Generasi mahasiswa ini bersilih ganti – iyalah, kitarannya pun sekadar 4 ke 5 tahun sahaja dalam kampus. Sebab itu nama pejuang-pejuang mahasiswa ini pun berubah mengikut zaman kemahasiswaan itu. Ada zaman yang kita sebut zaman Anwar Ibrahim. Ada zaman Adam Adli. Ada zaman Hanif Mahpa. Ada zaman Haziq Azfar. Setiap seorang dari nama-nama yang disebut ini ada kisahnya, likunya, pertempurannya dan kesinambungan pergulatannya.
Nama mereka ini semua disebut saja sekalipun zaman mahasiswa mereka sudah berdekad tamat. Setiap kali disebut, pastinya terbayang beberapa gambar ikonik mereka – mungkin ketika ditahan polis atau di dalam lokap atau melaung kata lawan di jalanraya. Seolahnya mereka ini terbeku dalam zamannya, digambarkan sebagai mahasiswa selamanya.
Tapi mereka ini juga manusia yang umurnya bertambah dari hari ke hari. Dalam mereka memotivasikan generasi baharu mahasiswa, mereka mendewasa, beraktivisme dalam ruang baharu, berkerja dan ada yang berkeluarga.
Kisah aktivis yang aku nak kongsikan di sini ialah kisah Anis Syafiqah, Afiqah Zulkifli, Mukmin Nantang dan Asheeq Ali.
Anis Syafiqah merupakan seorang bekas pelajar Fakulti Bahasa dan Linguistik dari Universiti Malaya. Kita semua cakna bahawa isu yang panas berlegar ketika 2016 dahulu ialah skandal 1MBD yang sekarang sedikit demi sedikit mencapai konklusi. Tapi, sejak 2016 lagi, Anis sudah pun turun ke jalanan. Lumrah sebuah protes, gerakan mahasiswa, anak muda dan gerakan sivil akan duduk berbincang tentang pergerakan.
Dari situ, Anis dipilih menjadi jurucakapnya. Jikalau tonton video protes Tangkap MO1 di YouTube, kita akan Nampak dengan jelas betapa lantangnya Anis melawan kebobrokan skandal 1MDB. Akibatnya, Anis menerima ‘surat cinta dari UM’, bak katanya sendiri bila menerima surat tunjuk sebab daripada universitinya.
Disebabkan penglibatannya, Anis telah digantung pengajiannya selama satu semester. Selepas 6 tahun perjuangannya, buah hasilnya sungguh manis – yang mana pada tahun 2022 barulah kita mendapat keadilan apabila Najib Razak disumbat ke dalam penjara.
Anis berjaya menamatkan pengajiannya di Universiti Malaya dan sekarang menjadi seorang guru di sebuah sekolah menengah kebangsaan agama di Perak. Aku sangat berharap yang Anis berkongsi kisahnya kepada anak-anak muridnya dan melahirkan lebih ramai barisan pejuang mahasiswa di masa akan datang.
Di sebelah timur Malaysia, kita ada Mukmin Nantang yang merupakan seorang aktivis yang tidak tahu untuk berhenti berjuang. Ketika zaman belajarnya di Universiti Malaysia Sabah kampus Kota Kinabalu, di berjuang supaya mahasiswa zamannya turun ke lapangan bersama masyarakat. Aku rasa mereka yang bergiat dalam dunia aktivisme pastinya tidak asing dengan organisasi Borneo Komrad.
Mukmin pada 2015 dahulu lagi sudah menggerakkan idea yang ada dalam Borneo Komrad hari ini. Sewaktu zaman mahasiswanya, Mukmin pernah bertanding untuk mendapatkan kerusi Majlis Perwakilan Pelajar.
Dalam ucapan manifestonya, dia tekankan bahawa mahasiswa perlu turun bersama masyarakat. Apa yang aku boleh katakan, biarpun dia kalah dalam pilihanraya kampus tersebut, dia tunaikan manifestonya melalui jalan aktivismenya.
Sekarang Mukmin masih aktif bergerak dengan Borneo Komrad. Fokus utama diletakkan untuk membantu mereka yang tanpa kewarganegaraan (stateless). Anak-anak yang stateless ini diberikan peluang pendidikan melalui inisiatif Sekolah Alternatif. Anak-anak Sekolah Alternatif ini pula berkhidmat kepada masyarakat melalui inisiatif Sekolah Pemulihan Gam – untuk membantu anak-anak miskin yang ketagihan gam kerana ibu bapa tidak mampu untuk membeli makanan.
Kalau ingat, sewaktu COVID-19 menggarang pada 2021, Kampung Muhibah di Tawau diletakkan bawah PKPD – kurungan kawasan paling ketat. Lebih 2 minggu penduduk kampung tidak mendapat bantuan.
Mukmin dan rakan-rakan akhirnya turun protes menuntut supaya kebajikan penduduk kampung terjaga. Tak gilakah kalau 2 minggu terkurung tanpa keperluan? Mukmin dan rakan-rakan akhirnya ditahan polis atas alasan mengingkari SOP COVID-19. Kental jiwa seorang aktivis tegar.
Sama kerasnya dengan Mukmin ialah Afiqah Zulkifli. Gadis yang mengambil jurusan seni bina di UIA ini merupakan sebahagian daripada MPP ketika zaman pengajiannya tahun 2015. Dengan kapasitinya sebagai Pengerusi Sekretariat Akademik dan Intelektual, Afiqah telah menjemput Rafizi Ramli untuk bercakap tentang GST.
Itu topik hangat ketika itu. Kalau pernah terlihat video waktu kejadian, Rafizi yang sedang bercakap di HS Square didatangi polis-polis bantuan dan pentabiran UIA. Salah seorang polis bantuan telah menampar mikrofon dari tangan Rafizi sewaktu beliau sedang berceramah. Afiqah dan Presiden MPP UIA ketika itu, Hanif Mahpa pula digantung dua semester oleh Universiti.
Sekarang di manakah Afiqah? Afiqah masih lagi aktif di ruang aktivisme, tapi sekarang sudah memasuki ruang yang berbeza. Sewaktu zaman Pakatan Harapan menjadi kerajaan, Afiqah bekerja dengan Syed Saddiq dan membantunya untuk Parlimen Muar.
Selepas Langkah Sheraton, Afiqah menjadi salah satu pengasas Parti MUDA dan kemudiannya memegang Jawatankuasa Eksekutif Pusat (JKEP) Parti MUDA. Sewaktu Piliharaya Negeri Johor 2022, Afiqah merupakan calon MUDA untuk kerusi Bukit Kepong. Walaupun kalah dalam PRN tersebut, Afiqah masih meneruskan baktinya di Parlimen Muar dan MUDA.
Kisah yang terakhir yang ingin aku kongsikan ialah tentang aktivis dari UKM, Asheeq Ali. Kalau pernah dengar nama Demokrat UKM, Asheeq ialah pengasas kepada gerakan mahasiswa kampus UKM yang masih teguh bergerak pada hari ini.
Asheeq menyerlah sewaktu menjawat jawatan sebagai Presiden Gerakan Pembebasan Akademik IPT (GPA IPT). Ketika itu, Dr. Maszlee Malik merupakan Menteri Pendidikan yang bertanggungjawab ke atas urusan universiti.
Asheeq dan rakan-rakan dari GPA tidak berpuas hati dengan Dr. Maszlee selepas pelantikannya sebagai Presiden Universiti Islam Antarabangsa (UIA). GPA menuntut supaya Dr. Maszlee menghormati manifesto Pakatan Harapan tentang kebebasan akademik dan memberi autonomi kepada universiti tanpa campur tangan ahli politik.
Pada 7 September 2018, Asheeq dan rakan-rakan aktivis melakukan protes di hadapan Kementerian Pendidikan sebelum ditahan pihak polis bersama Nurizzah Mohd Tazali. Beberapa hari selepasnya, Asheeq bertemu dengan Dr. Maszlee untuk menyatakan lagi bantahannya di Restoran Amjal. Masing-masing tidak mendapat persetujuan bersama ketika itu.
Asheeq sekarang sudah menjadi seorang peguam di firmanya sendiri, Asheeq Ali & Co. Tahun 2021, Asheeq akhirnya mendaftarkan diri menjadi anggota Parti Keadilan Rakyat (KEADILAN). Beliau memasuki parti tersebut bersama-sama rakan aktivis yang lain seperti Adam Adli dan Suhail Wan Azahar.
Walaupun bukan lagi bergelar mahasiswa, semangat aktivisme zaman belajarnya masih dibawa lagi hingga sekarang. Buktinya dan juga sekadar cerita tambahan, Asheeq merupakan peguam aku sekarang setelah aku didakwa di mahkamah untuk Himpunan TURUN pada Ogos 2022.
Empat nama yang aku catatkan ini hanyalah sebahagian kecil dari ratusan, mungkin ribuan, aktivis mahasiswa yang telah berjuang ketika zaman mereka. Nama bersilih ganti, tapi semangatnya tetap bersambung di setiap generasi. Sehingga sekarang pun, nama-nama mereka ini tidak lekang disebut mahasiswa; mungkin menyeru keberanian dalam perjuangan. Begitulah, harimau mati meninggalkan belang, manusia mati meninggalkan nama.
Artikel ini ditulis oleh Aliff Naif Mohd Fizam dan tidak semestinya mewakili pandangan NadiSiswa.