Apa Maknanya Menjadi Mahasiswa?
Rahman Imuda

 

Satu Ketika Dahulu

Tahun lepas aku dijemput untuk membentang dalam satu diskusi santai berkenaan sejarah aktivisme mahasiswa di Malaysia. Usai diskusi itu, aku dihampiri oleh seorang uncle yang berbangsa Cina, dia bercerita kepada aku berkenaan pengalamanya ketika menjadi mahasiswa di Universiti Malaya sekitar tahun 1970an. Menurutnya, pada zaman dahulu apabila ada seorang ‘anak kampung’ berjaya memasuki universiti maka satu kampung akan bergembira dan selalunya akan diadakan kenduri sebelum ‘anak kampung’ itu melangkah ke alam universiti. Ini memberi gambaran kepada kita bahawa istimewanya anak muda yang berjaya memasuki universiti dan bilangan mereka yang berjaya mendapat tawaran amat terhad jika ingin dibandingkan pada masa kini.

 

Apa Maknanya apabila Menjadi Mahasiswa? 

Saya fikir setiap mereka yang bergelar mahasiswa wajar bertanyakan soalan ini kepada diri mereka. Apabila telah menemui jawapan yang mereka rasakan betul, mereka perlu mula menyusun ‘batu-batu’ untuk mendirikan bangunan impian mereka. Falsafah pendidikan kebanyakkan mahasiswa sekarang adalah belajar bersungguh-sungguh supaya nanti akan mendapat pekerjaan yang elit, bergaji tinggi dan hidup selesa. Falsafah ini menyebabkan kebanyakkan mereka menjadi paranoid kepada pointer, mereka bimbang akan mendapat PNGK yang rendah dah akhirnya gagal mendapatkan temuduga pekerjaan. Budaya ini menyebabkan kebanyakkan masyarakat kita akan memandang nilai gred jauh lebih tinggi daripada nilai ilmu itu sendiri. Atas sebab inilah kebanyakkan masyarakat menjadi jijik apabila melihat graduan universiti melakukan pekerjaan-pekerjaan yang dianggap ‘second-class’, padahal hal itu tidaklah salah sama sekali, lebih-lebih lagi apabila kita mengambil kira faktor persaingan dan kadar pengangguran yang sedang berlaku di negara kita.

Satu persoalan yang ingin saya ajukan kepada kita semua, apakah beza diantara seorang mahasiswa dan pelajar sekolah menengah? Saya melihat sejak akhir-akhir ini tidaklah terdapat perbezaan yang ketara diantara aktiviti yang dianjurkan oleh mahasiswa dan pelajar sekolah menengah, hampir sama sahaja. Jika aktiviti, sikap dan pemikiran kita serupa dengan pelajar-pelajar sekolah menengah (tanpa merendahkan kebolehan pelajar sekolah menengah), lebih baik kita tetap belajar di sana.

Kembali kepada soalan asal saya, Apa maknanya kita menjadi mahasiswa?

ridwansyahyusufachmaddotfilesdotwordpressdotcom.jpg

Mahasiswa Kehilangan Jenamanya

Saya berpandangan salah satu faktor utama mahasiswa hilangnya ‘jenamanya’ adalah kerana keselesaan yang mereka miliki pada hari ini. Apabila kita tidak keluar daripada zon selesa dan berani mengubah norma mahasiswa yang sedia ada, maka kita tidak akan tetap statik seperti kebanyakkan mahasiswa pada hari ini. Jika kita mengimbau sejarah, kebanyakkan mahasiswa yang hidup pada zaman emas gerakkan mahasiswa (1960-an sehingga 1975) adalah mereka yang berasal daripada keluarga-keluarga miskin di kampung. Apabila ada isu seperti isu kemiskinan datang bertandang, mereka akan merasakan bahawa ini adalah isu mereka. Atas dasar ‘tidak selesa’ itulah mereka akan berpatipitasi dalam apa-apa jua diskusi, wacana atau tunjuk perasaan yang berkaitan dengan isu ini.

Dahulu mahasiswa kaya dengan idea dan solusi terhadap isu-isu kritikal yang menimpa negara. Idea-idea ini terhasil daripada program-program seperti wacana, simposium dan speakers’ corner. Ini menyebabkan jenama ‘mahasiswa’ laku di mata rakyat, sehingga rakyat sanggup berada di belakang mahasiswa. Saya sedih apabila melihat acara-acara seperti ini kurang mendapat sambutan daripada mahasiswa, mereka lebih gemar menghadiri program-program berbentuk hiburan. Program-program ilmiah yang selalu penuh adalah apabila menyentuh soal ‘cinta’ atau perkahwinan, sepertinya kebanyakkan mahasiswa kita sangat bernafsu apabila dua isu ini disentuh. Tapi apabila menyentuh isu-isu kritikal seperti dasar kerajaan, isu kebebasan akademik atau isu kemanusiaan, maka jumlah yang hadir amat sedikit jika ingin dibandingan dengan program-program ‘sekolah menengah’ yang lain. Sepertinya mahasiswa sedang memusuhi ilmu.

Solusi kepada kelesuan Mahasiswa

Tidak ada sesiapa pun yang mampu mengubah fenomena ini melainkan mahasiswa itu sendiri. Pertama mahasiswa harus sedar bahawa mereka mempunyai tanggungjawab yang besar terhadap masyarakat, agama dan negara. Apabila saya berbicara tentang aktivisme mahasiswa, ramai orang yang tersalah faham dan terus merujuk kepada aktiviti-aktiviti mahasiswa yang agak radikal seperti menunjuk perasaan atau menghantar memo ke parlimen. Bagi saya apa-apa sahaja aktiviti yang melibatkan pergerakan mahasiswa di luar kerangka akademik wajib dan dewan kuliah adalah salah satu bentuk aktivisme mahasiswa. Apa yang perlu diperkasakan adalah jenis aktivisme mahasiswa itu agar mahasiswa boleh mengecapi zaman emasnya semula.

Saya setuju dengan Objektif Gerakan Mahasiswa/Masyarakat Sivil dalam ebook  Kalau Saya Mahasiswa tulisan Saifuddin Abdullah. Saya fikir jika objektif ini dipegang erat oleh kebanyakkan persatuan mengikut prioriti masing-masing, maka kita mungkin akan memperbaiki kondisi mahasiswa yang ada sekarang. Antara 6 objektif generik tersebut ialah;

  1. Membantu mengadakan situasi dan kondisi, melalui dasar dan program yang mendatangkan kesan-kesan positif.
  2. Membantu mengadakan situasi dan kondisi, melalui dasar dan program yang menghalang dan memperbaiki kesan-kesan negatif.
  3. Membantu semasa bencan dan kecemasan.
  4. Memperjuangkan perkongian nasib dan keberuntungan sosio-ekonomi yang saksama.
  5. Memperjuangkan hak asasi manusia.
  6. Menyediakan pemimpin pewaris.

 

Saya fikir untuk permulaan, objektif di atas sesuai untuk dijadikan panduan. Melalui enam objektif ini, persatuan-persatuan mahasiswa yang ada boleh mula mencatur aktiviti dan program yang  bermanfaat dan sesuai dengan piwaian mahasiswa.

 

2014-01-26-08-33-42Sumber Gambar

HEP

Apabila Akta Universiti Kolej Universiti telah dipinda dengan memberi keizinan untuk mahasiswa berpatipitasi dengan mana-mana pertubuhan, atau badan politik di luar kampus, maka Bahagian Hal Ehwal Pelajar harus memegang prinsip ini dengan adil. Masalah utama AUKU adalah apabila tidak ada garis panduan yang jelas dalam mendefinisikan terma-terma yang ada dalam AUKU atau undang-undang tatatertib universiti itu sendiri. Perkataan seperti ‘memalukan universiti’ sering disalahgunakan untuk menghukum mahasiswa yang dianggap tidak sehaluan dengan universiti atau bersifat anti-establishment.

Mereka juga haruslah memegang falsafah untuk membangunkan dan mengembangkan potensi mahasiswa yang ada. Isu-isu diantara mahasiswa-HEP harus ditangani dengan memegang prinsip ini, lebih-lebih lagi mahasiswa merupakan salah satu stakeholders universiti.

Seterusnya, program-program utama mahasiswa seperti minggu orentasi harus diserahkan sepenuhnya kepada mahasiswa. Hal ini penting agar program itu tidaklah dipenuhi dengan tarian dan gelak ketawa semata-mata. Program orentasi merupakan program pertama untuk mahasiswa baharu, malulah kalau standard program itu sama seperti minggu orentasi sekolah menengah.

Bahagian Hal Ehwal Pelajar juga perlu sentiasa memilih pegawai-pegawai yang benar-benar terlatih dan adil dalam menangani isu berkaitan mahasiswa. Ini penting untuk memastikan pegawai itu faham apa yang sebenarnya kehendak yang sedang diperjuangkan oleh mahasiswa. Mereka harus mengelak dari memilih pegawai-pegawai yang tidak pernah terlibat sama sekali dengan aktivisme mahasiswa.

Akhir sekali, tidak keterlaluan jika saya katakan bahawa HEP perlu lebih banyak melakukan Research and Development (R&D) dalam menangani isu-isu mahasiswa. Zaman berubah, dan norma gerakkan mahasiswa juga berubah. Perkara ini perlu difahami oleh pihak HEP sebelum menghukum atau membicarakan mana-mana mahasiswa.

Kesimpulan

Kebanyakkan kita merindukan emas zaman mahasiswa. Ketika kehadiran mahasiswa di peringkat nasional benar-benar dirasai, ketika mahasiswa dirujuk untuk mengetahui isu-isu semasa dan ketika mahasiswa mampu menyediakan solusi-solusi kepada masalah-masalah yang kita sedang hadapi. Perubahan sikap mahasiswa ini perlu dimulakan dari sekarang dan ubat yang paling mujarab untuk menyembuhkan penyakit ini adalah mencintai ilmu. Revolusi tidak bermula dengan senjata semata-mata, tetapi dengan ilmu dan buku. Apabila mahasiswa itu dipenuhi dengan ilmu dan pengetahuan, maka dia tidak akan tenggelaman dalam culture of fear, dan pasti akan turun beraksi atau berpatipitasi dalam acara-acara penting mahasiswa.

Jadi anda boleh bertanya kepada diri sendiri, apa maknanya menjadi mahasiswa?

Semoga melalui tulisan ringkas ini anda akan menemui jawapan.

 

MAKLUMAT PENULIS

Rahman Imuda
Aktivis Mahasiswa
[email protected]
facebook.com/rahmanimuda

 

 

 

 

 

By Editor

Leave a Reply