Kedudukan wanita di zaman Jahiliyyah berada pada tahap yang terperosok di mana kebanyakkan wanita di zaman ini didiskriminasikan hak-hak mereka. Kehinaan terus menjadi sandaran kepada martabat seseorang wanita. Amalan orang Arab ketika itu yang menyertakan golongan wanita dalam peperangan membuktikan kedudukan wanita yang hina.

Pihak yang menang di dalam peperangan akan menawan wanita-wanita pihak yang kalah dan wanita itu dihalalkan bagi mereka. Namun, anak-anak yang lahir daripada wanita itu akan mendapat keaiban sepanjang hidupnya. Hinanya kedudukan seorang wanita di zaman ini, dijudikan dengan sebuah peperangan serta  digadaikan dengan sebilah mata pedang.

Keadaan bayi-bayi perempuan yang lahir di zaman ini pula kebanyakkannya dibunuh oleh bapa mereka kerana bimbangkan keaiban dan kesukaran membiayai anak-anak mereka.

Bayi perempuan ditanam hidup-hidup oleh mereka seolah-olah mereka tidak mempunyai perasaan untuk membezakan antara manusia dan haiwan. Allah S.w.t berfirman: Dan apabila seseorang dari mereka diberi kabar dengan (kelahiran) anak perempuan, hitamlah (merah padamlah) mukanya, dan dia sangat marah. Ia menyembunyikan dirinya dari orang banyak, disebabkan buruknya berita yang disampaikan kepadanya. Apakah dia akan memeliharanya dengan menanggung kehinaan ataukah akan menguburkannya ke dalam tanah (hidup-hidup)?. Ketahuilah, alangkah buruknya apa yang mereka tetapkan itu. (An-Nahl 58-59).

Ibnu Kathir menyatakan bahawa meskipun sekiranya mereka memilih untuk memeliharanya maka nescaya mereka akan membiarkan anak perempuan mereka hidup dalam keadaan yang hina, tidak diberi warisan dan tidak diberi perhatian kerana kecenderungan untuk memiliki anak-anak lelaki. Kecenderungan pemikiran yang dangkal bahawa anak perempuan membawa beban dijawab oleh Allah di dalam surah al-Isra (31): Dan janganlah kamu membunuh anak-anakmu karena takut kemiskinan. Kamilah yang akan memberi rezeki kepada mereka dan juga kepadamu. Sesungguhnya membunuh mereka adalah suatu dosa yang besar.

Kehinaan seorang wanita di zaman ini disaksikan dengan tipologi pernikahan pada zaman ini. Imam Bukhari meriwayatkan daripada Aishah R.A (Hadis No. 5127) bahawa perkahwinan di era jahiliyyah terbahagi kepada 4 bahagian. (1) Pernikahan seperti yang diamalkan di zaman kini (2) Kemudiannya ialah pernikahan “istibda” dimana seorang suami akan menyuruh isterinya untuk bersetubuh dengan lelaki sekian (fulan bin fulan). Si suami tidak akan menyentuhnya selagi isterinya tidak hamil, dan apabila dia hamil, maka atas kehendaknya untuk bersetebuh dengan isterinya atau tidak.

Tujuan nikah dengan cara ini ialah untuk mendapatkan zuriat yang baik (3) kemudiannya ialah sekumpulan lelaki tidak melebihi 10 orang  akan menyetubuhi seorang wanita dan apabila hamil maka wanita itu akan menamakan anaknya kepada seorang lelaki yang disukainya dari kalangan mereka. (4) Wanita pelacur yang tidak menghalang sesiapa untuk menyetubuhi mereka bahkan mereka memasang bendera pintu rumah sebagai tanda kepada sesiapa yang mahu menyetubuhi mereka. Jika hamil, maka anaknya akan dinisbahkan kepada lelaki yang paling iras wajah dengan anaknya.

Begitulah hinanya kedudukan sosial seorang wanita di zaman ini. Namun demikian, golongan wanita bangsawan berada pada tahap yang maju kerana mempunyai kebebasan untuk melakukan kehendaknya, dihormati dan dipelihara. Begitulah kehidupan, yang punya darjat pasti disanjung dan yang tidak punya apa-apa diinjak malah dihina. Apabila Allah mengutuskan Nabi Muhammad Saw, baginda telah menghapuskan kesemua bentuk perkahwinan masyarakat jahiliyah melainkan cara perkahwinan yang halal iaitu cara perkahwinan Islam sehingga kini.

Sesungguhnya kedatangan baginda telah memartabatkan kembali kedudukan wanita tanpa mengira darjat, rupa, nasab dan warna kulit mereka. Islam secara jelas memberikan hak ekuiti yang seimbang kepada lelaki dan perempuan. Perbezaan bukanlah bebanan tetapi saling melengkapi. Islam datang dan memposisikan wanita, samada bujang atau berkahwin, sebagai suatu individu yang mempunyai hak-hak tersendiri, termasuklah hak untuk memiliki pekerjaan, pendapatan, harta dan kekayaan manakala bayi perempuan bukanlah keaiban malahan zuriat yang membawa keberkatan sama seperti lelaki. Wanita bukanlah untuk diperjudikan tetapi untuk dibimbing, didik dan disayangi.

 

A.R. KASA

JABATAN SEJARAH DAN TAMADUN ISLAM UNI. MALAYA

 

Leave a Reply