YB SYED SADDIQ JANGAN TERLALU TAKSUB DENGAN TUN MAHATHIR
Kebelakangan ini, Tun Mahathir seolah-olah telah melantik YB Syed Saddiq sebagai jurucakap beliau. Melihat kepada kenyataan yang dibuat di oleh YB Syed Saddiq di facebook , mahasiswa merasakan bahawa beliau perlu menunjukkan sikap yang lebih matang. Sebagai seorang pemimpin yang memegang portfolio Menteri Belia dan Sukan, YB Syed Saddiq harus menunjukkan contoh yang baik kepada belia di luar sana. Mahasiswa ingin melihat seorang pemimpin muda yang mempunyai adab, ilmu, dan sifat kepimpinan yang baik. Pertelagahan di antara YB Syed Saddiq dan TMJ harus dihentikan kerana ini menunjukkan sikap kepimpinan beliau yang tidak matang. YB Syed Saddiq seolah-olah terlalu obses dengan Tun Mahathir sehinggakan beliau tidak boleh menerima sebarang kritikan dari pihak lain. Mahasiswa akur bahawa konsep Malaysia baharu yang cuba diketengahkan oleh kerajaan pakatan harapan ialah kebebasan bersuara. Namun begitu, kebebasan bersuara itu tidak perlu disulami dengan keangkuhan dan kesombongan atas dasar kuasa dan peribadi. Sikap sebegini bukanlah satu contoh yang baik kepada anak muda di luar sana.
KESETIAAN kepada Raja dan Negara adalah prinsip kedua dalam Rukun Negara yang harus difahami dan dihayati oleh setiap rakyat tanpa meĀngira bangsa dan agama. Jika ada perselisihan faham diantara YB Syed Saddiq dan TMJ, lebih cantik sekiranya diselesaikan secara aman. Tidak perlu membuat kenyataan yang tidak bermoral seperti yang dimuatnaik di facebook beliau. Mahasiswa tidak mahu melihat keghairan seorang pemimpin islam berpolitik sehingga melupakan asas-asas moral. Mandat yang diberikan rakyat bukanlah tiket untuk beliau menjadi sombong sebaliknya beliau harus lebih gigih melaksanakan tanggungjawab yang diberikan oleh rakyat sebaik mungkin.
Dalam konsep kepemimpinan Islam, seseorang yang dilantik menjadi pemimpin haruslah mempunyai sifat-sifat kepimpinan yang baik. Pemimpin juga mestilah seorang yang dipercayai dan sentiasa menunjukkan perwatakan baik yang ingin dicontohi oleh orang bawahan dan rakyatnya.
Saranan saya, sebagai seoarang Menteri TERMUDA dalam sejarah Malaysia, YB Syed Saddiq harus menunjukkan contoh yang baik kepada golongan muda. Beliau merupakan ikon kepada belia di luar sana dan sewajarnya beliau menunjukkan suri teladan yang baik kepada anak muda. Beliau juga harus berhati-hati dalam membuat kenyataan kerana setiap butir yang ditulis mahupun ditutur oleh beliau sentiasa diperhatikan oleh golongan muda. Lebih malang sekiranya pembawakan buruk beliau ini akan menjadi ikutan anak muda pada masa akan datang. Saya cukup yakin bahawa yb seorang yang berilmu dan berakhlak tinggi. Jangan terlalu taksub dengan pemimpin sehingga melanggar batas moral dan prinsip rukun negara.
Irfan Zamri
Presiden Mahasiswa Nasional