[Kuota Matrikulasi kepada Bumiputera : MCA DAP & GERAKAN Perlu Rasional Dalam Menilai]

 

Mahasiswa AMANAH terpanggil untuk memberi respon berikutan kenyataan Dr Maszlee baru baru ini yang mengatakan bahawa ia bukanlah sesuatu yang adil dalam melonggarkan kuota program matrikulasi kepada bumiputera dalam masa yang sama para majikan masih menetapkan syarat perlu fasih berbahasa Mandarin untuk mendapatkan pekerjaan. Ini jelas menafikan hak kaum bumiputera itu sendiri.

 

Selepas daripada kenyataan itu dikeluarkan Dr Maszlee menjadi sasaran terbuka terutama dari pimpinan parti komponen Pakatan Harapan sendiri DAP dan dua Parti pembangkang Gerakan dan MCA. Dalam isu ini pertamanya kita semua perlu faham apakah aspirasi sebenar di sebalik penubuhan program matrikulasi.  Penubuhan program matrikulasi bertujuan meningkatkan bilangan pelajar Bumiputera dalam jurusan sains, teknologi dan bidang profesional bagi merealisasikan aspirasi Malaysia sebagai negara maju berpendapatan tinggi.

 

Keduanya, kita perlu akui bahawa jurang nisbah antara kaum yang terbabit dalam bidang sains, teknologi dan professional agak jauh dan kaum bumiputera masih ketinggalan jauh. Menurut statistik yang dikeluarkan oleh Majlis Perubatan Malaysia hanya 24,891 sahaja kaum bumiputera yang menceburi bidang perubatan berbanding 48,228 bagi kaum lain. Selain itu statistik dari  Lembaga Jurutera Malaysia mengeluarkan bawah  hanya 36,024 Bumiputera sahaja berbanding 101,478 kaum lain yang terbabit dalam bidang profesional itu. Jarak jurang ini sepatutnya dibincangkan dahulu sebelum menyuarakan ketidakpuasan hati kepada kuota matrikulasi kepada bumiputera . Program matrikulasi seharusnya dilihat sebagai ejen untuk memberi keseimbangan dalam dan penyertaan yang holistik kepada rakyat malaysia di dalam bidang sains dan professional ini.

 

Inisiatif Dr Maszlee dalam menambahkan kuota matrikulasi meningkat kepada 40,000 perlu dipuji kerana dilihat memberi peluang kepada rakyat malaysia untuk menyambung pelajar ke peringkat pengajian tinggi di samping saluran seperti Diploma, STPM dan lain lain. Seharusnya pemimpin MCA, DAP dan Gerakan perlu rasional dalam meletakkan kritikan didalam polisi kuota program matrikulasi ini kerana diskriminasi peluang pekerjaan dan bilangan kemasukan pelajar ke pengajian tinggi adalah dua benda yang berkait. Jika inginkan kesamarataan di dalam peluang pendidikan perlu juga wujud kesamarataan di dalam peluang pekerjaan.  Jangan kerana nampak kuman di seberang, kita terlupa ada gajah di hadapan kita.

 

Muhammad Amin Mubarak

Pengerusi

Mahasiswa AMANAH Nasional

Leave a Reply