Kita lebih gemar menabur bibit kebencian, menyuburkan nuansa kekalutan, mengulikan dengan tohmahan dan memekarkan api permusahan dek kerana asyik memikirkan soal kepentingan peribadi dan dokongan politik masing-masing. Sifat prejudis itulah yang akan membuatkan kita terus menghukum.
Mengapa tidak?
Kita tanamkan sifat menuntut penjelasan, menyuburkan ruang kedamaian, menyemai bibit keharmonian dan memanjangkan hasrat kasih dan sayang dek kekalutan yang dialami sambil dibakar api perkauman, makian dan cacian. Kerja kerja membina aspirasi politik nilai adalah tugas setiap segmen masyarakat.
Yang menimbulkan provokasi harus nilai tindakannya. Yang mencetuskan pergaduhan harus lihat kembali perilakunya.
Tatkala kita boleh bersatu hati menolak sang pengganas durjana di Christchurch, New Zealand. Mengapa tidak kita menolak budaya gengterisme yang masih menular sebahagian rakyat Malaysia? Tidak perlulah dilabel siapa dan mengapa.
Tatkala kita sebagai mahasiswa boleh memanfaatkan salah satu ruang dalam aktivisme iaitu menyatakan pandangan kepada para pimpinan kerajaan atau pembangkang, tetapi kita sering melihat dalam naratif kerancuan dan kebobrokan.
Kebebasan universiti pada harini haruslah dimanfaatkan sebaiknya oleh mahasiswa. Membawa masuk ahli-ahli politik ke dalam kampus bukanlah suatu kesalahan. Ruang debat, wacana dan diskusi ini mestilah diwarnai dengan kepelbagaian ide-ide yang membumikan.
Tetapi jangan sampai melayani mereka seperti Tuhan. Dialah yang betul segala-galanya. Dialah yang punyai kunci kebenaran. Berpada-pada lah dalam mengamati ketokohan mereka. Takut-takut kita pula yang akan dipermainkan dan dipergunakan. Jangan disebabkan kita punyai sifat taasub yang menyelubungi diri, kita tidak mampu membezakan antara rasional dan emosi. Itulah yang akan memakan diri.
Politik itu harus diterapkan dengan teras yang murni. Politik itu harus ditampilkan dengan nilai-nilai mahmudah yang membentuk pemikiran dan praktikalnya. Agar segalanya menjadi baik dan sentiasa baik.
Budaya seumpama gengsterisme, provokasi politik, cacian malah makian yang membunuh karakter harus dihapuskan. Namun ia tidak mudah, sebab itu kita punyai peranan yang mustahak dalam membentuk demografi politik yang murni.
Luthfi Yusri
Editor Nadi Mahasiswa Malaysia