University Malaya, 12 Jun 2025 – Di dalam satu hantaran Instagram story, Abishek seorang mahasiswa Universiti Malaya menyifatkan HEP sebagai penjilat dan macai kerajaan ekoran daripada pembatalan forum “Pelantikan Azam Baki: Wajar atau Tidak?”.

Programme dengan kerajaan bukan main bangga walaupun pengerak utama adalah mahasiswa yang sama tapi bila soal academic discussion bersama ahli akademik sangat senior, tak lepas, saya rasa tajuk tak controversial, biasalah forum, ada tajuk untuk dikupas, saya rasa persoalan yang wajar, kalau benda ni pon tkle nak soal baik duduk di Korea Utara – Ujar Abishek

Suara Siswa Universiti Malaya hari ini turut mengecam tindakan pembatalan forum ilmiah ini.
Menurut kenyataan yang dikeluarkan oleh Suara Siswa UM, forum tersebut telah diluluskan secara rasmi melalui sistem UMPoint dan emel pengesahan telah diterima lebih awal. Namun begitu, penganjur menerima makluman pembatalan secara mengejut pada 11 Jun 2025, jam 7:37 malam selepas waktu pejabat tanpa sebarang surat rasmi atau penjelasan munasabah daripada pihak pengurusan universiti.
Apabila ditanya mengenai pihak yang mengeluarkan arahan pembatalan, panggilan telefon dikatakan terus ditutup tanpa sebarang maklumat diberikan. Pihak penganjur menyifatkan tindakan ini sebagai satu bentuk penafian hak mahasiswa untuk menganjurkan wacana ilmiah dan sebagai bukti budaya takut yang sedang berkembang dalam pentadbiran universiti.
Pembatalan secara senyap dan tanpa justifikasi ini bukan sahaja menyusahkan penganjur dan peserta, tetapi merupakan serangan terhadap kebebasan akademik serta hak mahasiswa untuk bersuara, tegas kenyataan tersebut.
Suara Siswa UM turut mendedahkan bahawa satu notis baharu bertajuk ‘Kelulusan Menggunakan Fasiliti/Tempat di Universiti Malaya’ telah dikeluarkan pada hari ini, iaitu selepas program mereka dibatalkan. Notis itu menyatakan bahawa semua penggunaan fasiliti universiti oleh mahasiswa perlu mendapatkan kelulusan Jabatan Hal Ehwal Pelajar (JHEP), menambah satu lagi lapisan birokrasi dalam proses penganjuran program.
Suara Siswa UM menegaskan bahawa peraturan baharu itu berisiko:
- Menjadi alat kawalan, bukan kemudahan – Memberi kuasa veto kepada JHEP untuk menapis kandungan program, sekaligus melumpuhkan kebebasan penganjuran.
- Mencabul autonomi mahasiswa – Menafikan peranan Kesatuan Mahasiswa UM (KMUM) sebagai badan yang sah mewakili mahasiswa.
- Mewujudkan budaya takut – Menghalang perbincangan isu-isu kritikal di kampus kerana bimbang disekat oleh pentadbiran.
Tuntutan Suara Siswa UM:
- Penjelasan rasmi dan bertulis mengenai sebab sebenar pembatalan program.
- Pendedahan identiti pihak yang mengeluarkan arahan serta justifikasi mereka.
- Penarikan balik serta-merta peraturan baharu berkenaan kelulusan fasiliti oleh JHEP.
- Jaminan bahawa tiada lagi campur tangan terhadap kebebasan mahasiswa untuk berorganisasi dan bersuara di kampus.
Pembatalan ini adalah satu preseden buruk yang boleh membunuh semangat intelektualisme di universiti. Suara mahasiswa tidak boleh disenyapkan, tegas Suara Siswa dalam kenyataan mereka.
Menurut Suara Siswa UM, insiden ini telah menimbulkan persoalan lebih besar terhadap komitmen institusi pengajian tinggi terhadap prinsip kebebasan akademik dan demokrasi kampus.
Berikut kenyataan penuh Suara Siswa Universiti Malaya di laman Instagram rasmi mereka:
View this post on Instagram