa yang akhirnya bertahan sehingga sekarang walaupun di saat itu gerakan mahasiswa sedang menggali kubur masing-masing pasca pergaduhan parti politik pembangkang. Aku mencintai gerakan mahasiswa buktiknya aku dan teman-teman secara kolektif menyewa pejabat gerakan mahasiswa di luar sebelum kami bergraduasi.
 –
Pejabat itu masih beroperasi dan digunakan sehingga sekarang oleh gerakan mahasiswa dan masyarakat sekeliling. Aku mencintai gerakan mahasiswa buktinya selepas bergraduasi aku masih sebaris bersama mahasiswa membawa agenda masyarakat mahasiswa.
 –
Aku dan teman-teman seorganisasi memilih untuk tidak terjun ke parti politik. Aku mencintai gerakan mahasiswa buktinya aku dan teman-teman sering saja bersolidariti dalam apa-apa saja isu mahasiswa baik ada nama besar mahu pun kecil dan tidak dipedulikan. Ini sudah menjadi sumpah kami, bersolidariti yang paling awal dan paling besar, menyumbang idea serta tenaga.
 –
Teman-teman mahasiswa jangan kecil hati kalau kita memberikan pandangan dan kritikan. Lihatlah ia secara positif untuk pembangunan gerakan mahasiswa yang lebih baik. Kita mengkritik pemerintah, kita mengkritik parti politik, kita mengkritik pentadbiran universiti dan gerakan mahasiswa juga harus bisa dikritik.
 –
Apa bezanya mahasiswa dengan dengan pemerintah, parti politik atau pentadbiran universiti kalau tidak boleh dikritik. Ambil lah secara positif, seperti Mortar Movement(MM) yang tidak dipedulikan kewujudannya dan akhir-akhir ini orang mulai mengetahui wujudnya gerakan ini. Bukankah itu suatu yang baik? belajar dari karya agung A Samad Said iaitu Buku Salina. Sebelum ia dikritik oleh orang asing karya itu tidak dipandang. Selepas dikritik ia tersebar dan menjadi karya agung.
 –
Aku orang ke-enam yang menekan butang ‘like’ di page MM dan hampir dua bulan, page itu dibuka baru 212 orang yang mengikutinya. Benar angka bukan ukurannya habis apa ukurannya dalam menilai keseriusan mengorganisasi gerakan mahasiswa? atau adakah kaedah lain untuk menilai gerakan ini?
***

Organisasi yang lemah dan syok sendiri

Sepertinya pengorganisasi MM cuma main-main dan asal ada. Ingatlah kita sering kalah dengan kejahatan yang tersusun. Untuk melawan kita juga harus lebih tersusun. Melalui page rasmi saja kita tidak lihat objektif yang jelas oleh gerakan ini. Tidak pernah ditulis sedangkan ianya wajib menjadi kenyataan terawal ketika membuka page rasmi. Page itu sangat suram dan tidak terjaga. Setiap siri syarahan Fahmi Reza di tiga kampus tiada tulisan atau dapatan yang dapat dibaca.
 –
Jadi bagaimana kami mahu memahami dan mendokong gerakan ini? di tulisan aku sebelum ini memberikan 10 soalan penting yang harus dijawab namun tidak ada pun yang sudi menjawab secara serius sepertinya soalan itu tidak penting sama seperti pemerintah selama ini mengendahkan soalan-soalan rakyatnya, sama seperti pentadbiran universiti yang sesuka hati membuat keputusan dan tidak boleh dipersoal. Jawablah secara tertutup jika tidak mampu terbuka. Ini langsung tiada.
 –
Soalan itu cukup sahaja, tidak perlu kertas kerja walau pun sepatutnya gerakan ini lebih terperinci kerana ia mahu menjelajah beberapa universiti. Kita yang jauh apatah lagi akan menerima kunjungan gerakan ini ke tempat kami maka harus atau wajib tahu perincian gerakan ini. Kita tidak boleh tunduk dan patuh saja atau angguk-angguk sebab kita semua kawan. Susunlah benar-benar organisasi gerakan sampai bila gerakan mahasiswa mahu dilekehkan oleh pergerakan massa yang lain? Aku menyambut baik gerakan MM, kritikan dan pandangan ini juga bukti mendokong gerakan ini.
***
Kenapa NGO Bukan Koperasi?
Masalah utama gerakan mahasiswa adalah soal kebergantungan iaitu tidak mampu mandiri, tidak mampu berdiri atas kaki sendiri. Aku tidak menghalang untuk membuat NGO buatlah kita akan sentiasa mendokong. Namun sekadar cakap mahu buat NGO selepas ini sangat tidak cukup. Seharusnya ada perincian yang jelas. Harus ada penceritaan dan perletakaan matlamat yang jelas agar boleh diperbahaskan lebih luas.
 –
Aku bukan tidak percaya dengan NGO namun realitinya NGO akhirnya juga akan ditunggugang oleh kepentingan-kepentingan tertentu kalau tidak pun mereka terpaksa patuh dan kaku akibat pendanaan oleh pihak tertentu. Ini realitinya, percayalah NGO tidak mampu mengangkat agenda mahasiswa yang mana perlawananya lebih besar, berselerak dan tidak berfokus. NGO kebiasaanya mengangkat satu agenda sahaja. Gerakan mahasiswa sepatutnya fokus benang perjuangannya untuk membela rakyat kelas bawah.
 –
MM selepas ini mahu jadi NGO apa? pendidikan? alam sekitar? orang asli atau tanah adat? kesenian dan kebudayaan? atau apa politik? yang akhirnya juga didanai oleh parti politik atau golongan berkepentingan. Sama seperti abang-kakak gerakan mahasiswa dahulu secara terang-terangan menjadikan gerakan mahasiswa menjadi sayap parti politik.
 –
Agenda menubuhkan NGO adalah tindakan yang ‘play safe’, ambil jalan mudah dan malas. Saya cukup paham penubuhan NGO mahasiswa ini sebenarnya atas sebab kebuntuan mencari dana. Aku sangat skeptik tentang idea membuka NGO ini sekadar untuk mencari dana.
 –

Lupakah kalian yang berteriak bahawa universiti bukan kilang yang mana sepatutnya mahasiswa mencipta pekerjaan bukan dilatih menjadi buruh? akhirnya kalian sendiri tunduk dan tak mampu mencipta apa-apa selain demonstrasi murahan. Mengapakah gerakan mahasiswa tidak berani untuk mencipta ekonomi sendiri? kenapa terus-terus mahu bergantung? sibuk mahu buat acara besar sedang duit tiada. Akhirnya gerakan mahasiswa diperhamba oleh wang. Tiada wang tiada pergerakan.

***

Koperasi?
Aku lebih berminat dengan idea mandiri iaitu mencipta sistem ekonomi secara organik. Kita sudah melalui sistem yuran ahli, sistem infak atau sumbangan ikhlas dan sekarang kenapa wang itu tidak dibangunkan? kenapa gerakan mahasiswa takut menceburi bidang keusahawanan. Menjadi penerbit buku, menjadi pencentak dan pengedar baju, membuka gerai atau restoran makanan, menjual karya-karya seni, menghasilkan produk-produk DIY dan sebagainya. Kita takut dan sangat penakut.
 –
Kita masih terperangkap dengan sistem yang diwujudkan oleh kaum pemodal, siapa ada duit dia berkuasa. Tiada usaha yang serius membangunkan perniagaan sekala kecil dan akhirnya berkembang menjadi besar. Idea ini tidaklah terlalu utopia, kita mampu, kita ada gerakan mahasiswa setiap universiti yang mampu memasarkan produk-produk keluaran mahasiswa. Ikut susunan gerak kerja koperasi, mahasiswa sangat ramai boleh menyumbang setakat RM 10 per bulan atau pertahun atau sekali seumur mahasiswa.
 –
Keuntungan boleh diagihkan secara adil kepada gerakan mahasiswa malah kita mampu mencipta pekerjaan dengan membayar gaji beberapa mahasiswa. Ingatlah tidak semua mahasiswa mampu berdiri di hadapan tapi ada mahasiswa yang sudi menyumbang tenaga dari dalam dan mengangkat agenda mahasiswa untuk masyarakat.
 –
Kita selama ini terlalu terikut dengan rentak gendang parti politik dalam bekerja. Kita memilih mahasiswa yang lantang dan populis sahaja. Sehinggakan kita lupa ada kawan yang mengambil bidang keusahawanan boleh membangun perniagaan. Kita lupa ada mahasiswa yang belajar bidang sains,  pertanian dan alam sekitar yang kita boleh guna ilmunya untuk membuat pengkajian mendalam soal kehidupan, membangun pertanian komuniti serta memperjuangkan alam sekitar.
 –
Kita lupa ada kawan kita belajar dalam bidang sosiologi dan antropologi yang mana ilmunya boleh digunakan untuk menganalisis masyarakat. Kita lupa ada teman-teman kita belajar seni yang mana karyanya boleh dipasarkan dan mampu digunakan seninya untuk melawan. Tidaklah bosan gerakan mahasiswa yang monotone yang kerja berteriak “hidup hidup mahasiswa” semaca demonstrasi.
 –
Teman-teman gerakan mahasiswa sedarlah keadaan sekeliling, banyakkanlah terjun terus ke lapangan masyarakat, tidur bersama mereka, makan apa yang mereka makan dan buatlah penelitian yang mendalam. Jangan terlalu mendongak langit yang tinggi sedang tanah mampu bermanfaat.
 –
Kesilapan kita selama ini adalah tidak mampu mengamati keadaan sekeliling sehingga kita buntu dan kaku tidak mampu berbuat apa-apa. Teruskan belajar tentang sejarah keagungan mahasiswa namun jangan lupa belajar juga hal kemahiran untuk kehidupan. Seni, pertanian, keusahawanan, sosiologi dan sebagainya.
Terima kasih hiduplah mahasiswa dengan mandiri!

Leave a Reply