Cuma Sekadar Bernafas

oleh: Ammar Azman

 

Cermin. Permukaanya mencetak imej didalam fikiran aku. Lama aku merenung anak mata sendiri dan meraba muka; menerawang berfikir. Aku ni, siapa (atau apa) sebenarnya?

Dalam cermin, nampak satu kepala separuh lutsinar. Di tengahnya ada pepejal merah jambu lembik terapung-apung; seakan tali yang diikat-cantum. Pepejal itu dilitupi dengan kepingan silikon telap cahaya. Cukup kuat untuk melindungi isi dalam kepala.

Barangkali ia otak. Barangkali.

 

Aku lihat pula tangan, abdomen dan kaki. Sendi-sendi yang menyambung dengan skru dan gear. Sangat kompleks tapi kemas dengan susunan yang tepat. Perlahan jari-jemari aku regangkan perlahan macam bayi.

Soalan ‘siapa aku’ mungkin terlalu falsafah. Ia bukan aspek rupa bentuk, paras, atau pun jasad. Mungkin soal yang lebih dalam daripada itu. Atau aku bukan berfalsafah pun. Cuma syok sendiri. Acah-acah Descartes.

Sekian lama soalan tadi dimamah masa dan akhirnya aku masih buntu tak temui jawapan. Daripada pemerhatian, kau boleh bayangkan aku seperti cyborg superfisial dengan teknologi maha tinggi ciptaan kelompok erudite. Termasuk rakan-rakan aku semuanya mempunyai bentuk yang sama.

Disini, aku tinggal untuk meneruskan norma hidup. Hidup yang ­simple dan predictable. Rotasi, atau yang lebih tepat macam roda. Sangat membosankan nihil daripada kejutan dan perkara baharu.

Hari biasa aku dimulakan dengan bangun pagi, mandi, pakai baju, kemudian beratur menuju ke sebuah bilik. Semuanya seperti yang Tuan sudah arahkan. Atau lebih tepat, programkan.

 

Ya, aku sebut Tuan. Tuan adalah makhluk anonymous paling berkuasa di sini.

 

Segala apa yang Tuan bagi, aku ikut. Segala apa yang keluar daripada mulutnya. Jangan bertanya, jangan mempersoal. Jangan fikir apa makna disebalik semua ini. Lebih mudahkan hidup begini?

Lepas makan pagi, aku dan beberapa rakan masuk dan duduk di dalam sebuah bilik. Saiz yang tak terlalu besar tapi selesa. Pembelajaran akan bermula.

Hari ini Tuan ajarkan beberapa perkara (fakta dan informasi) untuk aku dan rakan-rakan. Kami mesti ingat dan faham. Atau faham dan ingat. Terpulanglah. Tapi selalunya, perkara ini semua berat dan sukar untuk dihadam.

 

Disebabkan itu, aku dan rakan-rakan selalunya akan ambil keputusan untuk hafal bulat-bulat. Satu-satu. Harfun bi harfin. Hey, tak faham pun tak apa. Bukannya pakai pun untuk hidup.

Semuanya berjalan lancar hingga tiba Hari Penentuan. Oh Hari Penentuan. Bunyinya seolah-olah Hari Kiamat. Terlalu exaggerate. Mana tak nya. Pada Hari Penentuan, aku dan rakan-rakan akan masuk ke dalam dewan besar. Besarnya hanya Tuan yang tahu!

Berapa ramai rupa bentuk yang lebih kurang aku disini tak aku kira. Masing-masing duduk di tempat yang disediakan. Jantung artifisial aku mulai berdegup laju. Gelisah, gelisah.

 

Kami semua diawasi, gerak-geri diperhati. CCTV diletakkan di setiap penjuru siling. Di atas meja ada sebuah kertas soal. Gementar terasa sewaktu Hari Penentuan. Gaya macam dalam perjalanan menghadap kematian saja.

Arahan bergema daripada corong pembesar suara;

“Test one, test two. Minta perhatian kepada semua robot, minta perhatian kepada semua robot di dalam dewan, sila muntahkan segala jawapan ke atas kertas soalan yang telah diberikan. Masa yang diberikan cuma 1 jam. Peperiksaan akan dimulakan sekarang.”

 

Sekarang kau pasti sudah tahu aku apa. Kita sama, kawan.

 

Leave a Reply