Bila ada orang yang memahami politik cuma wujud dalam kerangka parti pembangkang dan parti kerajaan, nampaklah pendidikan politik di Malaysia tersangatlah teruk. Di Malaysia Baru ini aku harap pendidikan politik harus dibuka dan dikembangkan seluasnya tanpa ada sekatan umur, geografi, etnik, agama, kelas masyarakat, sempadan dan sebagainya.
Bagi mereka yang berfikiran sempit atau kurang matang secara mudahnya mengatakan bahawa bila kita melawan kerajaan Barisan Nasional dan PRU 14 mereka runtuh maka kita harus memihak kepada kerajaan baru Pakatan Harapan. Sebegitu mudah? Wahai kawan-kawan sekalian, hidup ini tidak seringkas memilih putih atau hitam. Ada banyak lagi warna lain boleh kita nikmati. Begitu juga dengan politik yang pemaknaannya tidak sempit di antara parti kerajaan atau parti pembangkang sahaja.
Secara ringkasnya bagi aku politik adalah proses mengatur alam ini. Bagaimana individu (sendiri) atau sesebuah kelompok (organisasi) mampu mengatur diri sendiri, manusia, alam sekitar, haiwan, hasil bumi dan sebagainya. Itulah politik, sejauh mana kita mampu berinteraksi dengan semua ini melalui tingkah laku, timbang rasa dan tanggungjawab masing-masing.
Di dunia ini terlalu banyak jalur ideologi politik. Dalam ilmu sosial, ideologi politik adalah sebuah himpunan idea dan prinsip yang menjelaskan bagaimana seharusnya masyarakat berkerja, dan menawarkan ringkasan struktur masyarakat tertentu. Ideologi politik biasanya mengenai diri sendiri atau bagaimana mengatur kekuasaan, dan bagaimana seharusnya dilaksanakan.
Kita ada banyak pilihan dalam ideologi politik yang mana menjawab bahawa politik bukan sahaja ada parti kerajaan dan pembangkang. Antara ideologi politik termasuklah anarkisme, komunisme, kapitalisme, islamisme, neoliberalisme, demokrasi kristian, fasisme, monarkisme, nasionalisme, dan sebagainya. Banyak bukan? Sebenarnya ada banyak lagi. Namun begitu kita juga tidak semestinya memahami politik dari kerangka ideologi sahaja, kita tidak perlu terikat atau disekat apatah lagi kita cuma tahu pilihan yang ada cuma dari sudut kepartian.
Bergerak dalam kerangka politik tidak semestinya masuk ke dalam atau menyokong agenda parti politik. Ada banyak lagi kelompok individu dan organisasi yang berjuang tanpa terkait dengan parti politik. Ada saja manusia bergerak secara solo memperjuang nasib buruh, kemiskinan, alam sekitar, pendidikan dan sebagainya.
Cuma mereka ini biasanya tidak populis dan segak seperti pemimpin politik. Kita juga ada Pertubuhan Bukan Kerajaan yang biasa dikenali sebagai Non-Governmental Organisation (NGO); mereka ini juga sama memilih jalur politik tapi kebanyakannya tidak memihak kepada perkumpulan parti politik. Kita juga ada kolektif seni perlawanan, kolektif buku, organisasi mahasiswa, gerakan buruh, kelompok wartawan, ahli akademik dan sebagainya. Mereka ini semua kebiasaannya dalam persekitaran dan lingkungan politik meskipun bukanlah parti politik.
Secara mudahnya begitulah, aku menulis ini kerana ada pihak tidak berpuas hati dengan aku kerana dulu beria-ia mahu jatuhkan pemerintah korup Barisan Nasional sehingga turun berdemonstrasi, mengkritik secara terbuka, melawan pentadbiran kampus, sanggup ditangkap dan dibuang universiti namun akhirnya aku seolah-olah tidak meraih kemenangan kerajaan baru Pakatan Harapan.
Bila aku baca kiriman Facebook dan komen-komen mereka dari dulu sehingga lepas sahur ini, aku tergerak hati untuk menulis walaupun pada awalnya aku malas mahu layan, aku ada banyak lagi hal perlu diselesaikan. Tapi tidak mengapalah, kali ini aku cuba coretkan sedikit.
Begini, semenjak 2015 aku dan teman-teman mahasiswa bahkan sebelum itu lagi sekitar 2014 sebelum aku masuk universiti, aku dan kawan-kawan seorganisasi memahami politik dari sudut melawan ketidak-adilan. Diskusi, wacana, bacaan, pemerhatian dan pengamatan kami tidak tersekat dari kepentingan kepartian.
Kami mengelakkan diri dari taksub dengan pemimpin politik selain kami cuma mengutip semangat perlawanan dan falsafah-falsafah mereka. Cukup sekadar itu, mereka juga manusia yang tidak maksum atau terhindar dari melakukan kemungkaran. Kita mendokong mereka ketika baik dan melawan ketika mereka menindas.
Aku mendokong kerajaan baru Pakatan Harapan dan bergembira Barisan Nasional runtuh juga akhirnya. Dalam senyap aku mengisi ruang-ruang organisasi bersama anak-anak muda dalam merancang dan bergerak. Teman-teman yang mahu terjun terus ke parti politik silakan, atau sekadar menjadi penyokong juga silakan, atau cukup sekadar menyumbang buah fikir dan tenaga (gerak kerja) macam aku juga jangan dihalang. Aku ada banyak teman dalam kumpulan organisasi anak muda dari daerah, negeri, universiti, kolektif seni dan nasional. Kami bersatu dalam organisasi dan bebas mengkritik antara satu dengan yang lain di luar. Mereka dengan kerja-kerja parti untuk rakyat aku dengan kerja-kerja aktivisme dan seni.
Akhir sekali, mereka yang taksub dengan pemikiran politik-cuma-ada-kerajaan-dan-pembangkang mengatakan aku tidak konsisten dalam berjuang. Aku ketawa kecil. Dari awal keterlibatanku dalam pergerakan politik, sekali pun aku tidak pernah mengisytihar memihak kepada mana-mana parti politik apatah lagi mendaftar keahlian parti. Tiada istilah aku tidak boleh mengkritik mana-mana kelompok parti apatah lagi pemerintah yang bertanggungjawab mensejahterakan rakyat. Kontrak kita dengan rakyat bukan dengan parti. Kita melawan sebab ketidak-adilan bukan soal kepentingan parti politik. Aku dan teman-teman konsisten membuat karya-karya seni, menulis, membuat kerja-kerja aktivisme, memperjuangkan pendidikan anak-anak tercicir, memperjuangkan budaya, tanah, kemiskinan dan sebagainya. Dari awal kami begini dan masih begini, tidak timbul isu tidak konsisten.
Tahap konsistensi dalam berjuang bukan diukur dengan sejauh mana kita mempertahankan kelompok kita, namun apa yang lebih penting adalah sejauh mana kita tetap utuh melawan penindasan, kezaliman dan ketidak-adilan. Terus bekerja dan salam perlawanan!
Mukmin Nantang
Borneo Komrad