Dalam mendalami sistem pemilihan pemimpin, ada hikmah mengapa Islam tidak menggariskan satu kaedah tunggal kepada manusia sejagat, sesuai dengan sifatnya sebagai agama bagi sekalian umat Nabi Muhammad SAW.

Dalam pemilihan Khalifah Abu Bakar al-Siddiq, pemilihan terus telah dijalankan di mana beliau telah dipilih dengan persetujuan ramai. Lain pula pada pemilihan Khalifah Umar al-Khattab di mana Abu Bakar telah mencalonkan beliau sebagai khalifah, dan dipersetujui syura. Khalifah Uthman Affan pula dipilih melalui ‘shortlist’ yang diutarakan oleh syura dan Khalifah Ali Abi Talib dilantik melalui pemilihan beramai-ramai. Legasi kekhalifahan pula diteruskan oleh Saiyyidina Muawiyah bin Abu Sufyan, individu yang mula-mula mewariskan jawatan Khalifah.

Dalam perlantikan kelima-lima sahabat radiyallahu ‘anhum ajma’in ini, semuanya mempunyai situasi dan keadaan yang berbeza, yang seterusnya membuahkan natijah yang turut berbeza.

Kenapa Abu Bakar mencalonkan Umar sebagai khalifah? Kerana beliau sedar situasi politik Tanah Arab ketika itu masih lagi gawat dan memerlukan pengganti yang kukuh lagi tegas. Seandainya Abu Bakar memberikan ruang untuk pemilihan, krisis dalaman mungkin berlaku. Makanya beliau terus melantik, senang cerita.

Kenapa Muawiyah mewariskan kekhalifahan? Kerana atmosfera politik Hejaz-Iraq-Syam masih belum pulih daripada pergolakan perang saudara. Bahkan Sayyidina Hassan sendiri menyerahkan serta mengiktiraf Muawiyah sebagai penerus kekhalifahan Islam. Sekiranya dibuka peluang untuk pemilihan, blok pendokong Ahlu al-Bayt pasti akan mencadangkan Ahlu al-Bayt sebagai calon, blok Madinah akan mencadangkan orang Madinah dan sebagainya.

Maka, agak tidak adil untuk mengatakan sistem ini salah, sistem itu benar, sistem ini selari dengan syarak, sistem itu sistem kuffar dan sebagainya, kerana ianya terlalu subjektif.

Contoh; pilihan raya adalah sistem terbaik. Sesiapa yang tahu sains politik akan mampu mengemukakan kelemahan demokrasi, namun dalam konteks di Malaysia, mungkin demokrasi adalah terbaik, kerana hakikat 60 tahun keamanan negara.

Contoh lagi; sistem raja-raja adalah buruk. Ini adalah tidak adil kerana Brunei, Belgium, Sweden, Sepanyol dan Oman elok-elok je aman. Raja yang memerintah tau.

Konklusi, mana ada benda sempurna, namun ketidaksempurnaan itu boleh dikawal melalui pelaksananya. Makanya, cacat cela sistem bukan terletak pada sistem, tetapi pada pelakunya, faham?

Kalau kuku panjang, potong kuku, bukan jari.

Kalau pemimpin korup, cantas pemimpin bukan sistem.

Mahasiswa Potong Kuku
Oxford Dunia Islam

Leave a Reply