biar jalan kita berbeda
Oleh: Ammar Azman
Pipit masih lagi lena terbuai mimpi. Sang mega belum memunculkan diri dari garis ufuk timur. Tapi, awal pagi lagi dia sudah bangkit.
Mamai.
Dingin di flat tingkat 12 itu bukan biasa-biasa. Terletak betul-betul sebelah dengan hutan. Ah, Kuala Lumpur. Masih adakah hutan yang tersimpan? Biarpun dingin nyaman membelai tubuh, dia gagahi juga untuk keluar dari belaian tidur. Barangkali sudah terbiasa dengan jam loceng tak berbayar di sebelah bangunan. Kapitalis sedang berlumba-lumba membangunkan kondominium di kawasan ini.
Berdesing bunyi tiang batu pasak dihimpap besi kren. Bising ya amat, tapi dia punya pilihan apa.
Dalam gelap kamar, dia terpisat-pisat mata sambil bangkit menuju bilik air. Ubat giginya dipicit kempis hingga menipis. Hujung bulan ini, banyak barangan rumah mulai habis. Ini baru barang bilik air. Belum lagi barang dapur. Minyak, garam, gula, beras. Selesai dia members gigi, dia duduk di atas kerusi jamban. Sebatang rokok Luffman dikemam dan dinyalakan dihujung bibir. Luffman saja yang dia mampu. Bukan seperti budak-budak biasiswa yang paling cikai pun hisap Winston. Hembus dia dalam kubikel kecil itu.
Tubuh dia sedikit hangat.
Air pancuran terbuka, sekali lagi air yang sedingin air telaga kampung itu menggigit tulangnya. Segar. Lepas bersih badan, terus atas sejadah menghadap Tuhan.
Sebenarnya hari ini hari cuti, Sabtu. Mana ada budak-budak muda bangkit awal, sementelah berjaga Jumaat malam. Malam pesta muda-mudi anak-anak metropolitan. Penuh tenaga. Setelah seminggu berhempas pulas di kelas, kononnya. Tapi, dia bangun jua.
Bukan apa, siapa yang nak bayarkan yuran pengajian universitinya yang berbaki lagi 3 semester itu? Yuran pengajian bukan murah. Nak teruskan hidup dalam bandar dengan kos sara hidup tinggi pun bukan mudah. Terngiang kata-kata ibunya, duit tak mengalir macam air paip. Air paip pun kena bayar, dik.
Dia menyeluk poket kecil seluar. Kunci motor, kunci rumah ada. Sudah siap sedia untuk perjalanan jauh. Macam biasa, dia kenakan baju bewarna hijau yang dia harus pakai setiap kali kerja hujung minggu. Jaket hitam sekali dikenakan jika hujan tiba-tiba. Cuaca kadang tak menentu. Akhir sekali, baju tight hitam untuk lindung lengannya daripada sunburn.
Haih, keluh dia perlahan. Kerja belum masuk lagi. Mungkin masih terlalu awal.
TING!
Bunyi yang dia tunggu terpacul akhirnya. Nama CHERAS tertera di skrin telefon bimbit. Jauh sikit hari ini. Tak apa, terus dia accept job. Bergegas bangun dan turun dari flat. Lif flat itu makin lama makin uzur. Harap-harap dia tak lambat ambil pesanan. Takut nanti gaji dipotong. Yang pelanggan tahu merungut saja.
Motor EX5 yang berumur 6 tahun itu dihidupkan. Orang kata, naik motor ini bersabung nyawa. Jalan raya itu dah jadi macam medan kematian. 50/50 saja kebarangkalian hidup. Kalau naik kereta, masih ada peluang lagi, sebab ada perlindungan. Tapi, sudah namanya ajal maut. Dekat mana-mana pun ada orang mati. Kenapa perlu takut, kan?
Setelah enjin motornya dipanaskan beberapa minit, barulah 2 tayar nipis itu bergolek. Entah, orang mungkin fikir naik motor ini tak menarik. Tak cool untuk lelaki. Budak-budak zaman sekarang paling kurang pun mesti ada sebijik Honda. Dia sedar, bapanya bukan berpangkat dato’. Perlu cari duit poket sendiri.
Anehnya, menunggang motosikal beri dia ketenangan. Memerhati gelagat manusia atas jalan raya. Menunggang memberi peluang dia bermonolog. Berbicara dengan diri sendiri. Tentang apa yang jadi dengan masa depannya. Apa yang dia nak buat dengan duit yang dia ada. Mungkin dia terpaksa guna simpanannya nanti jika apa-apa berlaku.
Kadang-kadang terlintas di mindanya beberapa idea untuk tulisan atau puisi. Dalam helmet biru itu, mindanya tenggelam dalam dunianya sendiri. Ilham mencurah-curah keluar. Susunan aksara biasa, bisa jadi luar biasa. Tersenyum dia seorang menikmati pengalaman setiap hujung minggu pagi itu. Hanya kerna dia seorang saja tahu bagaimana nikmat di dalam dunianya sendiri.
Perjalanan ke Cheras mengambil masa beberapa minit lagi. Suara wanita dalam Waze membimbing dia ke sebuah kawasan perumahan. Beberapa blok rumah lagi mungkin akan sampai. Seratus meter kehadapan, dia terlihat ada seorang gadis di depan pagar. Menunggu dengan sabar. Throttle dipulas cepat, dan berhenti betul-betul di depan rumah bernombor 133113.
“Selamat pagi.” sambil tersenyum, menghulurkan bungkusan makanan. Gadis itu membalas kembali senyuman . Dia kembali di atas motornya, tersengih. Cantik. Bila lah aku mahu punya kekasih hati, monolog jiwanya tiba-tiba.
TING! Kerja masuk lagi. Cepat-cepat dia ambil. Kini ke Pantai Dalam. Motornya terus meluru untuk mengambil makanan yang dipesan.
Monolog tadi dibiarkan mereput sendiri. Mungkin sampai di Pantai Dalam nanti, lain pula cerita yang tertulis. Dan setiap tempat yang dia sampai, ada kisah baru yang tercipta. Pengalaman baru untuk dipelajari. Kesusahan yang sukarela menjadi guru. Ini cerita dia, mahasiswa yang struggle hidup di ibu kota.
Cerita kau pula, bagaimana?