Hey, Rahman Kau Siapa?
Suhail

Tulisan ini merupakan hasil jawapan balas kepada kritikan Rahman Imuda, teman bicara yang romantik terhadap Jelajah Kuasa Mahasiswa bertarikh 13 hb April 2018 di laman web Nadi Siswa. Segala bentuk jawapan, respon, dan persetujuan yang ditulis harus dicermati dan dinilai oleh pembaca-boleh bersetuju atau tidak bersetuju- sebagai bentuk pembasmian budaya tunduk-patuh yang berleluasa dalam kalangan mahasiswa secara khusus.

“Janganlah sampai sejarawan masa depan menulis tentang kita: “Mereka hanya tanpa inspirasi, tiada pegangan; sau-satunya monumen merka hanyalah bekas-bekas kupon tarian, puntung-puntung rokok penyek dan dikenang sebagai kaki hiburan hujung minggu.” (The Challenge- Malayan Undergrad, Mac 1, 1955, ms. 4)

Meredith memulakan tulisan beliau dengan petikan itu sebagai satu tujahan tepat untuk mahasiswa sebelum memulakan perbincangan yang mendalam tentang status sosial dan peranan mahasiswa dalam bukunya  Aktivisme Mahasiswa Malaysia 2016.

Bab terakhir buku ini, melemparkan beberapa premis tentang bentuk-bentuk pembendungan dualiti aktivisme secara politikal. Secara struktur universiti diacu dan dilihat sebagai terasing seperti “ …mendirikan pagar, menubuhkan kampus jauh dari pusat bandar, menafikan ruang awam untuk mahasiswa berhimpuan, menyalurkan aktivisme ke arah pilihan raya  dan petisyen yang kurang bermakna, dan ko-opt aktivis mahasiswa ke dalam jentera parti politik”. (Bab 7, Politik Pembendungan Intelektual, Aktivisme Mahasiswa Malaysia, ms. 353)

Bagaimanapun, beliau juga melihat pembendungan ini secara normatif, bagaimana bentuk apresiasi mahasiswa kini yang tidak ada kepada sejarah aktivisme mahasiswa yang mengujakan, dan juga lakuna sejarah pada tempoh dan period tertentu hasil kegagalan pergerakan mahasiswa itu sendiri.

Sebelum kita menilai premis ini, adalah perlu untuk saya membawa pembaca mengenal apa itu Mortar Movement dan tujuannya sebagai salam perkenalan dan juga respond (bukan defensif) terhadap kritikan Rahman Imuda.

Gerakan ini sebenarnya mempunyai tujuan tersurat dan tersirat. Secara tersurat, kami mengambil posisi menerangkan betapa mahasiswa mempunyai maruah, tidak dipijak oleh birokrat-birokat dan politikus seperti yang berlaku hari ini. Itu yang tersurat. Manakala, yang tersirat merujuk kepada kerisauan Meredith itu sendiri; kegagalan untuk mengisi ruang-ruang pergerakan akhirnya hanya mengakibatkan kelesuan ghairah mahasiswa terhadap aktivisme mahasiswa, yang mana dipersetujui oleh Rahman.

Maka, MM mengambil kedua-dua peranan itu sekaligus, mengisi dan memberi nilai romantisme itu sendiri. Dan bagi saya sendiri, tidak ada masalah untuk “memeluk sejarah” kerana umum mengetahui fungsi sejarah adalah sebagai bentuk garis batas dan panduan untuk membina sikap dan doktrin yang efisen. Kita tidak boleh sesekali menafikan itu.

Secara teknikal, idea pergerakan MM ini lebih kepada pergerakan sejarah, bukannya pergerakan yang bercita-cita besar seperti “memancung HEP” atau “membuat sistem pengangkutan tersendiri” yang sememangnya jauh panggang dari api. Ya, mahasiswa itu golongan yang ideal, namun perlu tetap jejak pada realiti. Be realistic.

Cuma, melihat kepada tulisan Rahman, kerisauan beliau adalah apabila kita terlalu mengagungkan sejarah. Kata Rahman “bermain dengan sejarah ini sering membuatkan ramai aktivis siswa mahu jadi seperti mereka secara “copy and paste”. Ini kerisauan yang benar bahkan tidak tertolak. Namun, bukan itu yang perlu dipersoalkan oleh Rahman. Melihat kepada isu ini, saya merasakan persoalan tentang solidariti antara aktivis mahasiswa sedia ada ialah permasalahan sebenar yang perlu dibedah dan digali akarnya sehingga terjumpa punca dan direntap.

Seterusnya, kritikan saya harus menuju kepada bentuk pengolahan Rahman kerana saya melihat beberapa bentuk masalah yang agak menggusarkan kerana seingat saya, diskusi-diskusi romantik kita sudah menyentuh perkara ini. Maka, perlu untuk saya ulang dan huraikan.

Pertama, kegagalan untuk memahami demonstrasi sebagai bentuk advokasi yang diabsahkan oleh perlembagaan dan idea demokrasi itu sendiri. Kegagalan ini menjadikan munculnya bentuk skeptik yang nanar sehingga menjadi hujah untuk “mengharamkan” demonstrasi. Slogan seperti “demonstrasi bukan budaya kita”, “demonstrasi menjadikan negara tidak aman” dan sebagainya perlu di buang dan ini merupakan tanggungjawab aktivis mahasiswa seperti Rahman dan perlu dibudayakan.

Kedua, Rahman memetik komentar yang dibuat oleh audien (Yatiran) yang datang pada hari pembentangan. Sehingga hari ini ini, saya masih merasakan kegagalan untuk melihat kepada siapa nasihat itu ditujukan. Kalau ianya difokuskan kepada persembahan Fahmi Reza, maka kritikan itu lebih berbentuk kepada saranan agar intepretasi sejarah yang dibuat oleh Fahmi Reza boleh diambil dari sisi-sisi yang lain. Jikalau kritikan itu ditujukan kepada aktivis mahasiswa, maka kritikan itu berbalik keapda sang pengkritik;  sedar atau tidak apa tujuan dan aplikasi strategi yang dimainkan oleh MM itu sendiri.

Mengolah propaganda bukan semudah kita memetik api lalu mencucuh ke rokok di bibir. Tidak, bahkan tiada teori propaganda yang mutlak pun kerana segalanya bergantung pada nuansa yang ingin diaplikasikan; demografi sosial, latar belakang sejarah, pin-point personal dan banyak lagi faktor yang membentuk kepada propaganda itu sendiri. Makanya, Rahman harus jelas, kritikan itu untuk siapa.

Ketiga, unsur provokatif yang dibahasakan oleh penganjur juga perlu diteliti dengan baik. Apakah ia hanya sekadar pada “baju program” atau nilai-sarat program itu sendiri. Saya mengakui, Fahmi secara radikal membawa ketidakperluan HEP itu dalam menguruskan universiti secara absah. Namun, kita perlu jujur, apakah itu idea yang dibawa oleh penganjur? Sebenarnya, kritikan terhadap HEP itu berpaksi kepada pengaruh politik kepartian yang mengakibatkan keterlanjuran HEP itu dalam membawa universiti, lalu mengakibatkan berlakunya bias dalam pembuatan keputusan. Ini yang perlu dibawa. Universiti masih perlukan badan yang menguruskan hal ehwal universiti, namun ianya perlu bebas dari kongkongan sentimen kepolitikan kepartian.

Hazman Baharom jelas didalam bukunya Renungan Kemasyarakatan menegur  kenyataan Profesor Sahol Hamid Abu Bakar, Naib Canselor Universiti Teknologi MARA (UiTM) berhubung penglibatan tenaga kerja serta mahasiswa universiti tersebut di Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2015.

“Antara perkara yang diperlukan untuk sebuah negara demokrasi berfungsi dengan stabil dan baik adalah rakyat yang berpengetahuan serta memiliki ruang memilih. Ruang memilih ini pula, mestilah dipastikan selamat sepenuhnya—yakni tiada kes seperti jika menyokong atau tidak menyokong sesuatu parti, ada ancaman yang akan menimpa seperti dibuang kerja dan sebagainya. Selain daripada ruang yang harus dipastikan selamat (“kebebasan negatif” seperti dalam penelitian Isaiah Berlin), sebuah demokrasi yang berfungsi mesti juga memiliki warganegara yang berupaya berfikir sendiri dan bertindak secara matang. Di sinilah juga peranan institusi pengajian tinggi”. (Renungan Kemasyarakatan, ms. 174-175)

Hazman bermaksud keseluruhan artikel beliau adalah tentang bagaimana  “universiti harus memainkan peranan kerana di situlah pendidikan peringkat tinggi, yang akan mendefinisikan nilai kewarganegaraan kepada setiap generasi. Mahasiswa universitilah yang akan kemudiannya keluar ke lapangan menjadi aktivis masyarakat, pekerja profesional, pendidik, serta banyak lagi profesion yang penting. Disebabkan itu, mereka mesti menjadi warganegara yang sentiasa cakna dan aktif terlibat dalam proses demokratik negara—dan di sinilah, universiti sepatutnya mengajarkan nilai-nilai menangani perbezaan pandangan, kerana itulah esensi penting demokrasi,”.

Justeru, apabila terdapat kongkongan dalam nilai perbahasan dan pelontaran pendapat dalam universiti, universiti sudah gagal mencapai tujuan penubuhan universiti dan ini terlihat bagaimana track record HEP yang jelas “mengusir isu-isu sensitif yang mungkin meningkatkan bahang politik ruang awam”(Aktivisme Mahasiswa Malaysia, ms. 353). Saya rasa Rahman jelas terhadap pandangan ini dan kita harus bergerak untuk menebas akar permasalahan ini.

Keempat, pandangan saya terbentuk setelah melalui fasa-fasa kritikal PMIUM pasca perpecahan PAS-AMANAH sekitar 2015. Fasa itu melihat kepada bagaimana gerakan mahasiswa di Malaysia yang selama ini dimotori oleh Jemaah Islam Kampus (gerakan mahasiswa Islam sayap politik mahasiswa PAS) yang bermula daripada pengambil alihan PMIUM oleh PAS (1982) dari Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM). Semenjak itu, pelbagai sistem rekrutmen dibina sehingga mahasiswa Islam waktu itu yang terkesan dengan Revolusi Iran mengambil alih peranan menjadi enjin gerakan mahasiswa.

Penubuhan GAMIS, Pro-Mahasiswa dan indentiti-identiti mahasiswa secara gerakan, kolektif ataupun persatuan di’danai’ oleh mereka menjadi kegerunan pada pihak pemerintah atas pelbagai aksi dan tindakan yang dibuat oleh mereka. Rahman mungkin kurang jelas melihat bagaimana bentuk “gabungan” terdahulu adalah tidak mencapai bentuk gabungan, mereka dibawah satu payung besar iaitu parti politik PAS.

Berbeza dengan situasi sekarang, kemunculan kolektif-kolektif kecil seperti Demokrat di UM dan UKM, Suara Mahasiswa di UMS dan UMK, Kolektif #BantahALB di UIA termasuk persatuan besar seperti  Ikram Siswa (sekarang HARMONI), PKPIM (ABIM), PEMBINA (ISMA), dan GAMIS (PAS) melahirkan satu semangat dan definisi baru bentuk “gabungan” yang perlu ditimbulkan.

Rahman perlu jelas, bahawa sindiran “kekecewaan yang timbul daripada pengharapan” itu merupakan salah satu daripada konflik organisasi yang timbul secara alamiah. Makanya, itu bukan isu yang perlu dipersoalkan malah dijadikan bentuk sindiran Rahman dalam penulisan.

Apa yang perlu di persoalkan ialah, sejauh mana mesej-mesej “gabungan” disampaikan dan adakah apa yang telah kita lakukan selama ini (bermula pasca-konflik) sudah berjaya atau tidak.  Rahman perlu jelas dalam soal ini.

Kelima, saya menafsirkan tulisan Rahman yang beliau tulis;

“Kita jangan harapkan orang lain, termasuk yang mengaku aktivis mahasiswa, kita buat sahaja apa yang kita rasa betul. Jika orang lain ingin “support”, alhamdulillah. Jika tidak ada yang mahu bantu, pedulikan. Aktivisme bukan perlumbaan atau pemburuan gelaran siapa paling unggul.”

Sepertinya Rahman membentuk satu neraca keberjayaan bilamana kita mendapat sokongan atau tidak. Namun terlebih dahulu saya memohon maaf andai tafsiran saya jauh dari maksud yang ingin disampaikan dan saya perlu diperbetuli. Saya teruskan perbahasan dengan melihat dari sisi yang berbeza.  End goal yang menjadi impian aktivis mahasiswa ialah apabila berjaya membawa mahasiswa bercakap tentang soal masyarakat dan sekeliling serta memotivasikan mereka untuk turun kelapangan bersama masyarakat dengan membina platform-platform yang berkesan untuk mereka mencurahkan tenaga dan idea.

Dari sini, timbul masalah baru iaitu apabila kita sudah mula mencapai end goal yang dipersetujui itu, kita mungkin mengalami permasalahan yang baru seperti gerakan-gerakan mahasiswa di Indonesia dasawarsa. Mereka sudah mencapai end goal, melihat secara langsung bagaimana budaya turun kelapangan dalam kalangan mahasiswa mereka melalui pentas organanisasi sangat dikagumi bahkan gerak kerja mereka lebih terancang dan sistematik berbanding parti-parti politik di sana (mereka yang menunggang parti politik, kita di Malaysia berlaku sebaliknya).  Permasalahan sekarang bagi mereka, bagaimana untuk mengekalkan momentum sedia ada.

Menurut Mukmin, setelah jelajah mereka beberapa hari disana bersama  teman-teman Borneo Komrad, permasalahan perekonomian mereka sedang berada pada tahap yang membimbangkan. Mereka masih gagal membina ekosistem yang bagus yang menjanjikan sustainability untuk generasi akan datang.

Poinnya ialah, kita perlu jelas tentang perkara utama iaitu menyediakan platform dan sistem untuk mahasiswa. Jadi, saya mencadangkan agar kita semua (yang masih melihat kerelevenan gerakan mahasiswa dalam struktur sosial) mula menuju kearah perbincangan sistem-sistem dengan penambahbaikan dan memulakan idea-idea yang segar.

Saya masih punya beberapa point untuk menjawab kritikan Rahman tetapi saya simpan dahulu untuk Rahman atau sesiapa sahaja mahasiswa membalas tulisan saya dan Rahman. Dengan harapan, berlaku percikan momentum melalui penulisan. Adam Adli ketika berkongsi pengalaman sewaktu beliau menulis kritikan-kritikan melalui penulisan namun tidak disambut oleh mahasiswa sengkatan dengannya. Maka kita perlu mengelak untuk berlaku sekali lagi kenaifan bentuk seperti itu.

Penutup, saya petik  kata-kata almarhum Anne Frank, “How wonderful it is that nobody need wait a single moment before starting to improve the world.”

Mahasiswa Jurubicara Rakyat!
Mahasiswa, bercakaplah untuk mahasiswa!

Leave a Reply