Dasar PPSMI Satu Langkah Ke Belakang

Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris atau lebih mudah dikenali sebagai PPSMI merupakan nama rasmi bagi satu dasar pendidikan Malaysia yang menetapkan bahasa Inggeris bagi menggantikan bahasa ibunda (Bahasa Melayu) sebagai bahasa perantara mata pelajaran Sains dan Matematik di semua peringkat pendidikan. PPSMI telah termaktub sebagai keputusan dasar kerajaan Malaysia hasil daripada Mesyuarat Khas Jemaah Menteri pada 19 Julai 2002 di bawah pentadbiran Perdana Menteri Malaysia ke-40, Tun Dr. Mahathir Mohamad.

Dasar pelaksanaan PPSMI mendatangkan reaksi yang pelbagai dari tokoh- tokoh akademik, pendidik malahan seluruh rakyat negara ini. Ada yang menyokong, ada yang membantah, dan tidak kurang juga ada yang tidak berpihak kepada mana-mana. Persoalan yang sering ditimbulkan oleh warga pendidik dan masyarakat luar ialah sejauh manakah penerimaan para pelajar terhadap pelaksanaan program PPSMI ini? Walaupun pada asalnya, dasar PPSMI dilaksanakan secara berperingkat, iaitu melibatkan semua murid tahun satu bagi sekolah rendah dan semua murid tingkatan satu hingga tingkatan enam bagi sekolah menengah, tetapi, pada bulan Mac tahun 2009, dasar PPSMI dilihat mendapat tentangan dan bantahan daripada orang ramai. Sebagai bukti, pada Mac 2009, lebih daripada 8000 orang menyertai demonstrasi membantah PPSMI dengan berarak ke Istana Negara. Malahan, terdapat juga penubuhan Gerakan Mansuhkan PPSMI (GMP) yang diketuai oleh Datuk A. Samad Said dan Datuk Dr. Hassan Ahmad. Tidak kurang dengan itu juga, Tan Sri Muhyiddin Yassin, selaku Menteri Pelajaran pada ketika itu turut mengumumkan bahawa dasar PPSMI akan dimansuhkan sepenuhnya pada tahun 2012.

 

Dari sudut kaca mata saya, tidak sewajarnya isu ini timbul pada tahun 2020 kerana tahun ini merupakan tahun yang sepatutnya digunakan oleh para pemimpin untuk mengeluarkan idea-idea yang bernas dan membina dalam mengorak langkah untuk memajukan bidang ilmu khususnya ilmu sains dan matematik yang memberikan penyumbang terbesar kepada penuntut penuntut ilmu dalam memperoleh keputusan yang memberangsakan dalam pelajaran mereka. Sehubungan itu, dasar PPSMI tidak sewajarnya dibangkitkan di waktu negara sedang membangun oleh sebab dasar ini tidak mendapat persetujuan ramai terutama golongan yang tinggal di luar bandar.

 

Tidak dapat dinafikan bahawa dasar pelaksanaan PPSMI mempunyai pulangan dan kelebihan yang baik seperti dapat melahirkan golongan penuntut ilmu yang serba boleh khususnya dalam berkomunikasi dalam bahasa Inggeris, membantu dalam pembangunan sumber manusia untuk mencapai taraf negara maju serta dapat bersaing dalam era globalisasi. Persoalannya, mengapa dasar ini mendapat tentangan daripada orang ramai jika ianya mempunyai hasil yang menguntungkan?

 

Bertitik tolak daripada perkara itu, pandangan saya menjurus kepada ketidakwajaran pelaksanaan dasar PPSMI yang mana akan memberi lebih banyak kelemahan berbanding tidak melaksanakannya. Hal ini demikian kerana, dengan pelaksanaan dasar PPSMI, maka akan wujudnya jurang perbezaan antara pelajar bandar dengan pelajar luar bandar. Mengapa boleh berlaku sedemikian? Perkara ini boleh berlaku kerana penguasaan bahasa Inggeris dalam kalangan anak-anak luar bandar masih terlalu lemah dan jauh jika dibandingkan dengan golongan anak-anak yang tinggal di bandar yang terdedah dengan penggunaan bahasa Inggeris dalam komunikasi seharian mereka. Mana mungkin pelajar luar bandar akan mudah mempelajari subjek Sains dan Matematik, sedangkan penguasaan mereka dalam subjek bahasa Inggeris agak lemah. Seyogianya, pemantapan subjek bahasa Inggeris dalam kalangan pelajar luar bandar perlu lebih dititikberatkan berbanding menukarkan cara pembelajaran subjek Sains dan Matematik kepada bahasa Inggeris kerana jika dasar ini dilakukan, ianya tidak akan dapat mencapai objektifnya yang sebenar.

 

Selain itu, dasar ini bukan sahaja melibatkan peralihan bahasa pertuturan, malahan pelaksanaan dasar ini juga menyebabkan peralihan kepada istilah – istilah tertentu. Pusat Perkembangan Kurikulum (PPK) dan Jemaah Nazir sekolah telah melakukan beberapa kajian yang berkaitan dengan pelaksanaan program PPSMI, antaranya termasuklah kajian penggunaan ‘teaching courseware’ Sains dan Matematik dalam bahasa Inggeris. Dapatan kajian menunjukkan prestasi pelajar dalam subjek Sains dan Matematik masih belum memuaskan. Secara perbandingan, prestasi pelajar di bandar adalah lebih baik daripada pelajar luar bandar dan jurang perbezaan menjadi semakin besar sejak pelaksanaan program PPSMI mulai tahun 2003.

 

Setelah diteliti hingga ke akar umbi, saya tetap dengan pendirian saya bahawa program pelaksanaan PPSMI adalah tidak wajar dilakukan. Walaupun bahasa Inggeris berjaya menjadi sebagai bahasa lingua Franca pada suatu ketika dahulu, tetapi perlu difikirkan juga bagaimana nasib kalangan pelajar luar bandar yang mempunyai kesukaran dan kesulitan jika subjek Sains dan Matematik diteruskan mengajar menggunakan bahasa Inggeris. Seharusnya pihak kerajaan tidak bertegang urat dalam permasalahan ini, sebaliknya sama-sama berganding bahu dalam membaik pulih sistem pendidikan negara dalam memacu negara yang sedang sarat dengan arus kemodenan yang tiada batas. Apa-apa keputusan atau perancangan yang bakal dilaksanakan sepatutnya memberikan keuntungan bukan sahaja kepada negara, malahan juga kepada rakyatnya.

 

Nabilah Husna

Mahasiswa Universiti Malaya

 

Leave a Reply