Terima Kasih, Kerana Anda Juga Frontliners

 

“ I can no other answer make but thanks, and thanks, and ever thanks…”

-William Shakespeare

 

“Terima kasih” mempunyai dua patah perkataan yang sangat memberi kesan kepada individu dan masyarakat iaitu “terima” dan “kasih”. “Terima” bererti kita menerima sesuatu yang mempunyai nilai baik bagi kita dan kita menerimanya, manakala “kasih” adalah tanda syukur dan perasaan sayang kita sebagai manusia terhadap orang yang memberi tersebut.

Pada era globalisasi kini, masyarakat khususnya anak muda semakin hilang mengungkapkan ucapan terima kasih, walhal ucapan ini adalah kebanggaan warisan masyarakat Malaysia yang hidup dalam berbilang kaum.Kebanggan ungkapan inilah yang menyatukan kita semua sebagai rakyat Malaysia. Bagi orang Cina, ia disebut ‘xie xie’, bangsa Arab, ‘syukran jazilan’, bahasa Inggeris, ‘thank you’ dan orang India pula menyebutnya sebagai ‘Nandri’. Biar pun ucapannya berbeza namun tujuan dan maksudnya masih sama.

Kebiasaannya ungkapan terima kasih akan disusuli dengan perkataan ‘sama-sama’ sebagai tanda penghargaan daripda kita terhadap orang yang telah memberikan sesuatu. Imam Al-Ghazali menyebut bahawa ungkapan Syukur tertinggi adalah ketika kita juga boleh berkongsi dengan pemberian tersebut (iaitu dengan membalas ungkapan sama-sama).

Berikut saya senaraikan mengapa ungkapan terima kasih ini begitu penting.

  1. Menguatkan kesihatan mental.
  2. Mengeratkan hubungan antara masyarakat,kawan dan keluarga.
  3. Meningkatkan kepercayaan diri.
  4. Mudah menerima dan memberi bantuan kepada orang yang memerlukan.

 

Frontliners

Dalam hidup bermasyarakat, kita pasti saling memerlukan bantuan orang lain. Tidak semua perkara kita mampu lakukan bersendirian. Kerana itulah Allah menciptakan kita untuk saling melengkapi antara satu sama lain.

Di saat dunia berdepan ancaman wabak Covid-19, semua frontliners adalah wira yang tidak didendang terutamanya dalam sektor perubatan. Masyarakat perlu membalas pengorbanan mereka dengan mengucapkan terima kasih sama ada berbentuk lisan mahu pun dalam media elektronik. Bantulah mereka dengan kekal duduk di rumah, patuhi segala garis panduan yang dikeluarkan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia dan saranan daripada Kerajaan.

Tidak lupa juga frontliners dalam sektor pendidikan terutamanya Institut Pengajian Tertinggi. Tidak dinafikan ada wujudnya usaha untuk membawa pulang mahasiswa ke kampung halaman masing-masing, akan tetapi soal keselamatan pelajar dan negara menjadi keutamaan ketika ini,

Saya menyeru kepada semua mahasiswa, lazimkanlah diri untuk mengucapkan perkataan terima kasih kepada semua warga kerja Universiti, tidak kisahlah kepada pengawal keselamatan, pengusaha kafetaria, pembersih bangunan, Pusat-pusat Tanggungjawab Universiti, Hal Ehwal Pelajar serta Majlis Perwakilan Pelajar yang sentiasa membantu dan menjaga kebajikan mahasiswa sejak PKP fasa pertama lagi. Mereka juga adalah frontliners yang tidak didendang. Ucapan terima kasih ini dapat mengembalikan semangat mereka ketika penat kerana dihargai. Hal ini menunjukkan bahawa mahasiswa mempunyai nilai-nilai serta sahsiah yang terpuji dalam diri.

Selain itu, tidak lupa juga untuk mengucapkan terima kasih kepada semua pensyarah yang berdedikasi kerana berusaha untuk menyampaikan ilmu melalui onine learning dan memastikan kebajikan akademik mahasiswa terjaga. Kepada mahasiswa, jagalah adab kita dengan pensyarah supaya keberkatan ilmu itu terjaga. Hal ini kerana, Akhlak yang baik menjadi perhiasan Mahasiswa. Kata guru saya “Adab tiada, berkat tiada”.

Kepada ibu bapa dan ahli keluarga tersayang, ucapkanlah terima kasih kepada mereka. Mereka ini banyak membantu kita sehinggalah kita berjaya masuk ke alam Universiti. Hargailah masa,wang dan pengorbanan mereka untuk kita. Kerana ucapan ini, adalah kunci penyatuan kasih sayang di antara ahli keluarga. Mereka adalah  frontliners di hati kita.

Doa tanda berterima kasih.

Dari Usamah bin Zaid RA bahawasanya Rasulullah SAW bersabda :

 

“Barangsiapa yang diberikan satu perbuatan kebaikan kepadanya lalu dia membalasnya dengan mengatakan “Jazaakallahu khairan (semoga Allah membalasmu dengan kebaikan), maka sungguh hal itu telah mencukupi dalam menyatakan rasa syukurnya.”

(HR. Tirmidzi)

Maka, sebaik-baik ucapan terima kasih ialah ucapan berbentuk doa kepada orang yang berjasa kepada kita.

Akhir sekali, ucapan terima kasih itu sebenarnya merupakan penghargaan atas jasa orang lain kepada kita. Ringankanlah mulut untuk kita mengucapkan terima kasih walaupun ianya hanya kebaikan yang kecil. Ucapan terima kasih itu nampak seperti tiada apa-apa, namun jika diucapkan pasti akan memberi seribu satu makna kepada penerimanya. Mahasiswa yang intelek adalah mahasiswa yang mempunyai adab.

Jadilah mahasiswa yang bersyukur. Mari bersama-sama kita memutuskan rantaian wabak Covid-19 ini. #kitamestimenang

 

Aiman Faiz Zaidi

Mahasiswa Universiti Malaysia Kelantan

Kampus Jeli

Leave a Reply