PERMULAAN TAHUN BARU, MAHASISWA PERLU TANAM NILAI AKTIVISME
Tahun 2020 melambangkan permulaan kepada dekad baharu yang diimpikan manisnya oleh generasi-generasi terdahulu. Namun apa yang jelas adalah sebaliknya. Janganlah kita menjadikan tahun ini hanya sebagai era yang menyambung penerusan waktu “draconian” yang sejak dari dulu dikenakan terhadap mahasiswa. Pahitnya untuk ditelan namun hakikatnya kita melangkah masuk ke dekad di mana kebencian membuak-buak.
Adalah menjadi tanggungjawab suara pemuda sebagai nadi penggerak untuk membanteras trend ini. Mahasiswa wajar meneruskan apa yang diperjuangkan selama ini; suatu visi idealisme sebagai alternatif kepada segala norma dan idea yang telah membantutkan keharmonian komuniti global.
Kampus universiti dari dahulu kala lagi menjadi agen perubahan. Aktivisme mahasiswa terhadap kezaliman bukanlah suatu fenomena baharu dalam dekad-dekad yang lalu. Sejarah membuktikan bahawa aktivisme mencerminkan keluhan terhadap dinamik politik dunia dan tempatan.
Zaman keemasan kegemilangan aktivisme mahasiswa mahasiswi Malaysia bermula di era 60-an dan 70-an di mana terbukti suara mahasiswa adalah efisien dalam mengutarakan pandangan serta pendirian di persada kampus mahupun kebangsaan. Zaman inilah terjadi demonstrasi yang mengecam tuntutan Filipina ke atas Sabah. Zaman ini juga yang melahirkan tokoh terkenal seperti Syed Hamid Ali, Tan Sri Khoo Kay Kim, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan lain-lain.
Dekad hari ini pula isu-isu yang sedang melanda Malaysia tercinta kini juga diutarakan dengan hebatnya oleh suara mahasiswa. Gabungan Mahasiswa Islam Se-Malaysia (GAMIS) wajar mendapat pujian kerana terus memperjuangkan idealisme dengan mempertahankan nilai-nilai yang selari dengan rukun negara Malaysia. GAMIS wajar meneruskan membangkitkan mahasiswa demi mempertahankan apa yang telah termaktub di dalam perlembagaan.
Selain itu dapat diperhatikan solidariti yang ditunjukkan bersama oleh Mahasiswa UMNO dan Mahasiswa Keadilan yang turut serta berdemonstrasi di Canselori Universiti Malaya tanpa melihat kepada perbezaan ideologi politik wajar diberikan pujian. Kerana matlamat mereka bersama Kesatuan Mahasiswa UM ketika hanya satu iaitu kebajikan mahasiswa jangan dipinggirkan.
Mahasiswa mesti mempunyai pemahaman bahawa tidak semua orang mendapat peluang yang adil di dunia ini. Walaupun terdapat pencapaian dalam perkembangan keadilan sosial dan ekonomi, realitinya adalah bahawa masih banyak yang perlu dilakukan supaya keadilan dan kesaksamaan yang benar-benar dapat dialami oleh semua.
Apabila berhubungnya orang muda di kampus universiti, sebuah tempat di mana penerokaan pemikiran digalakkan maka wujudlah suatu ruang untuk berdiskusi pengalaman individu di samping membawa kesedaran bersama mengenai keperitan yang menjejaskan komuniti. Persepsi sebegini adalah meluas dan merupakan perspektif global yang dapat mengatasi kegelisahan semua.
Semua institusi pendidikan harus menggalakkan penglibatan semua mahasiswa mahasiswi. Tanggapan bahawa aktivisme mahasiswa semata-mata sebagai mencabar kuasa institusi wajar dihapuskan. Kampus pendidikan harus mewujudkan budaya di mana suara mahasiswa mempunyai nilai dan mempromosikan aktivisme sosial. Dengan wujudnya budaya sebegini para pendidik, kaunselor, para pentadbir, dan pemimpin kampus lain dapat menambah nuansa kepada pandangan yang dinyatakan mahasiswa mahasiswi. Ini adalah kerana masih banyak lagi perlu diketengahkan.
Sebenarnya kekecewaan anak muda dengan pemerintah, birokrasi dan keadaan semasa dunia telah membakar semangat para mahasiswa untuk mencari kaedah tidak popular merubah keadaan sosial, politik dan ekonomi. Pengalaman anak muda sendiri memaksa diri agar memandang serong terhadap institusi berkenaan dan melontar persoalan terhadap perkara-perkara yang telah lama dipinggirkan.
Mengambil inisiatif dan mengadakan demonstrasi untuk memberi amaran kepada institusi yang memainkan peranan sebagai penghalang antara manusia dengan maruah manusia adalah kritikal kepada transformasi sosial dan institusi. Perkara berikut adalah sihat untuk negara demokrasi yang masih membangun.
Mahasiswa wajib mengangkat konsep “semak dan imbang” dengan memastikan akauntabiliti institusi dan birokrasi itu telus. Seandainya tidak, maka bersedialah untuk berhadapan dengan suara mahasiswa.
Suatu yang pasti, akan sentiasa ada perbezaan dan impak daripada seruan untuk perubahan dan keadilan daripada mahasiswa. Ayuh mahasiswa kita menggiatkan budaya aktivisme. Mahasiswa harapan kepimpinan masa hadapan negara.
AFIF BIN MOHD SOHAIMI
Exco Akademik & Antarabangsa,
MPP UMT sesi 2019/2020,
Universiti Malaysia Terengganu.