Pengenalan

Perkataan budaya sebenarnya adalah perkataan baru dalam kamus Melayu, iaitu sekitar 1960-an selepas diperkenalkan oleh Sutan Takdir Alisyahbana di Indonesia. Perkataan ini didakwa beliau sebagai sesuai bagi mewakili terjemahan bagi perkataan Inggeris culture.

Perkataan budaya ini sebenarnya dibentuk dari dua perkataan, iaitu budi dan daya, yang kedua-duanya adalah ambilan atau variasi daripada perkataan Sanskrit, budh dan daya. Rakan saya Nasha Rodziadi memberitahu bahawa budh bermaksud pengetahuan, bijaksana dan kepandaian, dan daya merujuk kepada memberi, simpati dan kasih sayang. Namun, kedua-dua perkataan ini telah berubah etimologinya dalam Bahasa Melayu Moden.

Kini, budi hanyalah bermaksud pemberian seseorang kepada seseorang yang lain, dan daya bermaksud usaha, tenaga dan kudra melakukan sesuatu. Kalau tak silap saya, etimologinya masih kekal atau sedikit sahaja gelincirnya dalam Bahasa Melayu Kuno dan Bahasa Melayu Klasik (iaitu Bahasa Melayu yang dipakai sebelum 1900 di Alam Melayu). Contohnya, dalam Taj us Salatin karangan Bukhari al-Jauhari pada 1603, budiman bermaksud orang yang berpengetahuan dan bijaksana. Jika demikian, budaya sepatutnya bermaksud memberi atau berkongsi pengetahuan/ kebijaksanaanan/kepandaian.

Sedangkan, kini maksudnya adalah suatu bentuk entiti yang mengikat sesebuah masyarakat/bangsa manusia, contohnya sastra lisan, adat resam, bahasa, pengetahuan dan agama. Lalu, perkataan intelektual yang bermakna kecerdikan, kepandaian dan kebijaksanaan adalah terangkum dalam makna budaya yang sebenar, dan implikasinya tajuk kita Budaya Intelektual merupakan dua perkataan yang berulangan maknanya.

Namun, kalau kefahaman kini, Budaya Intelektual bermaksud kumpulan manusia yang diikat dengan hal-hal kebijaksanaan/kecerdikan/kepengetahuan/kepandaian. Inilah tajuk yang akan kita bicarakan. Kita bahagikan perbincangan ini kepada tiga.

Budaya Membaca/Mentelaah, Memahami dan Mengkritik/Pandangan-Balas
Kepada mahasiswa/i, hal ini sepatutnya tidaklah perlu ditegaskan berkali-kali, sebabnya hal ini sepatutnya dipertegaskan berkali-kali dalam kuliah-kuliah yang dihadiri saban hari sepanjang semester. Namun, pengalaman dan pemerhatian saya menunjukkan bahawa hal ini langsung tidak disentuh oleh pensyarah-pensyarah keseluruhannya.

Menjadi suatu penyelidikan yang bernilai penting untuk kita mengetahui pula kenapakah pensyarah-pensyarah tidak mempertegaskannya? Sedangkan latihan akademik yang dilalui oleh pensyarah-pensyarah berkenaan, pada peringkat sarjana/master dan kedoktoran, sebenarnya sememangnya mengarah kepada pembudayaan tahap ini.

Kenapakah pensyarah-pensyarah yang dilatih membudayakan sesuatu tahap intelektual kemudiannya didapati tidak mengamalkan budaya tersebut tatkala bertanggungjawab mengajar dan menyelia mahasiswa/i? Apakah kerana mereka gagal memahami latihan akademik yang mereka lalui? Ataupun, mereka memahaminya tetapi mengambil jalan lain tatkala mengajar dan menyelia?

Ataupun, mereka merasakan bahawa apa yang mereka dilatih tidak perlu dilatih sama untuk mahasiswa/i? Ataupun, mahasiswa/i tidak mamahami apakah yang disampaikan dan dilatih? Ataupun, pensyarah-pensyarah menumpukan perhatian keada tugasan-tugasan yang tak kena-mengena dengan latihan akademik yang baik?

Ataupun, universiti tidak mempunyai kemudahan membangun keintelektualan, apatah lagi membangunkan budaya intelektual? Dan lain lain permasalahan. Nantilah, mungkin kita akan memahami permasalahan ini menerusi penyelidikan.

Umumnya, budaya membaca/mentelaah adalah suatu sikap psikologi yang sepatutnya ditanamkan kepada setiap mahasiswa/i tatkala mereka menduduki sekolah menengah tinggi ataupun pra-universiti. Jika ini tidak berlaku, makanya setiap subjek yang diambil pada setiap semester di universiti mestilah dipersungguhkan untuk menanamkan sikap suka membaca/mentelaah ini.

Kenapakah membaca/mentelaah penting? Tiada jawapan lain, sikap ini diperlukan untuk setiap mahasiswa/i mendapatkan pengetahuan yang agak umum dan mendalam sekurang-kurangnya tentang bidang pengajian mereka diuniversiti. Berlebihan lagilah kebaikannya jika pembacaan/pentelaahan menjangkau bidang-bidang yang berkaitan malah bidang-bidang yang jauh jangkauannya.

Kuliah-kuliah yang mereka lalui saban semester, jika tidak diperkasakan dengan pembacaan/pentelaahan tentangnya, tidaklah akan membantu kefahaman apa-apa tentang teori-teori dan amalan-amalan yang dipelajari. Melalui pembacaan/pentelaahan, seseorang mahasiswa/i mampu mengetahui pelbagai bentuk kefahaman yang dinyatakan tentang sesuatu perkara/teori, dan bukannya kaku memahami satu-satu bentuk kefahaman yang ditanamkan oleh pensyarah yang dilatih dalam sesuatu bentuk falsafah bidang ilmu.

Malah, lebih jauh, kefahaman yang pelbagai tentang sesuatu teori memungkinkan seseorang mempelajari bagaimanakah sesuatu kritik atau pandangan balas dikenakan kepada suatu kefahaman tertentu.

Malah, memahami bagaimanakah kritik-kritik diberikan kepada teori-teori tertentu yang memungkinkan termusnahnya teori-teori berkenaan. Semua hal ini mestilah dipengalami oleh seseorang mahasiswa/i, dan salah satu caranya adalah menerusi pembacaan/pentelaahan buku-buku akademik/popular-akademik.

Saya selalunya menggalakkan siswa/i yang mengambil kuliah-kuliah saya di UKM agar membaca buku-buku ilmiah atau separa ilmiah dan popular-ilmiah sejumlah sekurang-kurangnya 70-100ms sehari.

Budaya Perbincangan Ilmiah
Kebanyakan kegagalan perbincangan ilmiah yang dikendalikan dikalangan siswa/i adalah disebabkan ahli-ahli perbincangan tersebut gagal pada tahap pertama diatas. Apabila seseorang tidak memahami apakah yang merupakan pokok perbincangan dalam sesuatu perhimpunan, makanya beliau akan gagal untuk mempertanyakan kembali apa-apa permasalahan tentang perbincangan tersebut.

Mempertanyakan samada mengukuhkan kefahaman dalam perbincangan tersebut atau membantah kefahaman perbincangan tersebut. Apabila hal ini berlaku, perbincangan menjadi kaku dan hanyalah satu hala, iaitu seseorang atau dua orang mengetuai perbincangan dan yang lain hanyalah pendengar yang pasif.

Jika ini berlanjutan dua atau tiga kali, kejemuan akan timbul dalam kumpulan perbincangan tersebut, malah akan mematikan langsung perkumpulan perbincangan ini. Lalu, andaian asas untuk membentuk kumpulan perbincangan ilmiah adalah, setiap ahlinya mestilah memahami dengan agak baik mana-mana satu sudut pandang kefahaman bidang ilmiah ini.

Malah mungkin mampu menyenaraikan beberapa buku popular-ilmiah, separa-ilmiah dan ilmiah tentang bidang-bidang yang diketengahkan untuk dibincangkan. Jika andaian asas ini dipenuhi, saya pasti kumpulan perbincangan tersebut akan berkelanjutan agak lama, cukup untuk membentuk kefahaman-kefahaman malah proses-proses ilmiah yang lanjut spt ulasan buku, penyelidikan, tinjauan, temubual, seminar, perbincangan meja bulat, penulisan, penerbitan, dokumentari, dokumentasi dan lain lain.

Bersebabkan andaian asas tersebut tidak dipenuhi, makanya itulah penyebabnya kenapakah siswa/i kita gagal melaksanakan apa-apa kegiatan ilmiah yang agak serius. Paling serius pernah saya perhatikan adalah lawatan ilmiah ketapak-tapak bersejarah, begitupun laporan akhir yang dikeluarkan tidaklah berbentuk akademik.

Itulah sebabnya persatuan-persatuan siswa/i banyak dimanfaatkan oleh pihak luar untuk tujuan politik kepartian. Saya yang agak biasa melaksanakan kegiatan seminar ini kerapkali juga dihubungi oleh siswa/i, malah perkumpulan siswa/i, namun tujuan mereka hanyalah untuk menjadi “kuli” kepada kegiatan-kegiatan ilmiah yang saya laksanakan.

Saya selalu jawab begini, “kalau saudara mahu membantu saya, eloklah saudara berikan tajuk dan siapkan makalah, nanti saya berikan ruang kepada saudara untuk membentang apa juga tajuk yang saudara mahu teliti”. Selalunya akan dibalas dnegan hambar.

Nasihat saya, jika saudara/i sekalian tidak memahami apapun ataupun hanyalah memahami sedikit tentang pembelajaran yang saudara/i dipertanggungjawabkan, janganlah saudara/i mengangkat diri untuk melakukan apa-apa projek separa ilmiah malah projek ilmiah tentang sesuatu ilmu. Agaknya, inilah sebabnya kebanyakan projek siswa/i samada dalam/luar universiti hanyalah berbentuk picisan, dan dicemuh ramai.

Yang mencemuh pula bukanlah sebenarnya tahu sangat apa yang dinamakan projek ilmiah, sebab kualiti pembacaan dan kefahaman juga lemah. Sepanjang saya melaksanakan banyak projek ilmiah yang melibatkan siswa/i universiti dalam 10 tahun kebelakangan, saya mendapati hanyalah sejumlah kurang 10 siswa/i ijazah sarjanamuda mampu menukilkan penulisan dalam apa juga bidang kajian. Ini sangatlah lemah.

Budaya Penyelidikan/Penelitian dan Penulisan
Ini pula adalah suatu tahap yang langsung kini tidak diberatkan kepada siswa/i ijazah sarjanamuda, malah ada usaha untuk menghapuskannya sama sekali. Maksud saya menghapuskan subjek yang dipanggil tesis atau kajian ilmiah tersebut.

Alasannya mudah, kalau siswa/i sepanjang pembelajaran saban semester gagal untuk menggarap apa-apa bentuk kefahaman tentang pengajiannya, dan hanyalah lulus peperiksaan akhir dengan baik atau sederhana baik, maka apa perlunya penyelidikan? Sebab penyelidikan memerlukan pembacaan yang meluas, kefahaman yang agak jitu, dan penulisan yang agak berstruktur.

Pengalaman saya menyelia banyak kajian ilmiah di PPSM menunjukkan bahawa semua kualiti yang saya maksudkan sebagai andaian asas kepada penyelidikan memang tidak dipenuhi oleh siswa/i, malah tidak dipenuhi oleh siswazah sarjana dna kedoktoran. Namun, apakah kita perlu patuh kepada kelemahan ini dan tidak mencari jalan penyelesaian? Teruk sangatlah begitu kalau kita hanyalah berdian diri. Kepada saya, tahap budaya penyelidikan ini sepatutnya mestilah dikuasai oleh seseorang siswa/i tatkala beliau berada pada tahap ijazah sarjanamuda lagi. Maksudnya, beliau mestilah mampu menguasai bidang pengajiannya dengan baik sehinggakan beliau mampu memilih suatu subbidang untuk diteliti sebagai latihan penyelidikan.

Tidaklah saya mahu mempertikaikan apakah kualitinya penyelidikan tersebut, iaitu apakah hanya berada pada tahap dokumentasi teori-teori ataupun penyusunan semula teori ataupun sanggahan kepada teori ataupun membangun teori baru ataupun hanya pada tahap pengambilan data.

Suatu yang amat pasti adalah, seseorang siswa/i disepanjang pengajiannya selama 3 tahun diuniversiti, beliau mestilah mengambil suatu subjek yang dipanggil kajian ilmiah. Terpulanglah, apakah tajuk kajiannya diberikan oleh penyelianya ataupun beliau sendiri yang mencari tajuknya berdasarkan pentelaahannya.

Namun, dipertegaskan, jika tajuknya diberikan oleh penyelianya, beliau itu mestilah memahami bagaimana mahu menggerakkan kajian terhadap tajuk tersebut, dan bukannya di”perkudakan” oleh penyelianya. Kuda memperkuda ini sudah menjdi lumrah diuniversiti. Saya mahu memaklumkan bahawa sebenarnya, tahap kajian ilmiah inilah yang menguji apakah seseorang siswa/i tersebut sebenar-benarnya menuntut selama 3 tahun di universiti berkenaan, dalam bidang pengajiannya.

Segala andaian asas kepada pembangunan intelektual akan diuji tatkala melakukan kajian ilmiah ini. Jika seseorang siswa/i berjaya pada tahap ini, dan merasakan bahawa kajian-kajian yang sama boleh dilakukan kemudiannya, makanya budaya peyelidikan sebenarnya telah tertanam dalam sanubarinya. Inilah sebenarnya matlamat sebenar tertubuhnya universiti. Beliau akan berkhidmat dnegan baik dalam masyarakatnya dikemudian hari kelak.

Dr. Mohammad Alinor Abdul Kadir
PPFPM, ASASI dan IIIT(Malaysia)
27/10/2018

Leave a Reply