Musibah : Hikmah yang Tersirat

Andzarwir Zakaria

Aktivis Belia Harmoni Nilai

 

Apa itu Musibah? Musibah boleh ditakrifkan sebagai segala sesuatu yang tidak disukai oleh manusia seperti kematian, kesakitan, kemiskinan, kesedihan dan lain – lain. Sebagai umat islam, kita mesti menerima musibah ini dengan hati yang terbuka. Setiap kali Allah menghadirkan musibah kepada kita, mungkin hati kecil kita tertanya – tanya, mengapa? Adakah Allah tidak lagi sayang kepada kita?

Dalam Islam, kita wajib meyakini bahawa takdir Allah pasti mengandungi banyak hikmah dan kebaikan. Hanya Istilah yang negatif sahaja yang berada dalam ruang lingkup pemikiran seorang manusia. Manakala di sisi Allah, segalanya punya maksud baik walaupun kadang – kadang pada zahirnya tidak begitu. Nampak sangat pahit, tetapi sebenarnya manis dan indah. Hanya setelah hikmahnya dapat dicungkil, Insha Allah.

Mengetahui hikmah sesuatu musibah akan dapat meringankan beban perasaan dan menjawab segala persoalan yang terbuku dalam jiwa kita. Ia juga adalah syarat untuk menggapai bahagia dan ketenangan jiwa. Apa pun, hanya mereka yang sempurna akal dan penelitiannya dapat menjangkau hikmah yang tersirat di sebalik cubaan dan bala yang menimpa.

Ilmuwan Islam Ibn Ataillah al – Iskandari berkata, “Apabila Allah menguji orang Islam dengan tragedi, maka mereka mesti melihat dengan mata hati, dan memikirkan dengan akal, agar tercungkil hikmahnya. Jika tidak, itu petanda penglihatan hati tidak jauh, akal yang pendek”.

Untuk mencari hikmah sesuatu musibah, kita mesti meyakini terlebih dahulu bahawa musibah adalah sebahagian ujian yang pasti menimpa manusia. Ujian ini adalah satu pendekatan Allah untuk mendidik manusia dan tiada siapa pun dapat menghindari diri kerana hidup ini hakikatnya adalah satu ujian. Allah s.w.t berfirman di dalam Al -Quran mafhumnya: ” Dia yang menjadikan mati dan hidup adalah untuk menguji siapakah dalam kalangan kamu yang terbaik amalannya.” (Surah Al – Mulk 67:2)

 

Namun begitu, Allah menguji orang Islam atas sebab – sebab yang berbeza yakni mengikut tahap hubungan dengan Allah. Berdasarkan sebab itulah, letaknya kemuliaan atau kehinaan seseorang berdasarkan sabda Rasulullah S.A.W baha ujian yang berlaku kepada manusia sama ada untuk memuliakannya atau menghinakannya.

Musibah menimpa semua manusia – tidak kira sama ada yang baik atau yang jahat. Cuma bagaimana keadaan seseorang semasa ditimpa musibah dan bagaimana dia menghadapinya.Itulah yang menentukan darjatnya di sisi Allah. Benarlah seperti kata orang kebanyakan,..” it’s not what happens to you, but it’s what you do about it.”

Bukan kerana apa yang berlaku kepada kita yang penting, tetapi apa yang kita lakukan terhadapnya. Jadi amat berbeza sekali apa yang dilakukan oleh orang yang akrab dengan Allah berbanding dengan orang yang jauh daripada Allah walaupun musibah  yang menimpa mereka adalah sama.Ya, kita memang tidak boleh mengelakkan diri daripada musibah itu tetapi kita mampu mengubah musibah itu menjadi satu kebaikan sekiranya kita dapat merasai hikmahnya dan bertindak selaras dengan hikmah tersebut.

Sehingga saat ini ditulis, Malaysia telah merekodkan 3333 kes positif Covid – 19 dan 53 kematian. Sama – samalah kita mendoakan yang terbaik untuk Malaysia agar dapat menempuh ujian dan musibah ini dengan jayanya. Kepada rakyat Malaysia, duduklah di rumah dan patuhi arahan pihak berkuasa agar kita dapat memutuskan rantaian dan penyebaran virus ini. Semoga Allah merahmati Malaysia dan merahmati kita semua. Amiin.

 

‘Negara Rahmah Ummah Sejahtera’

 

#HarmoniMembaca

#HarmoniNilai

#MencorakUniversitiBaharu

Leave a Reply