Setelah saya tidak menjadi siswa, saya segan untuk mengkritik siswa secara bertulis. Menjadi dewasa memang menjadikan kita semakin malu, siswalah pemegang mahkota ‘kurang ajar’, sesuai dengan darah mudanya.

Selalunya kalau ada siswa bertanya atau menjemput; saya cuma menegur secara lisan – dengan lembut dan cuba tidak menghukum.

Melihat kemelut politik yang berlaku pada hari ini; saya tertanya-tanya apa peranan siswa dalam mendesak politikus supaya tidak berniaga demokrasi.

Cuma beberapa individu dari Gerakan Pembebasan Akademik (GPA) yang menonjol dengan dua siri demonstrasi bantahan terhadap drama politik yang sedang berlangsung. Kita boleh berbeza dengan aksi mereka, cuma kita tidak boleh menafikan mereka bekerja melakukan sesuatu – ia lebih baik daripada tidak melakukan apa-apa langsung.

Persatuan siswa terkenal dengan ‘kenyataan’. Hal seremeh tandas kotor pun sesekali akan mengundang kenyataan media. Seorang rakan saya pernah berkata – perjuangan siswa hari ini adalah perjuangan keluarkan kenyataan. Siapa yang paling laju dan siapa yang paling mahir mengatur ayat.

Cuma, beberapa hari ini saya melihat parti politik lebih banyak mengeluarkan kenyataan berbanding persatuan siswa.

Melalui pemerhatian saya, ada beberapa sebab mengapa hal ini berlaku.

Sebab yang paling kronik adalah – persatuan siswa tidak merasakan mereka berperanan dalam menyemak imbang parti politik. Oleh itu, seperti isu-isu kritikal yang lain – mereka cuma mengabaikan sahaja.

Kedua, mereka tahu akan peranan siswa, cuma sudah muak dengan politik. Mereka menyumbang tenaga pada kerja-kerja lain yang lebih bermanfaat.
Sekurang-kurangnya kumpulan ini bekerja.

Ketiga, krisis politik ini akan memberi kesan secara langsung kepada mereka. Misalnya kalau individu dari jemaahnya diangkat, persatuan mereka akan dihampari wang. Oleh sebab itu, mereka berdiam dan membantu individu yang mereka sokong untuk naik.

Saya tidak pasti apa pendirian kebanyakan siswa pada hari ini tentang situasi politik yang berlaku. Cuma saya selalu percaya siswa adalah kumpulan yang suci.

Mereka perlu menolak hal yang membelakangi prinsip demokrasi. Tindakan mewujudkan kerajaan pintu belakang bukanlah sesuatu yang boleh dicontohi oleh siswa.

Persatuan siswa juga perlu memperkenalkan ideologi kepada ahli-ahlinya. Kewujudan ideologi akan membina prinsip. Kita harus bermula dengan generasi baru, yang segar untuk masa hadapan siswa.

Prinsip-prinsip inilah yang hilang dalam kebanyakan ahli politik hari ini. Mereka harus membentuk diri jika bercita-cita untuk menjadi ahli politik. Supaya sejarah hitam seperti ini tidak berlaku lagi.

Disebalik buku, ada tanggungawab yang menunggu.

Leave a Reply