Adakah Mahasiswa Sedang Bermusuh dengan Buku?
Muhammad Julazman Jupri
Seperti dalam lirik lagu yang bertajuk “Aku Maafkan Kamu” nyanyian Jamal Abdillah dan Malique bait liriknya; “mereka tidak ramas buku, mereka segan ilmu” demikianlah gambaran kebanyakan mahasiswa kita pada hari ini yang sepertinya takut pada sebuah medium ilmu yang kita gelarkan sebagai buku. Buku sepatutnya menjadi pendamping dan sahabat baik bagi seseorang mahasiswa.
Golongan mahasiswa adalah kumpulan yang seharusnya mempunyai tahap intelektual yang lebih baik berbanding pelajar sekolah menengah. Namun bagaimana seseorang yang bergelar mahasiswa itu mampu memancarkan sifat intelektual mereka apabila mereka takut akan ilmu dan tidak mahu untuk bercinta dengan buku? Saya berpandangan ada beberapa faktor yang menjadi punca mengapa mahasiswa tidak cinta akan buku.
Lambakan Buku Sampah di Pasaran
Jika kita lihat pada hari ini, terdapat lambakan buku-buku yang diterbitkan oleh rumah-rumah penerbitan yang popular dalam kalangan masyarakat dan sering tular di media sosial. Namun, sejauh mana buku tersebut dapat memberikan impak kepada individu itu apabila mereka membacanya?
Kebanyakan buku-buku yang diterbitkan pada hari ini lebih menitikberatkan aspek keuntungan berbanding manfaat kepada para pembaca. Hal ini dapat kita lihat melalui terlalu banyak lambakan buku yang saya boleh gelarkan sebagai “sampah” kerana hanya mahu mengejar keuntungan dan tidak lagi menekankan aspek ilmu yang cuba diketengahkan.
Para penulis juga akan berpusu-pusu ataupun berlumba-lumba untuk menghantar manuskrip ke rumah penerbitan demi mendapat royalti tanpa menitikberatkan “input dan content” yang cuba mereka ketengahkan.
Terdapat juga beberapa bahan bacaan (buku) yang mana hanya mahu mengangkat nama penulis sahaja. Ini juga adalah merupakan salah satu masalah ataupun punca kepada mengapa mahasiswa takut untuk membaca buku. Kebanyakan para pembaca hanya akan melihat pada kulit buku dan siapa yang menulis buku tersebut dengan harapan buku tersebut adalah satu buku yang baik.
Malangnya, buku tersebut tidak memberi apa-apa dan hanya mahu mengaut keuntungan dengan menggunakan “retorik muka depan buku” yang cantik dan nama penulis yang terkenal ataupun sudah lama berada dalam arena penulisan buku.
Persekitaran yang membodohkan
Budaya membaca merupakan satu budaya yang baik, namun sejauh manakah masyarakat kita ataupun mahasiswa mengamalkan budaya ini dalam kehidupan harian mereka? Jika kita lihat pada hari ini, faktor mengapa mahasiswa kurang membaca adalah disebabkan daripada aspek persekitaran mereka yang kurang membaca.
Hal ini secara tidak langsung telah membuatkan mahasiswa menjadi biasa ataupu sudah mangli dengan tidak membaca buku kerana persekitarannya juga telah mengamalkan budaya tidak membaca dalam kehidupan mereka.
Mahasiswa juga sering menggunakan alasan sibuk sebagai salah satu alasan mengapa mereka tidak gemar untuk membaca buku. Mahasiswa seringkali disibukkan dengan kerja-kerja yang berlambak seperti “assignment” dan kajian lapangan yang mana mengakibatkan mereka tidak mempunyai masa untuk membaca buku.
Buku yang mungkin mereka akan buka hanyalah buku untuk dijadikan sebagai bahan rujukan mereka terhadap sesuatu kajian dan bukan untuk pembacaan yang serius.
Apa tujuan kita membaca?
Mahasiswa pada hari ini menjadi malas dan tidak gemar untuk membaca buku kerana mereka sendiri tidak melihat kesan yang mungkin akan mereka perolehi apabila membaca. Hal ini dapat kita kaitkan dengan sistem pendidikan yang ada di negara kita, sistem pendidikan ini hanya mendedahkan pembacaan hanyalah untuk lulus peperiksaan semata-mata dan bukanlah mengajarkan bahawa membaca itu mampu memperkaya kemahiran berfikir dan mengubat masyarakat yang tenat.
Dengan kata lainnya, sistem ini hanya mengajarkan kita membaca hanya untuk peperiksaan sahaja.
Selain itu, mahasiswa juga tidak tahu apa tujuan mereka apabila membaca. Hal ini sekali gus akan mengakibatkan mereka menjadi keliru dan bingung. Apabila sistem pendidikan hanya mengajar mahasiswa membaca hanya untuk peperiksaan maka tujuan mereka juga akan hanya untuk hidup senang.
Senang yang diajarkan kepada mereka adalah senang yang bersifat material (kuasa, harta dan wang) yang mana akan mengakibatkan mereka tidak akan membaca buku selagi buku itu tidak selari dengan kiblat mereka.
Kecanggihan teknologi bukan alasan
Tidak dapat dinafikan bahawa kecanggihan teknologi akibat peredaran zaman juga merupakan salah satu faktor kepada punca mengapa mahasiswa menjadi malas untuk membaca buku. Kita ambil contoh smartphone. Benda ini mengalihkan tumpuan dan terlalu banyak membazirkan masa mahasiswa kerana mahasiswa lebih gemar untuk bercinta dengan smartphone berbanding buku.
Hal ini adalah disebabkan media sosial adalah persekitaran maya yang membina budaya mahasiswa untuk menatap smartphone semata-mata sahaja. Mahasiswa lebih gemar untuk membaca perbualan melalui aplikasi seperti whatsapp, facebook dan lain-lain.
Pada pendapat saya penciptaan aplikasi tersebut adalah tidak salah kerana ianya diciptakan sebagai salah satu alat komunikasi pada masa kini namun mahasiswa sering terlalai dan menyalahgunakan kemudahan yang sepatutnya mereka gunakan ke arah lebih mencintai amalan membaca dalam kehidupan harian mereka.
Membacalah mahasiswa, dalam susunan huruf pada sebuah buku terdapat revolusi yang menunggu!
Muhammad Julazman Jupri merupakan mahasiswa tahun tiga Universiti Malaysia Sabah. Beliau merupakan aktivis Suara Mahasiswa UMS yang sering vokal memperjuangkan isu-isu berkaitan mahasiswa.