Demo, demo dan deme.

Oleh:
Usaid Asmadi,
Aktivis Belia Harmoni Pantai Dalam

 

Selasa minggu lepas ada demonstrasi daripada mahasiswa rententan daripada isu yuran LI di UMK, isu ALB di UIA, isu Asheeq kena hukuman daripada UKM dan isu bayaran Makan Malam Kolej di UM. Pagi esoknya ada demo BERSIH 2.0 rentetan daripada usul persempadanan semula  yang dibawa oleh Dato’ Seri Najib, Perdana Menteri Malaysia yang telah diterima oleh Parlimen dengan undi 129 yang menyokong. Baru-baru ini pula RUU Antiberita Tidak Benar 2018 pula telah diluluskan dengan 123 MP menyokong usul, 64 MP menentang.

Cerita tentang demonstrasi ini aku teringat semasa aku melalui Minggu Haluan Siswa (MHS) sebagai pelajar tahun 1 kemasukan baru sesi 2017/18 di Universiti Malaya. Ada satu slot dalam MHS tu macam sesi forum di Dewan Tunku Canselor. Yang berucap mantan TNC HEPA Dato’ Rohana dan juga pemangku TNC ketika itu, Dato’ Dr Awang Bulgiba.

Dalam ucapan pemangku TNC, beliau ada pesan kepada para mahasiswa untuk tidak melibatkan diri dalam demonstrasi. Bagi beliau sebagai mahasiswa fokusnya pada pelajaran dan hal ehwal dalam kampus. Yang aku fahami, projek atau program dalam kampus. (Betulkan kalau aku salah).

Ketika sesi soal jawab dibuka, aku bangun bertanyakan tiga soalan. Salah satu soalannya adalah tentang demonstrasi.

“Dr. ada sebut supaya kami tidak melibatkan diri dalam demonstrasi. Soalannya, demonstrasi yang mana? Demonstrasi ni banyak. Ada demo rakyat, politik, petani, mahasiswa, alam sekitar, kemanusiaan dan sebagainya. Jadi Dr. maksudkan demonstrasi yang bagaimana?”, Soal aku.

Ya, kenyataan Dr terlalu umum. Jadi, situasi pukul rata jadi terlalu mudah untuk berlaku.

Dr. memberi respon kepada soalan aku. Disebabkan aku dah duduk masa Dr. jawab soalan ni, aku tak dapat nak bangun untuk mengulang semula soalan aku sebab respon Dr. tak menjawab secara terus kepada fokus soalan aku. Ya, pada aku soalan aku masih belum dijawab. Dr. tekankan kepada kesan buruk yang berlaku daripada demonstrasi seperti kerosakan, kemusnahan, ganggu trafik dan sebagainya.

Kalau itu sebabnya, pada aku bukan masalah pada demonstrasi. Tapi masalah pada kawalan dan disiplin hadirin yang terlibat yang aku fikir berpunca daripada hadirin yang tidak faham kenapa mereka hadir – salah satu faktor.

Demonstrasi adalah respon masyarakat kepada suatu isu. Ia adalah salah satu ruang untuk masyarakat awam menunjukkan luahan perasaan kepada kerajaan yang mentadbir negara atau apa-apa isu yang menggugat kepentingan sesuatu pihak. Ia juga adalah satu mesej kepada pihak yang berkenaan bahawa mereka sedar apa yang pihak berkenaan lakukan.

Mahasiswa adalah salah satu komponen dalam masyarakat awam ini. Pada aku, bukan persoalan mahasiswa boleh terlibat atau tidak dalam demonstrasi. Soalan yang lebih utama yang perlu dijawab dan diberi perhatian oleh mahasiswa adalah kenapa turun demonstrasi? Kenapa perlu untuk bersama berdemo?

Kalau jawapan ini boleh dijawab dengan baik tanpa terkait dengan sentimen, dipandu dengan akal yang rasional, maka pilihan selepas itu adalah pilihan yang punya asas. Masalah besar kepada mahasiswa adalah mereka membuat pilihan tanpa memahami pilihan yang mereka buat. Mereka membuat pilihan tanpa punya sebab kenapa mereka memilih pilihan itu.

Mahasiswa tidak memanfaatkan akal yang ada untuk berfikir. Aku tiada masalah kepada mana-mana rakan mahasiswa yang memilih untuk berdemo. Aku juga tiada masalah kalau ada rakan mahasiswa memilih untuk tidak turun berdemo.

Cuma soal aku, kenapa? Kalau ada jawapan, maka aku hormatinya walau apa pun jawapannya. Asal releven dan boleh diterima. Tapi kalau jawapannya entah, itu satu perkara yang perlu diambil perhatian semua. Apalagi kalau jawapannya ikut sahaja. Gusar sungguh hati aku kerana jelas mahasiswa tidak berdiri diatas tapak kakinya sendiri.

Dato’ Usman Awang didalam ceramahnya kepada pelajar-pelajar Malaya dan Singapura di Malaysia Hall, London, anjuran London Union of Malaysia Students (LUMS) pada 25 Mei 1970 berkata:

“Tapi yang paling penting pada seorang intelektual itu ialah sikap hidupnya. Sikap ini lahir dan menjelma daripada pendirian. Dimana intelektual kita berdiri? Apakah pendirian intelektual kita?”

Penting persoalan ini. Satu persoalan yang perlu dijawab oleh kita semua.

Mahasiswa bukankah antara kumpulan masyarakat yang didalam fasa menjadi seorang intelektual? Aku tinggalkan kalian dengan puisi yang dinukilkan oleh Sasterawan Negara Dato’ Usman Awang. Ya, kalian yang memakai baju mahasiswa.

Mahasiswa Rakyat

Dengan buku ditangan kau nyanyikan lagi itu

Meresap pada jantung bangsa

Lagu daerah Teluk Gong

Dari ruang sudut pidato

Pecahlah kaca menara gading

Kau belah jalanraya kota

Dengan berani berteriak

Untuk petani-petani yang tertindas

Lihat pancar mata ayahmu didesa

Lihat senyum ibumu di kampung

Kebanggan bahawa kau anak mereka

Dari catatan hati,

Usman Awang

‘Speakers’ Corner’,

21 Oktober 1967

Leave a Reply