kerana Tuhan bukan suka-suka memisahkan kita
oleh: Ammar Azman
apa khabar ayam percik, air tebu dan tepung pelita?
aku sudah kepingin dengan aroma campuran asap kayu arang
dan dingin ketulan ais yang meniup embun di bucu plastik merah
dan manis santan-pandan dalam lipatan kemas kotak daun pisang
sudahkan kamu bertukar tangan di keramaian yang sesak itu
dalam keriuhan yang menjadi melodi orkestra di khalayak
sedikit ku berduka tahun ini terpaksa kita berjauhan sebentar
sementara aku terpenjara dalam jeriji besi tak kelihatan
ku fikir perpisahan kita terlalu besar hikmahnya
makin hari terasa yang terhidang terlalu cukup apa adanya
terhindar juga aku daripada melihat rakan-rakanmu
lantas tergoda.
.
apa khabar ayam percik, air tebu dan tepung pelita?
harap-harapnya kamu baik baik saja dan terus setia
ku sentiasa menanti ketibaanmu tanpa jemu
usah kamu gusar kerna aku pasti mencari cara melupakanmu (untuk seketika)
ku putuskan untuk melangkah ke gelanggang dapur
bersenjata pisau dan perisai kuali berjelaga ku
tanpa kamu, aku terpanggil tuk belajar sesuatu yang baharu
ku terima yang walau aku jahil murakkab dalam mengenali
mana bawang besar,merah atau Holland
mana ikan selar-mabung atau daun sup-ketumbar
perlahan aku belajar bertarung walaupun sukar
bangga juga merasa ayam masak merah; telur goreng kicap sendiri
perlahan ku bisik bismillah; jamah saja apa tanpa rasa iri
hei, aku harus berterima kasih
biar tanpa hadirmu, aku belajar sesuatu.
.
apa khabar ayam percik, air tebu dan tepung pelita?
it’s okay, aku sudah mampu berdiri sendiri hari ini
walaupun kadangkala melupakan itu sangat pedih dan perit
kan ku harap beberapa purnama lagi kita masih punya jodoh
usah khuatir, bara rindu ku masih menyala terang
seperti kali pertama kita bertentang mata sayu
di sebuah sore sebelum fajar terbenam
pada Ramadhan setahun yang lalu.