JIKA tidak kerana campur tangan Perdana Menteri Datuk Seri Dr. Mahathir mungkin konsert Malam Anak Desa Bersama Sudirman yang diadakan di kampus Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) pada 5 Januari 1985 dibatalkan terus kerana tentangan keras daripada Persatuan Mahasiswa Universiti Kebangsaan Malaysia (PMUKM).
Pembatalan itu terpaksa dibuat apabila bantahan sampai kepada peringkat mengancam dan sesuatu yang buruk akan berlaku jika diteruskan. Risalah-risalah disebarkan menyifatkan penganjur dan penyokong-penyokong konsert itu sebagai taghut dan kafir. Selain beberapa persatuan mahasiswa, Presiden Persatuan Kakitangan Akademik UKM (PKAUKM), Profesor Dr. Shahril Mohd Zain bertindak sendirian menyokong bantahan itu, menyebabkan beliau dikecam oleh beberapa orang pegawai dan pentadbiran kanan UKM.
Bersama-sama dengan PMUKM dalam bantahan ini ialah Persatuan Mahasiswa Fakulti Islam, Persatuan Kakitangan Akademik UKM, Persatuan Anak Kelantan, Jaksa Komsis, Persatuan Mahasiswa Sains dan Dekan Fakulti Pengajian Islam, Haji Idris Omar. Ini merupakan suatu episod hitam yang mencemarkan UKM yang pada peringkat awal perkembangannya untuk menjadi sebuah universiti berkualiti dan bertaraf nasional. Beberapa pihak menyifatkan UKM sebagai Universiti Kolot Melayu.
Sebelum peristiwa ini PMUKM mendalangi beberapa usaha dengan menghalang kegiatan kesenian dan kebudayaan di universiti itu. Bagaimanapun ini tidak sahaja berlaku di UKM tetapi juga merupakan fenomena di Universiti Malaya dan juga di UiTM di mana beberapa orang ustaz dan pengikut mereka mengecam pendidikan seni dan hiburan di institut itu.
Tenaga pengajar UiTM dan juga UKM yang progresif sering naik dan turun tangga pejabat Utusan Melayu untuk memaklumkan masalah gangguan, ugutan dan penghinaan yang sering diterima daripada golongan pelampau agama yang berfikiran sempit. Berikutan tekanan yang dihadapi, Persatuan Mahasiswa Fakulti Ekonomi UKM yang menganjurkan malam bersama Sudirman itu untuk mengutip derma bagi Pemadam dan tabung kegiatan mereka membatalkan pertunjukan itu setelah berunding dengan pihak berkuasa UKM untuk mengelakkan berlakunya kejadian tidak diingini.
Risalah disebarkan selepas sembahyang pada suatu Jumaat mengecam penganjur sebagai berotak jahiliah, berperangai kafir walaupun lidah beriman. Pembeli tiket dan penyokong pertunjukan itu dianggap sebagai orang yang mengkhianati kesucian Islam.
Utusan Malaysia adalah satu-satunya akhbar pada masa itu yang paling di hadapan dalam mendedahkan tindakan mahasiswa tersebut, mengecamnya dan memberikan sokongan kepada pihak penganjur.
Seorang tutor Jabatan Geografi UKM Abd Rahim Md. Nor telah menulis panjang dalam Utusan Malaysia 23 Januari 1985 marahkan Awang Selamat yang menyifatkan bantahan itu memberikan imej UKM sebagai universiti yang mundur ke belakang, tidak terbuka dan tidak bersifat nasional dan universal dan tidak menampakkan imejnya sebagai sebuah universiti. Tetapi lebih kepada imej pondok yang banyak terdapat di kampung-kampung terutama di Kelantan. Abd. Rahim antara lain berkata, “Ditinjau dari sudut mana pun atau oleh mana-mana pihak yang sempurna imannya, pertunjukan sesebuah konsert yang dalamnya terdapat orang atau orang-orang yang memperagakan diri, suara, gaya, emosi, gerak-geri dan pakaiannya, apalagi bila mencampur adukkan kaum wanita dan lelaki yang bukan muhrim di atas sebuah pentas dan menjadi tontonan orang ramai, hukumnya adalah haram. Ini bukan sahaja kebenaran Islam tetapi hakikat agama suci itu,” katanya.
Pembatalan konsert itu kerana ugutan, “Kalau diteruskan juga, tunggulah jawapannya pada 5 Januari” akhirnya mendedahkan sikap silent majority di kalangan kakitangan akademik dan mahasiswa universiti itu. Sepuluh buah persatuan yang bergabung di bawah Persatuan Mahasiswa mengisytiharkan mereka tidak bersama dengan PMUKM sebaliknya menyampaikan memorandum membantah pembatalan pertunjukan itu kepada Timbalan Perdana Menteri Datuk Musa Hitam di samping menuntut kerajaan menyiasat anasir luar yang berada di belakang penentangan konsert berkenaan.
Mereka menyatakan tindakan PMUKM itu tidak mewakili segenap persatuan secara menyeluruh. Beberapa pensyarah pula mengecam Persatuan Kakitangan Akademik UKM yang menyokong pembatalan konsert itu kerana perbuatan tersebut melanggar piagam universiti yang melarang para pensyarah menyebelahi mana-mana pihak mahasiswa.
Memorandum membantah pembatalan pertunjukan itu dihantar kepada Timbalan Perdana Menteri menerusi Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar UKM) Prof. Madya Dr. Abdul Halim Othman dengan salinannya kepada Menteri Pelajaran Datuk Abdullah Ahmad Badawi. Pembatalan konsert itu mengecewakan ribuan orang yang membeli tiket terutama sekali kalangan mahasiswa dan keluarga ahli-ahli akademik.
Orang ramai di luar kampus turut mengecam bantahan terhadap pertunjukan itu sebagai perbuatan “kolot dan liar” yang mencemarkan keseluruhan mahasiswa dan kakitangan UKM. Reaksi marah ini tidaklah mengejutkan kerana pada masa itu Sudirman sedang berada di puncak populariti di kalangan masyarakat berbilang kaum dari peringkat kanak-kanak, belia dan orang dewasa dan juga orang tua.
Reaksi Sudirman sendiri ialah “sedih kerana mengecewakan ramai yang telah membeli tiket.” Komposer terkenal Ahmad Nawab merasa kesal “kerana dikaitkan bantahan itu dengan Islam sedangkan Islam agama yang paling progresif,” katanya.
Presiden Persatuan Penyanyi Tanah air (PAPITA) Ahmad Daud yang juga seorang penyanyi berkata “Menyanyi memang satu profesion, suara merdu yang ada pada seseorang penyanyi itu adalah kurniaan Tuhan.”
Kontroversi ini diberikan publisiti meluas oleh akhbar Utusan Melayu dan Utusan Malaysia dan ia menarik perhatian Dr. Mahahtir yang mendorongnya memanggil saya dan juga Ketua Pengarang akhbar Berita Harian ke kediamannya yang turut disertai oleh Musa dan Abdullah.
Dr. Mahathir merasa sedih kerana mahasiswa kita yang sepatutnya mempunyai sikap terbuka dan berani untuk membuat penyesuaian dengan persekitaran dan membina ketahanan diri dalam masyarakat yang pelbagai budaya telah menampakkan diri mereka sebagai golongan yang percaya kepada pengasingan diri sebagai kekuatan.
Beliau bersetuju dengan tindakan pihak penganjur membatalkan pertunjukan Sudirman itu sebagai langkah penangguhan sementara. Tetapi beliau mengarahkan Menteri Pelajaran memastikan pertunjukan itu diadakan semula pada masa sesuai.
Berikutan dengan itu Konsert Malam Anak Desa Bersama Sudirman diadakan pada 2 Mac 1985 di Dewan Tun Abdul Razak UKM dengan mendapat sambutan yang di luar jangkaan berikutan kehadiran lebih 3,000 terutama kalangan mahasiswa dan kakitangan akademik serta keluarga mereka. Konsert itu berlangsung dalam kawalan ketat kerana ada ugutan disebarkan bahawa bala akan turun pada pukul 9.47 malam. Bagaimanapun pada detik itu seluruh penonton sedang berada dalam keadaan terpukau mendengarkan Sudirman membawakan lagu Anak Dagang.
Penonton yang mulanya berada dalam debaran sebelum pertunjukan dimulakan kerana “Selendang Merah” akan datang menghukum orang-orang kafir bertukar menjadi tenang dan ceria sebaik sahaja lampu dinyalakan dan Sudirman memulakan persembahan.
Komen yang menarik daripada seorang penonton selepas pertunjukan itu ialah “Saya tidak rasa menjadi kafir setelah menonton sebaliknya hati saya terguris dengan mesej-mesej yang disampaikan oleh Sudirman menerusi lagu-lagunya.”
Sudirman membuktikan kepada penonton bahawa beliau adalah seorang penyanyi yang menjiwai inspirasi nasional. Beliau menyelimutkan tubuhnya dengan bendera Malaysia dan menyanyikan lagu-lagu yang berunsur kecintaan pada tanah air dan kemanusiaan.
Antara lagu yang disampaikan ialah Anak Desa, Tanah Ini Tanahku, Tegakkan Bendera Kita, 31 Ogos, Balik Kampung, Ayah Dan Ibu, Warisan dan lain-lain yang menggambarkan dirinya bukan sebarang seniman tetapi seorang seniman patriotik.
Wartawan New Straits Times Sahibullah menulis dalam NST 4 Mac 1985 mengenai kejayaan hebat konsert itu dengan kata-kata “Tidak perlu ada ketakutan sama sekali jika seseorang itu percaya pada Tuhan.” Thus as you can see, there was nothing to fear at all if one puts one’s trust in God.
Suatu lagi percubaan untuk mengagalkan konsert Sudirman pada 17 Ogos 1985 oleh Persatuan Islam Universiti Malaya tidak berjaya kerana ketegasan Naib Canselor Universiti Malaya profesor Diraja Ungku Aziz.
Ungku Aziz berkata, “Pihak universiti tidak boleh membatalkan konsert ini semata-mata kerana ada pihak yang tidak menyenanginya atau beranggapan ia bercanggah dengan ajaran Islam. Kerajaan sendiri tidak mengharamkan lagu dan persembahan penyanyi Sudirman” Utusan Malaysia 6 Ogos 1985.
Perubahan dinamik sosiopolitik tanah air dengan penggabungan puak-puak politik pelampau agama dan perkauman yang berkompromi atas core values masing-masing juga menjadikan kegiatan Islam di universiti universiti lebih moderate dan rasional sekarang ini.
Tindakan demonstrasi membantah pertunjukan Sudirman seperti yang berlaku pada tahun 1985 dan juga demonstrasi bantahan terhadap majlis hiburan di Istana Kelantan dan juga di UiTM Terengganu yang dilakukan anasir pelampau Islam tidak lama dahulu, tidak mungkin akan berlaku lagi kerana ia menjadi tamparan kepada idola mereka di luar kampus dan akan menyebabkan mereka kelihatan berada di luar kesedaran baru politik puak pelampau yang menghalalkan cara untuk mencapai matlamat.
KOMEN SUDIRMAN BERHUBUNG ISU INI
“Apabila ada segelintir manusia yang mengkafirkan pertunjukkan saya, dengan hati tenang saya menghadapinya. Saya anggap ia seperti api kecil dan perlu dipadamkan sebelum ia merebak dan menjadi besar dan membahayakan,” kata Sudir dalam rancangan Selamat Pagi Malaysia (SPM) terbitan RTM pada Mac 1985.
“Dalam kerjaya saya, pelbagai cabaran dihadapi tetapi saya lalui dengan tabah kerana ini adalah pilihan saya sendiri,” katanya.