POLEMIK ISU : MARAH DAN MARUAH
Pasca Malaysia Baharu, kita dapat saksikan pelbagai polemik isu politik yang berlaku dalam masyarakat. Ada sahaja isu yang dibangkitkan oleh pihak tertentu untuk mengangkat sesuatu kewajaran dengan memanfaatkan ruang-ruang agenda peribadi atau organisasi.
Kita tiada masalah untuk berdiskusi, berwacana dan berdialog secara terbuka atau tertutup. Yang pastinya, sama-sama berlapang dada dan meraikan setiap pandangan yang dilontarkan. Sikap kita yang tidak suka keamanan hari ini dirosakkan oleh bangsa lain harus diseimbangkan juga dalam menjaga keamanan agar tidak dirosakkan oleh bangsa sendiri.
Semua orang mencintai keamanan dan keharmonian. Buktinya masing-masing beriltizam di atas pelbagai agenda seperti, Islam Rahmatan lil Alamin, Islam untuk semua, Agenda Penyatuan Ummah dan lain-lain. Namun, yang merisaukan adalah apabila bertembung, kita mendabik dada, menunjukkan sikap dingin dan bermasam muka. Lantas, menganggap perbuatan kita sahaja yang benar.
Tidak cukup dengan itu, kita bertindak agresif melangkaui beberapa hal utama yang wajib diutamakan. Berlebih-lebihan dalam marah yang melampaui batas kewajaran, akal dan juga agama. Marah itu berjalan dengan cepat di atas keburukan yang akhirnya akan mengakibatkan kehancuran dari arah yang tidak diketahui, dan mungkin juga amarahnya mengheret kepada suatu perkara yang pada akhirnya dia melakukan dosa dan menyebarnya berbagai kehancuran.
NASIHAT HAMKA
Kata HAMKA dalam buku Peribadi, “orang yang selalu keras dan kasar bukanlah orang kuat. Ia lemah dan menyelimuti kelemahannya itu dengan sikap keras. Anjing menyalak di bawah rumah kepada orang yang melintas sambil memperlihatkan taringnya adalah kerana takut kepada yang disalaknya, bukan kerana berani. Jika diambil sebuah batu kecil, belum juga dilemparkan, dia telah lari dengan mengulaikan ekornya.”
Marah itu adalah satu perubahan sikap yang terhasil ketika menggelegaknya darah di dalam hati untuk menghasilkan kelegaan dalam dada. Demikian pendapat Al-Jurjani, marah juga bermaksud menghendaki kemudharatan kepada orang yang dimarahi. Ianya naluri semulajadi manusia yang dijadikan oleh Allah s.w.t untuk keperluan hidupnya. Sebagai satu sifat yang semulajadi, pada asalnya mempunyai emosi marah bukanlah suatu kecacatan atau kekurangan manusia. Namun begitu, emosi marah ini boleh menjadi sifat yang keji, jika kemarahan itu menimbulkan perasaan dendam dan melampaui batas kemanusiaan.
Dalam melepaskan nafsu amarah, jangan pernah terlupa untuk mengutamakan maruah. Menjadi seorang muslim, kita terikat dengan adab. Muslim itu merentas bangsa; Melayu, India, Cina, Benggali, Iban dan lain-lain. Nama sahaja muslim, adab dan akhlak menjadi lambang bagi islam. Adab di rumah, adab di masjid, adab di hutan. Semua ini terikat dengan islam.
Kalau lah hanya dalam polemik isu, kita sanggup menggadaikan adab. Usah dibesar-besarkan laungan slogan penegak kebenaran, usahlah berdiri megah dengan slogan perpaduan, usah bermimpi juga pentadbiran yang adil dan rahmah.
NASIHAT HAMKA LAGI
Kata HAMKA lagi, “mungkin kita benci kerana dia curang, tidak mengenal kejujuran, dan kejujurannya pun tidak pernah pula berkenalan dengan dia, bakhil, parasit, penohok kawan, penggunting dalam lipatan. Akan tetapi tidak pula kurang kita menyayangi seseorang kerana orang itu mahu kita perkuda untuk kepentingan kita sendiri. Atau kita benci bukan kerana ia bersalah, hanya kerana kita sendiri orang pendengki.”
Sebab itu, sangat penting untuk kita budayakan ketenangan dalam apa jua perkara agar kita mampu menilai diri ketika berlaku polemik, sama ada seorang pendengki atau benar-benar penegak kebenaran. Ironinya, kita mengaku sebagai pembawa kebenaran tetapi perkara utama seperti adab di dalam masjid kita langgar. Kata Socrates, ’Kenalilah siapa dirimu, kenalilah peribadimu sendiri.’
Saya menoktahkan tulisan ini dengan beberapa persoalan, dimanakah titik silang antara perjuangan islam dan akhlak diri? Apakah cukup dengan gagasan perjuangan, tindakan kita menjadi halal belaka walhal mengabaikan akhlak?
Abdullah bin Amru meriwayatkan, “Sebaik-baik muslim adalah yang kaum muslimin selamat dari keburukan lisan dan tangannya”
FAKHRIL ZAIDI
Mahasiswa Tahun 2 Universiti Malaya
Aktivis Belia Harmoni Pantai Dalam