MAHASISWA DI MALAYSIA BARU

Mahasiswa  yang menuntut di universiti saat ini menunjukkan kematangan dalam memastikan hak kebebasan bersuara mereka diambil cakna oleh pemimpin negara. Penuntut ilmu kini jelas memanfaatkan hak yang termaktub dalam perlembagaan ini dan berupaya mengaplikasikan dalam kehidupan seharian sekaligus mencerminkan masa hadapan negara pasti akan lebih baik kelak. Sudah pasti mahasiswa ini terdiri daripada golongan muda yang memainkan peranan penting dalam mencorak sistem pentadbiran sesebuah negara terutamanya tanah air Malaysia tercinta.

Malaysia Baru sebuah konsep yang mencerminkan kerajaan baharu Malaysia pimpinan koalisi Pakatan Harapan membawa suatu nafas segar dalam merangka Malaysia yang lebih baik terutamanya dalam isu anak muda dan mahasiswa.

Oleh itu, Menteri Pendidikan Dr Maszlee Malik telah berjaya membawa suara mahasiswa yang dahagakan kebebasan ke Dewan Rakyat untuk meminda Akta Universiti dan Kolej Universiti 1971 (AUKU). Pindaan ini membolehkan mahasiswa terlibat aktiviti parti politik di dalam kampus. Jelas, keputusan ini penuh kontroversi kerana sebagai mahasiswa sudah pasti banyak persatuan-persatuan berasaskan kebajikan sosial yang kosong daripada politik kepartian berpusat di Universiti masing-masing. Namun, budaya ketakutan dalam kalangan mahasiswa untuk berpolitik boleh hilang seketika agar dapat mematangkan seseorang mahasiswa itu untuk menilai politik nilai atau politik toksik yang menjadi pilihannya. Teringat pesanan Perdana Menteri kita Tun Dr Mahathir kepada generasi muda, belajarlah segala ilmu yang boleh menjadikan Malaysia negara maju, dapatkan segala kemahiran, perkukuhkan jati diri, pegang teguh pada agama dan nilai murni.

Kerajaan baharu ini dilihat begitu ghairah dalam memenangi hati rakyat terutamanya anak muda ataupun mahasiswa. Walaupun secara peribadi saya tidak bersetuju dengan keberadaan parti politik di Universiti kerana institusi pendidikan harus bebas dan tiada kawalan pihak luar tetapi saya yakin dengan kepimpinan yang ada sekarang dan saya menjangkakan lebih ramai mahasiswa yang akan muncul menjadi seorang mahasiswa yang cemerlang secara holistik dek kerana perubahan yang dapat dilihat sekarang.

 

Berhadapan era Malaysia Baru ini, keberanian Naib Canselor Universiti Teknologi Mara (UiTM) dan kelantangan Yang DiPertua Majlis Perwakilan Pelajar(MPP) UiTM Selangor mengulas isu kekerasan kepada mahasiswa wajar dipuji oleh semua pihak sekaligus membuktikan imej UiTM setanding dengan Universiti Awam(UA) yang lain dalam mengambil cakna hal ehwal semasa negara. Sikap matang ini telah mengikis beberapa persepsi negatif terdahulu terhadap UiTM. Kehadiran pimpinan utama kerajaan Malaysia baru-baru ini di Konvesyen Kebangkitan Harimau Asia yang berlangsung di Dewan Agung Tuanku Canselor (DATC) jelas melakar sejarah baharu UiTM kampus Shah Alam.

Beralih pula kepada isu kebajikan mahasiswa yang kini kian hangat menjadi bualan seluruh Malaysia. Inisiatif yang dikemukakan oleh kerajaan baharu seperti FoodBank Malaysia dan Bantuan Pelajar Pendidikan Tinggi berjumlah RM100 telah berjalan secara teratur bagi memastikan istilah Mahasiswa Lapar, Mahasiswa Perut Kosong, Mahasiswa Gadai Maruah Demi Wang dan sebagainya dapat dihapuskan dalam kadar segera.

Saya berpendapat kerajaan melalui Kementerian Pendidikan wajar mengadakan satu roadshow atau townhall bagi mengenalpasti serta mencapai solusi konkrit bagi menyelesaikan halangan yang kini memberi seribu satu alasan buat mahasiswa. Penglibatan semua MPP daripada UA utama seluruh Malaysia amatlah diharapkan supaya berlaku satu titik tolak yang membawa kearah positif. Gesaan dalam baru-baru ini oleh bekas pemimpin pelajar yang terkenal ketika Demonstrasi Mahasiswa 1974 dahulu di Baling iaitu Dato’ Seri Anwar Ibrahim sepatutnya diambil perhatian oleh pihak-pihak yang berkaitan. Inisiatif yang ada perlu disegerakan kerana mahasiswa ini merupakan bakal pemimpin masa depan negara. Suka saya titipkan kata-kata bekas Presiden Indonesia, Soekarno, “Seribu orang tua bisa bermimpi, satu orang pemuda bisa mengubah dunia,” maka tindakan yang serius perlu dilaksanakan bagi menyelesaikan krisis ini.

 

Akhir kalam, saya berasa bertuah dan bersyukur kerana UiTM ini penuh dengan kisah sejarah dan pengorbanan yang amat bernilai serta institusi pendidikan ini patut dijadikan pilihan utama oleh semua anak muda Melayu Islam dan Bumiputera Sabah Sarawak. Kerajaan Malaysia wajib menjaga hak keistimewaan bangsa Melayu dan agama Islam serta Bumiputera Sabah dan Sarawak agar maruah UiTM terus dipelihara sekaligus menjadi batu asas kepada kejayaan serta kegemilangan anak bangsa.

 

Muhammad Abrar Sadiq bin Azizi

Mahasiswa Semester 1 Fakulti Komunikasi dan Pengajian Media UiTM Shah Alam

 

 

Leave a Reply