Terpanggil untuk menulis sedikit berkenaan isu perlantikan Dr Maszlee Malik sebagai Presiden UIAM. Baru baru ini memang tular seluasnya berkenaan perlantikan beliau sebagai Presiden. Ada yang bergembira dengan perlantikan itu namun ramai juga yang tidak bersetuju dengan perlantikan Dr Maszlee Malik.
Saya antara pelajar UIAM yang mengikuti buku, thesis dan artikel beliau. Memang selalu saya mengambil ‘point of view’ Dr Maszlee untuk memahami beberapa isu semasa terutama yang berkait dengan agama dan politik. Buku buku seperti Good Governance: A Critical Introduction, Generasi Kedua Politikal Islam sudah pun dibaca termasuklah thesis dan artikel beliau seperti Rethinking The Role Of Islam In Malaysian Politics : A Case Study Of Parti AMANAH Negara. Kepakaran beliau dalam memberikan pendapat tentang isu politik, Pendidikan, keadilan dan agama memang tidak boleh dinafikan lagi.
Memahami Kebebasan Akademik dan Budaya Kerajaan Lama
Setelah tularnya Perlantikan Dr Maszlee Malik sebagai Presiden UIAM, benda pertama dilihat lihat ialah Manifesto Pakatan Harapan, Statement Rasmi Dr Maszlee sebelum ini, Perlembagaan UIAM, Statement rasmi UIAM, Pendapat senior, pensyarah uiam sendiri serta Idea idea yang dibawa Dr Maszlee berkenaan academic freedom dan good governance. Saya perlu mengakui bahawa kita semua boleh bersetuju dan menerima pelantikan DRMM jika didasari dengan latar belakang beliau, profesionalisme yang beliau ada ditambah pula bahawa beliau tidak akan menerima peruntukan 0.5 Juta daripada UIAM. Kalau diikutkan ayat politikalnya ‘ menjimatkan 0.5 Juta kepada UIAM.’
Namun kita semua kena memahami prinsip kebebasan akademik kepada universiti. Professor Awang Had Salleh di dalam syarahan beberapa dekad yang lalu menegaskan bahawa tugas utama universiti ialah menemukan kebenaran dan memperbaharuinya. Di sini kita lihat untuk menemukan kebenaran dan perbaharuinya perlu ada persekitaran yang terbuka dan bebas ditambah dengan budaya perdebatan idea dan pemikiran.
Walau bagaimanapun budaya ini tidak dapat dilakukan dengan baik jika ada kawalan yang matlamatnya berbeza. Selalunya memang kebebasan akademik akan jadi isu hangat apabila dikaitkan dengan politik. Kerana jika ada lantikan politik didalam universiti ia akan datang satu kesan yang besar di dalam pengurusan Universiti. Itu yang saya maksudkan ‘Kawalan yang matlamatnya berbeza’.
Lantikan politik di dalam universiti ini juga merupakan budaya lama daripada kerajaan Umno Barisan Nasional di mana bagi memastikan “Ghanimah” didalam institusi diagihkan kepada pihak mereka dan menutup suara suara pensyarah dan mahasiswa yang lantang mereka melantik ahli ahli mereka di jawatan tertinggi dalam “high management” universiti. Konflik kepentingan yang sangat jelas. Namun ini sekadar penerangan bagaimana budaya ini diamalkan. Saya yakin Dr Maszlee cukup kuat menentang budaya ini.
Tambahan pula jika kita lihat semula kepada perlembagaan UIAM berdasarkan Artikel 26 di dalam Perlembagaan UIAM jelas menunjukkan Presiden antara autoriti yang terbesar didalam setiap keputusan yang dilakukan oleh pihak universiti. Sebagai contoh, Artikel 26(c) memperuntukkan Presiden sebagai autoriti yang berkuasa melantik Timbalan Rektor. Justeru, sekiranya jawatan Presiden ini disandang orang yang berlatar belakang politik, ini memberi gambaran cukup jelas akan adanya campur tangan politik dalam pengurusan universiti. Saya masih tidak memahami bagaimana sesetengah pihak mengatakan lantikan presiden ini atas dasar ‘ceremonial’ tidak memberi impak dan sebagainya. Sudah terang lagi bersuluh ia memberi impak. Kebebasan akademik ini selaras dengan janji 50 di dalam buku manifesto Pakatan Harapan (m/s 134). Mengembalikan wibawa universiti awam dan pengajian tinggi.
Strategi Dr Maszlee membawa mesej Islam Progresif dan Rahmatan Lil ‘alamin
Saya juga melihat perlantikan DRMM dari sudut yang berlainan juga. Selepas Era Malaysia Baharu ini kita menyaksikan pertembungan hebat antara pemikiran melayu-muslim. Di mana kita nampak dua corak spektrum pemikiran diantara liberal (Terbuka) dan konservatif. Pagi tadi saya ada membaca beberapa argumen perlantikan DRMM sebagai presiden tulisan Prof Tajudin Rasdi, beliau juga ada menyebut tentang isu ini didalam argumennya.
Dahulunya UIAM pernah didatangi dengan seorang presiden, Anwar Ibrahim yang membawa satu bentuk pemikiran yang terbuka dan berpandangan jauh yang lebih universal dengan nilai nilai islam.
Visi Malaysia Baharu iaitu membawa satu sudut pandang Islam yang lebih progresif mungkin sukar dicapai jika kita masih direnggut dengan pemikiran islam yang terlalu konservatif dan rasis yang melampau oleh pihak pembangkang. Menurut Prof Tajudin , DRMM adalah ‘Pembawa Kedua’ untuk semangat dan gelombang Islam yang lebih progresif.
Pertempuran di era Malaysia Baharu ini bukan setakat pertempuran dari segi inisiatif terbaik pada rakyat tetapi ia juga pertempuran corak pemikiran melayu-muslim. Dengan kita menerima berita bahawa Pihak Pembangkang kini sudah bersatu.Bertambah lagi cabaran untuk kerajaan berhadapan dengan satu gerakan politik yang cukup konservatif pada agama dan bangsa. Tambahan pula munculnya Fenomena ustaz, PU dan Dai yang tidak mempunyai pandangan kritis tentang agama, dan pegawai agama yang berpikiran sempit.
Menurut Prof Tajudin juga, Satu satunya senjata untuk memerangi budaya ektremisme yang tertanam dalam era kerajaan baharu ini dengan membersihkan UIAM dan Jakim. Selama 20 Tahun UIAM telah di “Umno” nisasikan dengan budaya kotor dan pemikiran yang tertutup. Pemutihan perlu dilakukan semula pada budaya akademik dan pengurusan UIAM supaya institusi ini dapat mengetuai perjuangan melawan ektremisme bangsa dan agama di era ini.
DRMM adalah calon terbaik untuk mengepalai perjuangan ini . Beliau telah membuktikan dirinya sebagai ahli akademik yang sebenar dengan mencabar realiti keadaan umat islam di Malaysia. Seterusnya membawa mesej Rahmatan Lil ‘Alamin seperti termaktub di dalam lagu UIAM.
Kesimpulannya raikanlah kepelbagaian didalam isu ini jangan dihalang rakan rakan yang mempunyai perbezaan pendapat dengan kita. Jangan dicemuh rakan rakan yang mempunyai inisiatif tersendiri untuk mengekspresikan isu ini. DRMM sendiri pun bersetuju bahawa era Malaysia baharu ini perlu diraikan kebebasan bersuara. Fahami dan telusuri ini dengan fakta dan berhemah. Raikan perbezaan prinsip yang ada. Kegagalan terbesar didalam Malaysia Baharu ini kita masih gagal mendidik orang awam tentang kepentingan meraikan perbezaan pendapat dan memahami isu dengan baik serta dihiasi dengan emosi semata mata. Saya punyai prinsip saya anda juga punyai prinsip anda. Saling menghormati.
Disclaimer: Penulisan saya ini merupakan satu sudut pandang sahaja. Beberapa statement rasmi Dr Maszlee sudah dikeluarkan ketika beliau di Sarawak, Sabah. kita masih menunggu statement beliau apabila pulang nanti. Penulisan saya yang terakhir untuk isu ini.
Amin Mubarak
Aktivis Belia Harmoni Gombak