Bukan selalu diberi peluang untuk memberi buah fikiran mahupun idea kepada pihak Pentadbiran Universiti.

Sejak menerjah iklim baharu di universiti, aku merasakan ini adalah platform yang paling signifikan untuk memberi pandangan dan komentar kepada pihak Pentadbiran Univesiti.

Ketika siri Townhall Campus Election Committee (CEC) semalam, aku bertekad untuk memberi cadangan penambah-baikan kepada pihak CEC dan Universiti berkaitan PRK UM akan datang.

Seusai ucapan Prof Rafiq dan saudari Vennesa Vanessa Eunice selaku Pengerusi CEC, sesi penerangan misi dan visi CEC ditampilkan. Beberapa agenda reformasi diketengahkan dalam memartabatkan suara mahasiswa, penstrukturan sistem pengundian dan beberapa pindaan akan dilakukan untuk memaknai PRK akan datang.

1. Secara peribadi ianya adalah suatu yang baik untuk membentuk kemandirian mahasiswa dalam mengurus PRK sendiri. Ia adalah salah satu cara memberikan pendidikan politik kepada sang pengurus dan sang pengundi. Apatah lagi penggunaan kertas undi yang akan dikuatkuasakan menggantikan sistem e-voting.

2. Melalui medium inilah penghasilan mahasiswa berkualiti, berkepimpinan dan berdaya saing dapat dilahirkan dengan penuh kompetitif. Kita dahagakan pertemuan idea dengan idea. Malah, pertembungan hujah dengan hujah juga memberi suatu nafas yang murni dalam membentuk idealisme mahasiswa. Ia memberi suatu naratif yang sangat baik dalam menyemarakkan semangat demokrasi di kampus. Budaya pengamalan politik kotor haruslah dihentikan.

3. Aku tegaskan kembali, CEC seharusnya bebas dan telus. Bebas dari segala pengaruh yang boleh mencalarkan imej sebagai badan bebas dalam menguruskan PRK. Telus dalam membuat keputusan dan tidak bias kepada mana mana pihak.

Seputar respon peribadi. Terbuka kepada pandangan dan komentar.

Setiap badan yang digerakkan punyai kelemahan. Kau kena terima hakikat benda itu.

Selamat berjaya teman teman!

 

Luthfi Yusri

Aktivis Belia Harmoni Pantai Dalam

Universiti Malaya

Leave a Reply