Penglibatan Dalam Senat: “Hiasan” atau Manifestasi Autonomi Pelajar?
Pentadbiran bersama ataupun shared governance merupakan salah satu elemen penting di dalam agenda pemerkasaan mahasiswa di dalam institusi pendidikan. Namun, struktur perlembagaan, undang-undang atau polisi di dalam universiti merupakan salah satu halangan kepada elemen tersebut untuk direalisasikan dan meletakkan peranan pemimpin-pemipin wakil mahasiswa hanya sebagai perunding sahaja. Faktor ini merupakan salah satu penekan utama kepada insiatif Kementerian Pendidikan Malaysia dalam meminda AUKU untuk memberikan autonomi kepada mahasiswa.
Ini dapat dibuktikan dengan penubuhan Majlis Perwakilan Pelajar dimana ia tidak terlibat secara langsung di dalam pentadbiran universiti dan berperanan hanya sebagai perunding sahaja. Sehubungan dengan itu, ia tertakluk sepenuhnya kepada arahan universiti. Seterusnya, terdapat universiti-universiti awam yang mengiktiraf dewan ala parlimen mahasiswa yang dinamai Dewan Perunding Pelajar.
Nama dewan tersebut sudah menampakkan peranan utama penubuhan dewan tersebut. Usul yang diluluskan di dalam dewan perundingan ini tidak mempunyai elemen mengikat yang menjamin pihak pentadbiran universiti akan melaksanakan setiap daripada usul yang dibincangkan tetapi usul tersebut sekadar bersifat persuasif sahaja. Tetapi jika kita merujuk kepada pemerhatian suasana politik kampus beberapa tahun kebelakang, istilah “perunding” hanyalah indah khabar dari rupa. Sesetengah pentadbiran universiti kerap mengamalkan konsep “laksana sebelum bicara” yang mengakibatkan tercetusnya pelbagai demonstrasi di dalam kampus.
Namun begitu, baru-baru ini mahasiswa dikejutkan dengan berita penglibatan mahasiswa sebagai ahli di dalam senat. Ia merupakan satu naiktaraf daripada hanya jemputan ke dalam mesyuarat senat kepada menjadi ahli tetap di dalam senat. Sebelum kita bergembira dan bersorak dengan berita tersebut, tahukah kita apakah bidang kuasa senat di dalam universiti awam? Adakah penglibatan mahasiswa di dalam senat merealisasikan elemen shared governance yang sebenar atau hanya hiasan sahaja?
Sebelum itu, kita harus memahami apakah yang dimaksudkan dengan konsep shared governance khususnya di dalam perbincangan ini. Idea asas kepada shared governance adalah pemimpin-pemimpin wakil mahasiswa terlibat secara langsung di dalam pentadbiran dan urusan-urusan universiti yang melibatkan mahasiswa secara keseluruhan.
Mahasiswa disini merujuk kepada pelajar berdaftar di dalam sesebuah universiti itu. Ini bermaksud apa-apa keputusan yang ingin dilakukan oleh pentadbiran universiti yang akan memberikan impak langsung atau tidak langsung kepada mahasiswa harus mendapat persetujuan majoriti mahasiswa di sesebuah kampus tersebut. Ini bermakna, ia tidak hanya mengkhususkan kepada satu aspek pentadbiran sahaja sebagai contoh akademik sahaja ataupun kebajikan sahaja tetapi ia merangkumi pelbagai aspek di dalam pentadbiran universiti.
Di dalam universiti awam, senat diiktiraf menjadi salah satu komponen pihak berkuasa universiti. Senarai fungsi senat terlalu panjang untuk dihuraikan di dalam penulisan ini maka saya sarankan anda untuk membuka perlembagaan universiti awam yang berada di laman sesawang google untuk mengetahui lebih lanjut. Tetapi jika kita membaca fungsi senat di dalam perlembagaan, keseluruhan fungsinya adalah lebih khusus kepada pentadbiran dan urusan akademik.
Apa yang dapat disimpulkan melalui pemerhatian kita terhadap fungsi senat serta keterlibatan wakil pelajar sebagai ahli tetap adalah autonomi mahasiswa dalam elemen shared governance tidak lagi direalisasikan sepenuhnya dan hanya berada pada peringkat permulaan kerana mahasiswa diberikan peluang shared governance di dalam pentadbiran dan urusan akademik sahaja. Salah satu impak positif pada peringkat awal ini adalah suara mahasiswa pada peringkat fakulti akan lebih didengari di dalam Senat.
Pihak berkuasa yang lebih membincangkan polisi pentadbiran adalah Jawatankuasa Pengurusan Universiti yang berperanan untuk menasihati Naib Canselor berhubung fungsi pentadbiran dan pengurusannya. Jadi, apa yang boleh dicadangkan adalah untuk menambah bilangan ahli Jawatankuasa Pengurusan Universiti yang bakal diisi oleh Yang-Dipertua Majlis Perwakilan Pelajar ataupun Presiden Kesatuan Mahasiswa.
Cadangan ini akan lebih merealisasikan idea asas shared governance yang telah diterangkan di atas. Akhir kata, jawapan kepada persoalan yang dibangkitkan adalah ia hanya hiasan jika proses shared governance hanya terhenti sekadar aspek akademik sahaja. Jika pentadbiran universiti benar mahu memperkasakan autonomi pelajar dan memberikan peluang shared governance yang menepati idea asas yang dijelaskan di atas, maka cadangan yang diberikan harus dilaksanakan.
Saya sarankan kepada semua mahasiswa untuk memahami struktur pentadbiran serta undang-undang universiti terlebih dahulu untuk mencari ruang-ruang yang relevan bagi memastikan autonomi mahasiswa dapat direalisasikan di universiti anda. Cadangan yang bercita-cita tinggi tanpa berpijak kepada realiti tidak akan membawa mahasiswa kemana-mana. Marilah kita mengamalkan konsep “baca, faham, bicara dan laksana” untuk menunjukkan imej yang lebih profesional dan kritis.
Wan Harith
Setiausaha
Jawatankuasa Penubuhan Kesatuan Pelajar UIAM