Gerakan Pembebasan Wanita (GWP) dengan kerjasama Buku Jalanan UIA akan menganjurkan sebuah diskusi yang bertajuk Politik Identiti dan Perjuangan Menentang Keganasan pada Isnin, 18 September jam 5 hingga 7PM di UIAM, Gombak.

Apa itu perjuangan identiti?

(oleh Gerakan Pembebasan Wanita)

Perjuangan identiti pada hari ini semakin mendapat perhatian di merata dunia. Samaada perjuangan yang berasaskan gender, mahupun bangsa dan warna kulit. Sambutan Hari Wanita pada tahun ini misalnya menyaksikan kebanjiran anak muda dan kelas pekerja yang turun ke jalanan dari seluruh dunia menuntut hak kesaksamaan gender dan memperjuangkan pelbagai isu. Kebanyakkan perjuangan-perjuangan identiti ini semakin menunjukkan tanda-tanda yang mengarah kepada perjuangan politikal.

Misalnya perjuangan Black Lives Matter yang meskipun program dan kepimpinanannya tidak mempunyai kesimpulan yang jelas dalam mengakhiri penindasan identiti, tetapi aktivis-aktivis yang turun ke akar umbi dan merasai pengalaman berhadapan dengan cabaran secara langsung semakin menjadi radikal dan mulai melihat sosialisme sebagai solusi kepada masalah mereka. Identiti secara umumnya bermaksud ciri ciri seorang individu yang dikenalpasti dalam hubungan dengan kumpulan sosial yang lebih besar.

Disebabkan seorang individu mempunyai pelbagai ciri yang berbeza-beza, biasanya ciri sosial, ataupun identiti sosial dapat meletakkan seorang individu mengikut kelompok yang berbeza. Tetapi jika diteliti, identiti sosial juga merupakan sesuatu yang amat kompleks dan mempunyai latar belakang sejarah yang pelbagai. Misalnya identiti kaum atau ras tidak semestinya mempunyai definisi yang nyata dan seringkali dibentuk oleh kelas pemerintah bagi mengagihkan rakyat dalam kategori yang berbeza. Kaum Melayu di Malaysia misalnya bukanlah terdiri daripada etnik yang sama tetapi merupakan sebuah konstruk sosial warisan pihak penjajah British dan seterusnya diteruskan di bawah pemerintahan kapitalis dalam negara. Begitu juga kaum India dan kaum China di Malaysia yang mempunyai sejarah, bahasa, budaya dan latar belakang yang berbeza beza.

Identiti itu tidak seharusnya dilihat sebagai sesuatu yang statik, kerana apabila ia berhubung dengan masyarakat, ia mempunyai potensi untuk bercampur dan melahirkan identiti atau kategori yang baru. Masyarakat Tamil di Malaysia yang telah berhijrah dari India kini mempunyai budaya dan adat yang agak berbeza jika dibanding dengan masyarakat Tamil di India. Penghijraan, perkhawinan, perkembangan dalam teknologi komunikasi dan perdagangan, perubahan alam sekitar, krisis sosial ekonomi dan banyak lagi faktor boleh mempengaruhi watak sesebuah komuniti dan seterusnya identiti seorang individu didalam komuniti tersebut. Justeru, secara asasnya, toleransi terhadap kepelbagaian identiti tidak boleh ditampung dalam sistem yang mengongkong perubahan dan perkembangan rakyat.

Tetapi realitinya, itulah yang berlaku, identiti telah digunakan oleh golongan elit yang berkuasa untuk membahagi-bahagikan kebangkitan massa. Mereka mengawal, menghapus, mengkambing hitamkan, atau menghambakan identiti identiti tertentu untuk memelihara kelangsungan sistem ini. Contohnya, secara universal, dimana sahaja sistem kelas ini dipraktikkan, golongan wanita ditindas dan diletakkan pada taraf yang lebih rendah berbanding lelaki. Perbezaan identiti diantara wanita dan lelaki ini dipergunakan untuk memecahkan perpaduan di kalangan rakyat dengan memberikan kelebihan kepada sebelah pihak. Ini memberikan peluang kepada golongan lelaki untuk menindas dan mendapat kelebihan daripada golongan wanita tanpa perlu untuk berjuang menuntut pengakhiran kepada eksploitasi yang berlaku secara am.

Dengan cara yang sama, perbezaan etnik, kaum, agama dan lain lain identiti dipergunakan oleh golongan pemerintah minoriti elit bagi mewujudkan perselisihan di kalangan rakyat dan ini akan melemahkan sebuah perjuangan kolektif. Taktik yang dikenali sebagai ‘pecah dan perintah’ ini diwarisi daripada pihak penjajah kapitalis British dan dipergunakan dalam sistem kapitalisme di seluruh dunia. Walaupun kebanyakkan daripada perpecahan identiti ini wujud dalam sistem feudal sebelum tibanya kapitalisme, apabila mengambil alih pemerintahan, sistem kapitalisme mempergunakan alat alat penindasan yang sedia ada untuk memegang pada kuasa. Oleh sebab itu, kebanyakkan perpecahan identiti yang wujud dalam sistem ekonomi feudalisme masih dilihat berkembang di bawah sistem kapitalisme juga.

Disebabkan oleh dinamika ini, setiap sejarah perkembangan kapitalisme di mana mana negara mempunyai sistem penindasan yang berbeza dan unik bagi negara tersebut. Di kebanyakkan negara, pihak wanita dan golongan minoriti akan merasai penindasan yang berganda. Begitu juga dengan nasib pekerja migran, pekerja domestik dan pelarian, terutamanya jika mereka dari golongan wanita. Walaupun majoriti daripada masyarakat dunia sedang dikawal dan ditindas oleh seglintir minoriti elit, pihak pihak tertentu akan menghadapi tekanan yang berganda berbanding pihak lain dan perkara ini berbeza mengikut sistem kenegaraan masing masing. Apparatus kerajaan seperti institusi agama, polis, undang undang dan sebagainya dipergunakan untuk menguatkuasakan penindasan ini.

Meskipun, setiap identiti menghadapi penindasan yang amat kompleks dan berbeza-beza, contohnya kawalan seksualiti terhadap golongan wanita, penghapusan etnik, dan penindasan terhadap golongan transgender, namun kesemuanya mempunyai persamaan dari segi mencari solusi. Iaitu untuk beralih dari sebuah masyarakat kelas kepada masyarakat yang disusun secara demokratik dan diberikan kuasa yang setara kepada rakyat.

Kelas kapitalis yang sedang mengawal ekonomi, politik dan hala tuju dunia tidak bersedia untuk menghapuskan penindasan identiti dan memberikan demokrasi kepada rakyat untuk menentukan hidup masing masing. Bagi kelas kapitalis, kemewahan yang sedang dinikmati adalah nikmat yang diperoleh daripada penindasan identiti yang berjaya melengahkan persoalan persoalan yang dituju ke arah sistem ekonomi yang tidak demokratik. Maka, rakyat biasa tidak boleh bergantung dengan struktur politik yang dibina hanya untuk menyebelahi pihak kapitalis, dan mula membina satu kuasa politik yang berteraskan sokongan massa. Gerakan rakyat yang membawa tuntutan identiti harus juga memasukkan tuntutan untuk mendemokrasikan sistem sosial dan ekonomi dan mencabar penguasaan sistem kapitalisme itu sendiri.

Perjuangan yang membawa tuntutan kelas akan mencetuskan sebuah gerakan bersama dengan semua kelas tertindas dan akan menggandakan kekuatan sebuah perjuangan. Ini akan memberikan sebuah potensi untuk mencapai perubahan yang nyata dan memberikan peluang untuk menggantikan sistem sosial yang menindas ini kepada sebuah sistem yang demokratik. Dengan membawa perjuangan dibawah garis kelas, rakyat juga akan berjaya merampas senjata penindasan yang paling efektif bagi kelas pemerintah, iaitu perpecahan rakyat mengikut garis identiti yang berbeza.

 

Oleh itu, Gerakan Pembebasan Wanita dengan kolaborasi Buku Jalanan UIA menjemput semua untuk memeriahkan diskusi yang akan membincangkan topik ini dengan lebih mendalam pada hari Isnin, 18 September jam 5 – 7 petang. 

#GerakanPembebasanWanitaxBukuJalananUIA

Leave a Reply