Rahman – Semangat anak muda dalam PRU14

Masih ramai yang beranggapan keterlibatan anak muda dalam proses demokrasi negara tidak penting. Pada Februari tahun ini, Suruhanjaya Pilihan Raya mengumumkan seramai 3.6 juta golongan muda masih lagi tidak mendaftarkan diri sebagai pengundi. Jumlah ini mewakili 20% daripada jumlah keseluruhan pengundi di negara ini.

Cuba bayangkan perubahan dan tuntutan yang boleh dilakukan anak muda sekiranya kelompok “20%” ini menjadi pengundi. Mereka boleh menjadi “pelanggan” utama parti politik untuk dipenuhi kemahuannya kerana undi anak muda mampu menentukan parti politik yang akan memerintah. Menjelang Pilihan Raya Umum 14 ini, perbincangan anak muda dan politik tidak banyak dibincangkan secara serius.

Kongsi kereta dan menaja tiket pelajar

Ketika Perdana Menteri kita mengumumkan hari mengundi adalah hari Rabu, kebanyakan rakyat yang mempunyai komitmen (bekerja atau belajar) menyatakan rasa tidak puas hati mereka. Keluhan itu ditambah dengan fakta pada kebisaanya PRU akan diadakan pada hujung minggu atau hari yang hampir dengan hujung minggu. Meletakkan hari Rabu merupakan sesuatu yang luar biasa dan dianggap menyusahkan oleh orang ramai.

Rasa tidak berpuas hati ini menyebabkan orang ramai terutamanya anak muda membuat patisyen bagi memohon cuti umum sempena PRU14. Akibat daripada tekanan yang dipelopori oleh generasi muda yang mahir menggunakan media sosial dan internet untuk menyatakan bantahan, akhirnya hari mengundi diumumkan sebagai cuti umum.

Bukan itu sahaja, setakat ini sudah ada beberapa universiti yang memberi cuti atau pelepasan kuliah kepada mahasiswa. Tekanan mahasiswa membantu proses pelepasan kuliah ini.

Selain itu, kempen berkongsi kereta dengan hashtag #CarPoolGE14 di media sosial telah membuktikan bahawa orang muda mempunyai idea dan semangat yang boleh memberi kesan kepada proses demokrasi di negara ini. BERSIH (NGO) beranggapan pemilihan hari Rabu adalah taktik SPR untuk memastikan kadar turun mengundi pada PRU14 rendah.

Jika dakwaan ini benar, maka saya fikir taktik pemilihan hari Rabu ini berkemungkinan akan gagal. Pemilihan hari Rabu menyebabkan ramai anak muda berasa tertindas, dan akhirnya memilih untuk pulang mengundi sebagai langkah “protes” pada agenda mahu menurunkan kadar mengundi.

Apa yang lebih menarik lagi, usaha untuk memastikan anak muda ini mengundi sudah sampai ke tahap menyediakan tiket penerbangan untuk pelajar-pelajar yang berada di Borneo. Kempen seperti ini bertambah unik apabila bantuan itu diberikan tanpa sebarang syarat untuk mengundi mana-mana parti (diluar kerangka kepartian).

Jika parti politik menyediakan kemudahan ini, pastinya ia untuk melobi undi, tapi apabila ia digerakkan oleh anak muda yang tak punya kepentingan, ia sesuatu yang istimewa.

Pengumuman calon muda dan Liga Pemuda

Setakat ini sudah ada beberapa parti yang mengumumkan calon-calon muda pada PRU14 nanti. Walaupun saya beranggapan jumlahnya masih terlalu kecil, ini membuktikan parti-parti politik  melihat keperluan anak muda dalam parti mereka. Hal ini dapat dibuktikan dengan pengumuman Syed Saddiq sebagai calon PH di Muar, sentimen “muda” kerap diulang-ulang untuk melawan stigma PH hanya untuk golongan tua.

Penglibatan anak muda di Dewan Undangan Negeri dan Parlimen penting untuk membantu proses pengubalan polisi berkaitan anak muda. Kita tidak mahu “decision maker” untuk dasar-dasar anak muda digubal oleh orang-orang yang sudah terlalu tua. Fenomena “orang tua memilih untuk orang muda” sering menyebabkan polisi dan dasar anak muda itu tidak ideal, bahkan tidak dekat di hati anak muda.

Salah satu lagi aksi menarik anak muda yang perlu diberi perhatian menjelang PRU14 adalah kemunculan anak muda yang menggelarkan diri mereka sebagai Liga Pemuda. Mereka telah mengumpulkan wakil-wakil anak muda yang bakal bertanding pada PRU14 dan meminta meraka melakukan “aku janji” sebelum bertanding.

Liga Pemuda telah menawarkan 13 aku janji yang dinamakan Deklarasi Anak Muda 2017, saya fikir janji-janji ini datang daripada kolektif-kolektif anak muda (akar umbi). Secara jujurnya saya berharap mereka menawarkan calon sendiri berbanding sekadar melobi calon-calon muda Pakatan Harapan semata-mata.

Namun kita harus akui hal ini membuktikan keterlibatan anak muda dalam proses demokrasi bukan sekadar sebagai pengundi tapi mampu menjadi “pendesak dan bank idea” kepada pemerintah.

Menghargai fasa tidak tersusun anak muda

Beberapa bulan lepas saya berpeluang menghadiri sebuah bengkel anak muda dan demokrasi yang dianjurkan oleh Merdeka Centre. Melalui bengkel itu saya boleh membuat kesimpulan pergerakan anak muda dalam demokrasi berada pada fasa tidak tersusun tetapi banyak.

Selain daripada pada pergerakan pro-demokrasi, ada juga pergerakan yang sudah tidak percaya pada demokrasi kita – gerakan #undi rosak misalnya. Apa-apa pun dalam keadaan tidak tersusun ini, perbincangan anak muda dan demokrasi semakin subur dan hal ini pastinya akan mampu membawa perubahan kepada negara kita.

Leave a Reply