Sepanjang saya menceburkan diri dalam projek kemanusiaan sebagai jurugambar, saya mempunyai satu visi untuk meletakkan kaum pelarian di dalam lampu utama bagi menyuluh kehidupan mereka sebagai seorang manusia. Makanya salah satu daripada objektif saya adalah untuk mewujudkan satu diskusi intelektual daripada rakaman pegun kehidupan mereka.
Jurugambar yang ideal bagi saya adalah mereka yang mempunyai daya intelektualism seperti seorang ahli akademik. Ini kerana gambar merupakan sebuah sumber primer yang mana setiap visual yang dirakam mempunyai pelbagai data kualitatif yang dapat diterjemah dan dibincangkan akan konteks latarnya sendiri. Oleh itu, seorang jurugambar yang berwibawa adalah mereka yang mempunyai pengetahuan akademik yang tinggi, pada masa yang sama mempunyai kecaknaan dalam isu-isu semasa demi membawakan sebuah sumber primer yang sangat penting dalam merakam sesuatu peristiwa.
Saya membawakan satu gambar yang sangat penting sepanjang penceburan saya dalam projek kemanusiaan yang mana saya ingin berdiskusi akan naratif sebuah gambar ini secara intelektual melalui penterjemahan visual. Gambar yang saya paparkan adalah gambar dua orang kanak-kanak Rohingya, seorang lelaki yang berusia sekitar 6-7 tahun dan seorang perempuan yang berusia sekitar 9-10 tahun yang mana mereka menetap di Alor Setar, Kedah. Saya menggunakan Nikon F5 dan lensa Nikkor 24mm f2.8 ai-s yang dibantu oleh pencerah (flashgun) Nikon SB-28 yang dipancar (exposed) di atas lapisan seluloid Kodak Colourplus 200. Latar teknikal untuk pancaran (exposure) gambar ini pula adalah 1/60 bagi kelajuan pengatup (shutter speed), f5.6 bagi tetapan bukaan dan juga tetapan otomatik bagi pencerah.
Gambar ini memaparkan kanak-kanak lelaki yang memakai baju pasukan bolasepak Kedah dan beliau menggayakan seperti menunjuk kuat dengan ekspresi muka yang garang manakala kanak-kanak perempuan pula memakai pakaian berwarna merah jambu dan menggayakan simbol keamanan di jarinya sambil tersenyum. Kedua mereka jelas memaparkan ciri tetapan jantina mereka yang mana kanak-kanak lelaki ini menunjukkan gaya yang maskulin manakala kanak-kanak perempuan menunjukkan gaya yang feminin. Kedua-dua mereka menunjukkan naratif yang jelas akan latar demografi mereka yang mampu diterjemah visualnya untuk diterangkan.
Mereka berdua lahir di Malaysia, dan kedua-dua mereka lebih banyak berbahasa Melayu berbanding bahasa ibunda mereka sendiri. Baju jersi pasukan Kedah ini jelas menunjukkan bahawa mereka bercakap dengan dialek Kedah, satu petunjuk bahawa mereka sememangnya sudah mula berasimilasi dengan budaya tempatan. Situasi ini jelas menunjukkan yang mereka mula menerima budaya Melayu dengan mudah kerana faktor ugama yang sama. Di Malaysia, adalah mudah bagi komuniti minoriti untuk diterima dan diserap masuk “menjadi Melayu” jika mereka berugama Islam dan berbahasa Melayu, situasi yang sama dapat dilihat di dalam komuniti Mamak dan juga Arab. Malahan, individu berbangsa Cina yang fasih bertutur bahasa Melayu juga akan dilayan seperti orang Melayu itu sendiri.
Gaya tangan kanak-kanak perempuan pula menunjukkan simbol keamanan yang mana ia seakan metafora sayu situasi etnik mereka. Di tanah ibunda mereka ditindas, ditidakkan identiti mereka, dibantai populasinya dan dihalau dari kampungnya. Di Malaysia yang dilihat sebagai harapan baru pula disisih masyarakat tempatan dengan pelbagai tohmahan buruk. Makanya gaya tangan beliau seakan ingin menyampaikan mesej keamanan supaya menghentikan peperangan untuk mereka hidup dengan kebahagiaan dan kesamarataan sosial yang setara dengan etnik lain di mana-mana negara. Paparan yang menunjukkan kegembiraan mereka bermain seperti kanak-kanak etnik lain yang punya hak kewarganegaraan juga menunjukkan bahawa mereka juga seorang manusia dan seperti kanak-kanak lain yang harus diberi hak kemanusiaan yang samarata.
Berdasarkan penterjemahan ini, mereka mempunyai satu krisis yang bakal menamatkan kelangsungan mereka sebagai etnik Rohingya. Walaupun sesetengah daripada mereka hanya menetap di Malaysia sebagai transit sebelum berhijrah ke negara seperti AS dan Australia, tetapi mereka yang lahir dan membesar di Malaysia akan menghadapi krisis identiti kerana tidak lagi mengamalkan budaya etnik mereka, sebaliknya telah menyerap kebudayaan Melayu atas faktor persamaan ugama. Tambahan pula, Malaysia tidak meratifikasi Refugees Convention 1951 yang memberikan hak samarata untuk kaum pelarian.
Situasi ini menyebabkan mereka tersepit kerana hidup dalam keadaan yang dhaif kerana tidak dapat untuk menerima pendidikan formal dan juga pekerjaan secara sah. Oleh itu, mereka sangat terdedah kepada masalah sosial dan juga jenayah berorganisasi bagi meneruskan kelangsungan mereka. Kepentingan identiti kepada sesebuah etnik dan bangsa adalah bagi mengekalkan nilai-nilai murni serta adat untuk mewujudkan kompas moral untuk etnik mereka. Makanya adaptasi terhadap budaya Melayu di kalangan generasi yang lahir disini bakal melenyapkan adat resam mereka dan krisis ini tak harus dipandang remeh selain menekankan kebajikan mereka.
Misi saya adalah untuk mewujudkan satu arkib peribadi yang merakam segala kehidupan mereka untuk tujuan perbincangan intelektual. Hal ini kerana penterjemahan visual ini dapat menunjukkan penelitian sebuah gambar boleh menyampaikan mesej yang ironi walaupun paparan situasi permukaannya kelihatan gembira, tetapi pelbagai metafora disampaikan melalui bahasa visual yang halus yang hanya dapat dilihat dengan teliti oleh mereka yang mempunyai pengetahuan konteks latar demografi dan isu semasa mereka. Sebuah gambar harus diterjemahkan dengan ilmu yang merentas disiplin bagi menganalisis segala yang disampaikan di dalam gambar tersebut baik yang tersurat mahupun yang tersirat.
Saya bukanlah ahli akademik, tetapi sebagai seorang jurugambar, saya ingin menggunakan kapasiti saya untuk menyampaikan maklumat ini untuk membuka ruang perbincangan intelektual yang lebih mendalam. Saya percaya sekeping gambar bisa merubah persepsi dan mencerna minda jika kita mengambil masa untuk menterjemah dan menganalisis ia dengan melihatnya dari pelbagai sudut. Seorang jurugambar dokumentari Brazil yang tersohor, Sebastiao Salgado merupakan seorang ahli ekonomi yang mempunyai kelulusan Ijazah Tinggi dalam bidang tersebut, tambahan pula, beliau merupakan aktivis haluan kiri pada zaman universitinya.
Pengalaman merentas bidang oleh Salgado ini membawakan satu naratif yang sangat mendalam dalam hasil gambarnya dimana beliau menggabungkan aspek kesenian dalam membina naratif untuk memperjuangkan hak kemanusiaannya. Makanya saya ingin membawakan naratif baru dalam perbincangan intelektual mahasiswa kita dengan tidak hanya merujuk kepada jargon akademik, tetapi membawakan perbincangan tersebut dengan bahasa universal, iaitu fotografi. Saya percaya dengan kapasiti kita sebagai mahasiswa akan dapat membawa kebaikan kepada nusa dan bangsa.