oleh: Rien Sd

3 bulan yang lalu, peristiwa itu masih menujah-nujah dadanya. Beberapa hari selepas kenduri tahlil arwah suaminya, Rabi, yang ke seratus hari. Ramai kerabat bertandang. Keluarga belah suaminya dari Kinabatangan, Tawau, Kudat dan Kota Belud semua berpusu memenuhi teratak buruk mereka 3 beranak. Sebetulnya lapan tapi empat orang lagi anaknya tidak tinggal di situ. Hanya yang bongsu, Ruding yang masih berusia lima tahun.

Ada yang tidak tahu asal muasal kematian suaminya. Adik-adik tiri suaminya yang tidak mendengar khabar kematian abang mereka itu sebak dan menangis teresak-esak. Jamilah menunduk. Bahunya kendur dan rambutnya serabai. Tuala kecil anaknya tersadai di atas bahu kanannya. Sesakali bikin mengesat air matanya yang suam-suam kuku itu.

“Arwah meninggal sebab sakit teruk” ucapnya sambil menunduk ke lantai rumah.

“Beberapa minggu sebelum arwah meninggal, dia nda pernah sudah keluar bilik. Matanya merah, selalu sakit tengkuk, dan kepalanya berat, sakit menusuk-nusuk” sambungnya.

“Arwah migrain?” tanya Noni, salah seorang adik tiri suaminya.

“Ndataulah Noni. Arwah bukan mau ke hospital, takut dia ditahan di wad. Kakak bawa ke Klinik 1 Malaysia, katanya mahal betul. Tau la kan, bukan warganegara macam kami ni, empat puluh ringgit diorang cas” ada dengus kesal dihujung katanya.

Kenduri tahlil yang keseratus itu ala kadar sahaja. Lauk pauk tidak banyak. Sampul-sampul duit yang dihulur kepadanya ditolak. Belanja kenduri itupun daripada duit tabungannya. Seutas gelang emas pusaka daripada arwah mentuanya digadai.

Beberapa hari selepas itu, orang-orang Kampung Cahaya Baru menjadi riuh. Menggelabah dan tergesa-gesa. Termasuk dia. Notis daripada ESSCom dan Majlis Perbandaran telah di keluarkan. Seluruh penempatan setinggan di situ akan dirobohkan dalam masa beberapa minggu. Semua penduduk Kampung Cahaya Baru juga seingatnya Kampung Mangkalinau dan Kampung Muhibbah diminta untuk berpindah ke rumah PPR Taman Harmoni.

Jamilah menjadi kusut. Kenduri tahlil suaminya yang keseratus baru selesai. Duit belanja sudah hampir habis. Ruding pula sudah didaftarkannya sekolah untuk tahun hadapan. Sekolah di bawah kolong rumah jirannya dengan yuran lima puluh sen setiap hari.

Rajam, Rosmina, Radi dan Rupik tiada di Sabah. Anak-anaknya itu semua bekerja di Kuala Lumpur. Tiga daripada mereka menjadi pekerja di pasaraya Mydin. Rajam, yang sulung, menjadi pengawal keselamatan di sebuah sekolah rendah yang ada di Kelantan. Kebetulan anak sulungnya itu berkahwin dengan seorang gadis Kelantan, maka mereka bekerja dan terus menetap di sana.

“Jam, nak, rumah kita lusa diroboh sudah. Ada sudah notis ibu terima ni” suaranya kabur-kabur kedengaran melalui telefon bimbit.

“Jam nda dapat cuti ni bu. Mawar lagi ni sarat sudah. Mana boleh Jam balik situ kasi tinggal Mawar” balas anaknya.

“Anu bah, apply kan la ibu PPR di Taman Harmoni tu. Kau kan ada slip gaji juga?” suaranya mengharap. Jiran-jirannya ada  yang sudah mula menggulur tikar, mengemas dan berulang-alik di jambatan mengangkat kerusi meja ke atas lori.

“Yala, tengoklah nanti macam mana. Nanti Jam kol” talian terputus. Telefon dimatikan.

Jamilah memulangkan semula telefon yang dipinjamnya daripada jiran. Tiada rasa terkilan di hatinya ketika itu. Yang mula bergocoh di benaknya adalah tempat tinggal mereka berdua selepas ini. Dia dan Ruding. Dia ada adik perempuan, Rahana- berusia empat puluh lapan tahun- muda lima tahun berbanding dia yang tinggal di Kampung Karamunting. Tapi mengingatkan adiknya juga bukan orang yang senang. Anak pula ramai berderet-deret, iparnya itu cuma kerja membaiki kereta dan tayar, maka dia menjadi segan untuk menumpang di sana.

Dia risaukan Ruding. Dirinya bukan masalah utama. Barang-barang di rumahpun bukannya banyak mana. Pakaian-pakaian arwah suaminya sudah diagih-agihkan kepada sanak saudara. Bingkai-bingkai gambar lama sudah tidak bernilai lagi baginya. Dia hanya menyimpan satu potret mereka sekeluarga. Selebihnya dibiarkan mamah bersama papan kayu rumah yang bakal digusur sedikit masa lagi.

“Ding sayang, Ding mau tinggal dengan makcik Rahana? Sana ada Wawan, Toi, sama Didi. Ramai kawan Ding di sana kan? Sambil mengelap bibir anaknya yang dicomoti oleh biskut kering.

“Mau. Ding boleh main-main sama diorang. Wawan ada mainan kereta-kereta kan? Ding mau main lumba-lumba sama durang” jawab anaknya selamba. Sambil kakinya dihayun-hayun di hujung jambatan. Petang itu sunyi. Berpuluh jiran sudah berpindah. Rumah-rumah sudah mula kosong. Hanya dipenuhi lampin bayi yang kotor, plastik sampah, penyapu dan penyedok sampah yang sudah patah dan pecah. Mereka berdua berduduk di hujung jambatan. Memandang laut yang bersampah.

“Bah yala. Nanti ibu hantar Ruding sana ya. Ruding nda boleh nakal-nakal sana pulak, nanti Pakcik Burhan pukul tu Ruding” seraya mengusap kepala anaknya itu. Mengibas-ngibas habuk yang hinggap di situ.

“Ibu pigi mana?” matanya dijegilkan sambil menoleh wajah ibunya yang kusam.

“Hmm, ibu ada kerja. Nanti siap kerja, ibu datang jumpa Ruding. Kita makan mee goreng sama tauhu kari di pasar setiap pagi, mau?” pujuk Jamilah.

“Mau!”

Air matanya jatuh menorah pipi tuanya. Sudah tiga bulan dia tidak bertemu Ruding. Dia mencium-cium potret mereka sekeluarga yang dilipat-lipatnya dan diselit ke dalam poket beg pakaiannya. Entah sihat atau tidak anaknya, dia tidak tahu. Kegusarannya berombak-ombak. Hampir setiap malam dia menangis. Lebih-lebih lagi apabila melihat anak-anak kecil sebaya Ruding lalu di hadapannya.

Takut dia bertemu Ruding kerana risau kalau-kalau Ruding akan mengikutinya sedangkan dia sekarang hanya tidur beralas kotak di Stesen Bas Labuk, Pusat Bandar Sandakan. Makanpun kais pagi makan pagi, petang kadang tiada makan langsung. Beruntunglah dalam seminggu itu ada orang-orang berpersatuan datang memberi makan. Kalau tiada, terpaksalah dia mengikat perut.

Pakaian-pakaian kotornya yang lusuh dicuci di tandas awam berdekatan stesen bas itu. Lima puluh sen bayaran sekali masuk. Semakin hari pakaiannya semakin berkurang. Orang yang lalu lalang di stesen bas itu ada yang mengambil kesempatan mencuri pakaiannya ketika dia tidur. Beberapa orang yang baik datang menghulur sehelai dua pakaian terpakai.

“Makcik sudah makan? Ni ada tapau nasi”

“Belum nak, terima kasih ya” balas Jamilah. Rambut kusutnya segera disanggul. Bingkas duduk dari perbaringan.

“Ni selimut makcik. Nda sejukkah malam di sini makcik?” sambil mata anak muda berpersatuan itu melilau melihat bumbung stesen bas di situ.

“Tempias ni kalau hujan kan makcik” sambungnya.

“Sejuk juga nak. Apa boleh buat bah. Kalau hujan lebat betul, sampai mati karan, gelap ni stesen ni nak. Terpaksalah makcik pindah ke pasar. Tidur di kaki lima sana. Takut juga makcik sendiri di sini” balas Jamilah sambil mengurut-urut betis kakinya yang mengunjur lurus.

“Tu, ada sayur lebihan makcik jual tadi. Ambiklah nak. Nda habis tadi dijual” sambil telunjuknya menuding ke arah tompok sayur di atas tong ais sebelah kanannya.

“Makcik ni ada kawan di pasar tu. Kadang makcik beli 2-3 ikat lepastu jual di sini. Tapi taulah kan, depan Gentingmas Mall ni, mesti lepas jam 4 petang baru MPS nda kacau. Kalau jual awal, dirampas bah sayur makcik nak” keluhnya.

“Ndapalah makcik. Nanti besok malam kami datang lagi ke sini, kami bawakan makcik tikar yang boleh dilipat-lipat. Kotak ni nda bagus sudah ni makcik” sambil orang muda itu membelek-belek hujung kotak yang lembik dan lembab akibat terkena air hujan.

Dalam sehari, Jamilah boleh dapat RM15. Itupun kalau terjual semua sayur, ubi manis dan udang keringnya. Duit itulah bikinnya beli ubat di farmasi. Kepalanya selalu sakit, berdenyut-denyut. Dia sukar untuk tidur malam. Banyak yang berserabut di fikirannya. Rajam anak sulungnya tiada menghubunginya semula semenjak hari itu. Fikirnya, anaknya itu pasti sibuk. Lebih-lebih lagi, menantunya Mawar tengah sarat mengandung cucunya yang ketiga.

Malam demi malam berlalu. Lampu di siring jalan stesen bas itupun sudah kabur. Ada yang sudah pecah dilontar batu oleh budak-budak nakal. Bertubi-tubi ingatannya kepada arwah suaminya, Ruding, dan anak-anaknyan di Semenanjung menerpa. Badannya mula membongkok. Siang dia tidak dapat tidur apatah lagi berbaring di stesen bas itu. Orang ramai terlalu ramai, bersesak-sesak. Dia masih menunggu kalau-kalau anak-anaknya yang berkerja di Semenanjung itu pulang dan mencari dia. Memohon rumah PPR untuknya.

“Mahal juga depositnya tu. Taman Harmoni tu, sewa sampai mati tu. Itulah mungkin anakmu nda sanggup mau bayar” kata Zurina, kawannya yang berniaga di pasar. Tempatnya mengambil seikat dua sayur untuk dijual di stesesn bas.

Sebelum tidur malam itu, dia memicit-micit lengannya yang lenguh. Tengkuknya berat. Batuknya semakin keras dan menekan-nekan dadanya yang nipis itu. Sebelum melelap, seperti kebiasaan yang dia lakukan setiap malam, dia akan mencium potret mereka sekeluarga yang dilipat-lipat dalam kocek beg pakaiannya. Di siring jalan seorang perempuan tua yang kematian suami, digusur rumahnya, dan diabaikan oleh anak-anak melelapkan matanya yang kendur. Pipinya yang jatuh ditekup dengan kain tuala yang rabak.

 

Glosari:

  1. Nda – Tidak
  2. Diorang – Mereka
  3. Anu bah – Ini bah
  4. Bah – Yala
  5. Pigi – Pergi
  6. Karan – Elektrik
  7. Siring – Tepi

Leave a Reply