Semalam terlintas di timeline Twitter saya gambar Château de Versailles, Istana gah yang menjadi mercu tanda Versailles di Perancis. Teringat saya pada kisah bagaimana terbinanya Istana tersebut yang berpunca dari kegilaan kuasa seorang Menteri dan keegoan seorang Raja.
Louis XIV membina Istana Versailles menggunakan duit perbendaharaan setelah menggantikan Menteri Kewangan baginda dari Nicolas Fouquet kepada Jean-Baptiste Colbert.
Kegilaan Fouquet pada jawatan akhirnya membawa kepada terbinanya Istana Versailles.
Tapi bagaimana?
Pada 1661, Perdana Menteri Perancis untuk Louis iaitu Jules Mazarin meninggal dunia. Kekosongan jawatan tersebut menarik minat Fouquet.
Sebagai Menteri Kewangan, Fouquet hidup dalam keadaan yang sangat mewah. Dan beliau boleh dikatakan orang kuat kepada King Louis.
Fouquet menjangkakan bahawa jawatan PM akan diserahkan kepadanya. Lagipun, zaman tersebut belum wujud demokrasi untuk lagi 130 tahun.
Tetapi, secara tiba-tiba, King Louis ingin menghapuskan jawatan tersebut. Ini menyebabkan Fouquet merasakan dirinya bukan lagi kegemaran Louis.
Untuk menarik kembali hati Raja Perancis tersebut, Fouquet bertindak mengadakan parti yang teramat mewah.
Selain dari mengambil hati Louis, parti tersebut sebenarnya untuk mempersembahkan Château atau istana milik Fouquet yang baru siap yang dinamakan Château de Vaux le Vicomte.
Ramai orang kenamaan Perancis hadir pada parti malam tersebut. Antaranya La Fontaine, La Rochefoucauld dan Madame de Sévigné
Molière, penulis terhebat dalam sejarah Perancis, turut menulis suatu drama untuk parti tersebut yang mana turut dilakoni beliau. Gah gila parti tersebut!
Makanan yang dihidangkan Fouquet tersangatlah mewah, malah turut dihidangkan makanan dari Asia yang tidak pernah dijamah oleh kenamaan Perancis ketika itu.
Persembahan lagu turut dialunkan ketika King Louis menjamah makanan, untuk memuliakan baginda raja.
Setelah itu, Fouquet menemani Louis untuk berjalan-jalan di kawasan taman Vaux le Vicomte. Geometri kawasan taman tersebut teramatlah indah. Malah, air pancut Château tersebut merupakan inspirasi kepada air pancut untuk Istana Versailles yang akan dibina kemudian.
Tetamu yang hadir mengesahkan bahawa itulah parti teragung yang pernah mereka hadiri.
Keesokan hari, Fouquet ditangkap oleh Ketua Musketeer Louis, D’ Artagnan, atas alasan penyelewengan duit perbendaharaan. Dia dijatuhkan hukuman 20 tahun kurungan bersendirian di Gunung Pyrenees.
Sebagai Raja, sudah tentu Louis mempunyai ego yang sangat tinggi dan ingin menjadi perhatian semua orang.
Tindakan Fouquet, sekalipun berniat ingin memuliakan Louis, secara tidak langsung, telah mencabar ego Louis.
Louis menggantikan Fouquet dengan Colbert, seorang yang sangat terkenal kerana mengadakan parti yang membosankan. Dengan cara tersebut, Louis akan sentiasa menjadi lebih menonjol.
Colbert juga memastikan duit dari perbendaharaan yang diselewengkan sentiasa sampai ke tangan Louis.
Dengan duit tersebutlah, Louis membina Istana Versailles yang tersergam indah. Malah, Louis menggunakan arkitek, penghias dalaman dan pereka taman yang sama dengan Fouquet sewaktu membina Château de Vaux le Vicomte.
Voltaire (1694-1778), seorang penulis, sejarawan dan filsuf terkenal di Perancis ada menukilkan:
“When the evening began, Fouquet was at the top of the world. By the time it had ended, he was at the bottom.”
Aliff Naif Mohd Fizan
Setiausaha Agung Mahasiswa Keadilan Malaysia