Percanggahan pendapat dalam dunia falsafah bukanlah sesuatu yang dapat dielakkan. Malah, ianya sesuatu yang asasi bagi percambahan idea.
Dari situ wujudnya “dialektika” untuk membincangkan perbezaan pendapat ini.
Dan Dialog Sokratik adalah antara dialektika yang terawal.
Dialektika merupakan wacana untuk membahaskan idea dan mempunyai 3 bahagian.
1. Thesis: Idea yang dikehadapankan.
2. Antithesis: Idea yang berlawanan yang menjadi hujah lawan kepada Thesis.
3. Synthesis: Idea di mana kedua-dua Thesis dan Antithesis mencapai resolusi.
Socrates merupakan pelopor kepada sejenis dialektika yang disebut sebagai Dialog Sokratik dalam perjalanan beliau mencari kebenaran.
Gaya dialektika yang dibawa beliau ini boleh didapati melata dalam kitab-kitab Plato seperti Republik.
Jadi apa itu Dialog Sokratik sebenarnya?
Dialog Sokratik merupakan sejenis dialektika yang menggunakan soalan atau penyataan kelemahan idea lawan untuk menolak Thesis lawan.
Soalan dan penyataan tersebut akhirnya menyerlahkan kesalahan dalam Thesis pencadang.
Dialog Sokratik bersifat “menghancurkan”. Sekalipun Socrates mampu menunjukkan kesalahan lawan beliau, para Sophist, dalam definisi “keadilan”, beliau tidak datang dengan idea baru sebagai Antithesis.
Menunjukkan kesalahan dalam makna “keadilan” tidak semestinya akan memberi makna sebenar.
Tujuan Dialog Sokratik adalah untuk membetulkan kepuasan hati para Sophist terhadap definisi idea mereka sehingga membutakan mata mereka terhadap kesalahan yang wujud dalam idea-idea yang dibawa.
Dalam pencarian terhadap kebenaran, jiwa kita harus bebas dari berpuas hati dengan apa adanya.
Sebagai contoh, dalam satu dialog tulisan Plato bertajuk Euthyphro, Plato merakamkan bagaimana Socrates menggunakan Dialog Sokratik untuk membetulkan makna “ketakwaan” atau “piety” oleh Euthyphro, seorang Sophist alim di zaman Yunani Kuno.
Euthyphro menyatakan bahawa “ketakwaan” adalah apa yang disukai oleh Tuhan-Tuhan.
Socrates membalas bahawa Tuhan-Tuhan Greek juga seperti manusia, ada pergaduhan, dan setiap pergaduhan adalah terkesan daripada sifat “suka” dan “benci” akan sesuatu.
Oleh itu, kata Socrates, akan wujud perkara yang disukai sesetengah Tuhan dan dibenci sesetengah Tuhan yang lainnya.
Dan Euthyphro bersetuju.
Socrates menambah, bahawa jika definisi “ketakwaan” oleh Euthyphro itu tepat, maka akan wujud perkara yang jika dibuat boleh dikira “bertakwa” dan “tidak bertakwa” secara serentak kerana perkara tersebut disukai dan dibenci Tuhan-Tuhan dalam masa yang sama.
Euthyphro, sekalipun mengatakan bahawa ayat Socrates tersebut adalah karut, menyedari bahawa makna “ketakwaan” yang dibawanya selama ini adalah kurang tepat.
Demikianlah bagaimana Dialog Sokratik digunapakai untuk menolak hujah pihak lawan, dengan menunjukkan kelemahan ideanya.
Namun begitu, seperti yang dinyatakan, Dialog Sokratik hanya mampu menunjukkan kesalahan lawan tanpa membawa idea tambah dalam wacana tersebut.
Aliff Naif Mohd Fizam