Jika bicara soal keluar dari kemustahilan ini, mengajak kita yang berada di suatu pemukiman nyata menjejak ke pemukiman ilusi. Kerana ilusi itu suatu kemustahilan untuk dijejaki.
Ya, masing masing boleh pertahankan keagongan pendirian diri yang telah berjaya melawan kemustahilan. Kemustahilan yang diangkat ialah kemustahilan untuk keluar PAS.
Bagaimana mungkin dikira keluar PAS itu mustahil sedangkan awal dahulu, Presiden PAS pertama yang juga pengasas PAS itu kekal dalam PAS dua tahun sahaja kemudian keluarlah ia dari PAS.
Nah, zaman 1953 keluar dari PAS itu bukan yang mustahil. Bahkan orang nombor wahid yang menunjukkan ianya tidak mustahil. Datang kita yang baruan ini, katakan mustahil. Itulah suatu kemustahilan yang sebenarnya. Mustahil keluar PAS itu mustahil.
Lagi, terkadang kita ini merasa diri kita sudah keluar dari kemustahilan dan berubah berada di daerah yang baru, walhal sebenarnya kita masih berada di daerah yang lama. Dan sebenarnya pihak yang kita tohmah itulah yang sudah berada didaerah politik baru, hingga kita yang menohmah ini tidak mengenali wajahnya lagi.
Ya, PH itu bukanlah daerah politik baru. Ini pemukiman golongan rigid pada politik. Iyalah, sudah berapa puluh tahun mereka melawan BN atas dasar lawan BN itu kerana ianya BN. Yang ada hanya garis hitam-putih, tidak BN maka pembangkang, tidak pembangkang maka BN lah.
Maka, satu kemustahilan untuk pembangkang mengiktiraf BN dan BN iktiraf pembangkang dalam soal kebajikan dan kebaikan buat rakyat. Yang ada, lawan tetap lawan. Berada dalam skop fikrah hitam putih ini bukan suatu hal yang patut dibanggakan dengan fasa kata berani melawan kemustahilan.
Keberanian melawan kemustahilan yang sebenarnya adalah berani lawan sekat sekat politik yang menghalang kita untuk setia dengan kebenaran walau datang dari siapa, hatta musuh politik kita. Ini kemustahilan politik kita di Malaysia, di Finland, entah lah bagaimana.
PAS berani melawan kemustahilan ini, yang benar dipihak BN benarlah, yang salah pihak PH salahlah atau kedua duanya salah maka salah ia. Inilah erti setia pada kebenaran. Maka, PAS sudah berada didaerah baru ini meninggalkan, orang orang yang setia pada Mahathir.
Jauh beza setia pada kebenaran dengan setia pada Mahathir, kerana sehingga kini kita belum pasti siapakah yang benar antara Mahathir dan Anwar, apakah benar Anwar meliwat? Atau apakah benar Mahathir korup?
Tapi kita tetap mengikuti kesamaran kebenaran ini dengan kalam setia, sedang kita sedang mencabut sendi sendi kebenaran dan kejujuran politik negara.