MAHASISWA DAN AUKU : INPUT BUAT MAHASISWA BARU
Penulis;
Nazrul Nazir
facebook.com/nckeyz95
Apa itu AUKU?
AUKU atau nama panjangnya Akta Universiti dan Kolej Universiti merupakan suatu Akta yang digubal pada tahun 1971 bagi mengawal selia dan menyeragamkan urus tadbir semua Universiti yang ditubuhkan oleh Kerajaan (dikenali sebagai Universiti Awam) di Malaysia. Ia hanya digunapakai oleh Universiti Awam sahaja. Bagi Universiti Swasta, mereka menggunakan Akta Institusi Pendidikan Swasta 1996. Namun ada beberapa Universiti Awam yang tidak terikat dengan Akta ini seperti Universiti Teknologi Mara (UiTM) yang menggunakan Akta 173 dan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (yang ni tak tahu pakai Akta apa, kalau tak salah Akta Syarikat).
Selain digunakan bagi mengawal selia dan mengurus tadbir universiti, ia juga digunakan bagi mengawal kelakuan mahasiswa. Terdapat beberapa Seksyen dalam Akta ini yang menjelaskan tentang kelakuan mahasiswa sepanjang berada di Universiti.
Kenapa AUKU digubal?
Akta ini telah digubal dan diluluskan di Parlimen pada 17 Mac 1971. Sebelum adanya AUKU, terdapat satu Akta bagi mengawal selia Universiti dan pelajar yang dikenali sebagai Akta Universiti Malaya 1961. Namun Akta ini gagal mengawal mahasiswa-mahasiswa ketika itu dari terlibat dengan aktiviti politik sehingga ramai mahasiswa terlibat dengan gerakan-gerakan yang radikal. Pada masa itu, berlakunya demontrasi Anti Tunku oleh Persatuan Mahasiswa Universiti Malaya (PMUM) di Universiti Malaya pada 29 Ogos 1969 serta demontrasi “Papan Tanda” 5 Oktober 1970 iaitu pertembungan PMUM (sosialis) dan PBMUM (nasionalis) sehingga membuka terlalu banyak kelemahan Kerajaan dalam isu Bahasa Melayu dan Pendidikan. Demonstrasi Perarakan Keranda 152 juga turut berlaku pada 1967, apabila kerajaan enggan mematuhi ‘janji merdeka’ untuk menukar bahasa pengantar Bahasa Inggeris kepada Bahasa Melayu.
Kemudian pada tahun 1974, berlaku kebangkitan mahasiswa secara besar-besaran yang dikenali oleh para aktivis mahasiswa sebagai Era Golden Age of Mahasiswa. Pada ketika ini, gerakan mahasiswa begitu radikal sehingga berjaya menggerakkan aksi masa berskala besar dan mampu mengugat kerajaan. Antara aksi tersohor yang dilakukan pada ketika ini adalah Tragedi Tasek Utara dan Demonstrasi Baling 1974 yang menyaksikan ribuan mahasiswa turun ke jalanraya bagi melawan kerajaan. Atas desakan Dr. Mahathir Mohamad yang merupakan Menteri Pengajian waktu itu, AUKU dipinda dengan lebih keras dan dikuatkuasakan. Pelajar diharamkan untuk terlibat atau menyertai parti politik dan kesatuan sekerja. Satu badan dilantik oleh Kementerian bagi menguruskan hal ehwal pelajar di setiap kampus dikenali sebagai Hal Ehwal Pelajar (HEP). Sebelum itu segala urusan hal ehwal pelajar diuruskan oleh Persatuan Mahasiswa atau Student Union.
Kesan pindaan Akta ini, mahasiswa disekat dari berpartisipasi semasa zaman belajar. Beberapa aktiviti mahasiswa diharamkan seperti Sudut Pidato dan Program Orientasi yang diletakkan di bawah seliaan HEP bukan lagi Persatuan Mahasiswa. Persatuan Mahasiswa direndahkan taraf dengan hanya dikenali sebagai Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) yang mempunyai bidang kuasa yang terhad serta hanya bertindak sebagai ‘staf universiti’ dari kalangan mahasiswa untuk melakukan apa yang diminta dan diarahkan pentadbiran universiti.
Manakala kesan jangka panjang pula, mahasiswa kini menjadi takut untuk terlibat dalam politik akibat ancaman dibuang universiti sekiranya tertangkap. Sindrom takut ini kemudian melahirkan sindrom diam dan ikut sahaja apa kata mereka, dan kini bertukar menjadi sindrom tak peduli yang semakin membarah di kalangan mahasiswa.
Kesalahfahaman tentang AUKU
Sebenarnya, punca ketakutan dan ketidakpedulian mahasiswa di universiti sekarang adalah kerana kesalahfahaman mereka tentang AUKU. Walaupun AUKU digubal bagi mengawal aktiviti pelajar di kampus, ia sebenarnya telah melalui berbagai proses pindaan sehingga kongkongan itu sudah semakin terbuka, cuma tinggal kita sama ada mahu keluar atau terus berada dalam kongkongan yang rapuh.
AUKU telah melalui beberapa proses pindaan sehingga menjadikan rantaian yang mengikat mahasiswa semakin lama semakin lolos. Pindaan pertama pada 1975 bersifat mengikat dengan peruntukan dalam Seksyen 15 yang mana semua pelajar universiti tidak dibenarkan untuk menyertai mana-mana parti politik, kesatuan sekerja, atau mana-mana pertubuhan sekalipun dibenarkan undang-undang kecuali setelah mendapat kebenaran bertulis oleh Naib Canselor. Malah, mahasiswa juga tidak dibenarkan untuk menyatakan sokongan atau simpati atau bangkangan kepada mana-mana parti politik dan kesatuan sekerja sekalipun untuk tujuan akademik. Masa ni hang sebut hang sokong Parti A dekat kawan hang pun boleh jadi satu kesalahan dan boleh dikenakan tindakan tatatertib.
Namun pada tahun 2009, undang-undang ini telah dilonggarkan sedikit apabila Seksyen 15 ini dipinda. Mahasiswa dibenarkan untuk menyertai dan menjadi ahli dalam mana-mana pertubuhan luar yang dibenarkan undang-undang tanpa memerlukan kebenaran bertulis oleh Naib Canselor. Tetapi larangan dikekalkan bagi menyertai parti politik, pertubuhan haram, dan ditambah satu lagi iaitu pertubuhan yang ditetapkan oleh Menteri sebagai tidak sesuai demi keharmonian dan kesentosaan. Kalau Persatuan Mahasiswa Islam ditetapkan Menteri sebagai tidak sesuai, hang tak boleh masuklah. Dan mahasiswa juga dibenarkan untuk menyatakan pandangan dan membuat kenyataan mengenai suatu perkara akademik yang berhubung dengan pengajiannya, walaupun ia berbaur politik.
Pada tahun 2012, sekali lagi Seksyen ini dipinda rentetan keputusan Mahkamah Rayuan dalam kes Hilman Idham v UKM[1] yang dikenali sebagai kes UKM4. Dalam kes ini, mahkamah memutuskan bahawa Seksyen 15 AUKU adalah bertentangan dengan kebebasan bersuara yang termaktub dalam Perkara 10 Perlembagaan Persekutuan. Oleh kerana Perlembagaan adalah undang-undang tertinggi negara, maka Seksyen 15 AUKU secara automatiknya tidak berperlembagaan dan terbatal. Datuk Saifuddin Abdullah yang merupakan Menteri Pengajian Tinggi pada waktu itu telah meminda Seksyen 15 dengan membenarkan mahasiswa untuk menyertai parti politik tanpa perlu mendapat kebenaran bertulis oleh Naib Canselor, menyertai aktiviti serta kempen dan gerakan berunsur politik selagi ia bukan di dalam kawasan kampus, dan menyatakan pandangan, sokongan, simpati atau bangkangan terhadap parti politik secara terbuka. Walaupun Seksyen ini telah dipinda, masih ramai mahasiswa yang takut untuk teribat dengan parti politik kerana bimbang dikenakan tindakan tatatertib.
Adakah mahasiswa masih lagi terkongkong?
Walaupun AUKU telah dipinda, namun masih ada satu lagi yang bersifat mengongkong mahasiswa dari berpartisipasi, iaitu peraturan Universiti yang dikenali sebagai Kaedah-Kaedah Universiti (Tatatertib Pelajar-Pelajar). Ia berbeza mengikut universiti, namun isi kandungannya sama.
Antara yang terdapat dalam peraturan ini adalah larangan menganjurkan perhimpunan di kawasan Universiti tanpa kebenaran, larangan menggunakan pembesar suara dan membuat sepanduk tanpa kebenaran, dan larangan melakukan sebarang aktiviti yang boleh ‘mencemarkan’ nama baik universiti (peruntukan ini selalu digunakan untuk mendakwa pelajar di Mahkamah Universiti) yang tafsiran ‘mencemarkan’ itu terlalu bersifat umum dan subjektif. Sekiranya peraturan ini dilanggar, anda akan dihadapkan ke Lembaga Tatatertib (biasa disebut sebagai Mahkamah Universiti) dan dikenakan tindakan. Paling cliché denda atau gantung.
Namun perlu diingat, keputusan Lembaga Tatatertib boleh dicabar di Mahkamah. Dalam kes semakan kehakiman Fahmi Zainol & Anor. V UM[2] pada 2016, Mahkamah Tinggi Shah Alam memutuskan prosiding tindakan tatatertib oleh Mahkamah Universiti adalah tidak sah dan terbatal. Maka kesemua hukuman yang dikenakan ke atas mereka adalah tidak sah mengikut undang-undang.
Perlukah mahasiswa takut dengan AUKU (dan yang seangkatan dengannya)?
Tidak. Tidak perlu sama sekali! Seperti yang disebut di atas, AUKU telah dipinda. Maka anda tidak perlu takut AUKU menghalang anda dari menyertai mana-mana pertubuhan atau parti politik atau sebarang program berunsur politik. Universiti tidak boleh berbuat apa-apa ke atas anda. Jika mereka membawa anda ke prosiding tatatertib, prosiding ini boleh dicabar di Mahkamah.
Jika anda masih takut, anda harus ingat bahawa hak kebebasan bersuara kita dijamin oleh Perkara 10 Perlembagaan Persekutuan. Perlembagaan adalah undang-undang tertinggi negara, segala yang bertentangan dengannya akan diisytiharkan sebagai tidak sah dan terbatal, termasuk peraturan Universiti. Maka gunakan hak itu sebaiknya.
Maka nasihat abang bagi adik-adik yang bakal melangkah kaki ke Universiti, jangan takut untuk berpartisipasi dan menyertai sebarang aktiviti di kampus. Aktifkan diri anda supaya anda dapat mengenal lebih ramai kawan dan membuka minda anda. Ceburkan diri dengan aktiviti-aktiviti yang rare dan jangan takut untuk mencuba. Zaman mahasiswa adalah zaman anda membina fikrah dan idea anda. Sertailah semua aktiviti, samada bercorak politik atau tidak dan nilaikan. Anda akan jadi lebih cerdik bila bersama dalam aktiviti politik kerana ia merangsang pemikiran anda untuk berfikir. Jangan takut dan teruskan meredah.
Sekian, selamat menuju ke alam kampus.
nc_keyz95
08082016:0103@Bangi
(Nota: Penulis adalah Mahasiswa Tahun 3, Sarjana Muda Syariah dan Undang-Undang di Universiti Sains Islam Malaysia)
—
[1] Dalam kes ini, 4 orang mahasiswa jurusan Sains Politik UKM telah pergi ke Hulu Selangor sewaktu kempen pilihanraya kecil yang diadakan pada 24 April 2010. Naib Canselor UKM telah memberi notis kepada mereka di mana tindakan mereka adalah bertentangan dengan seksyen 15(5)(a) AUKU dan mereka dikenakan tindakan tatatertib oleh Universiti. Mereka mencabar keabsahan (legality) tindakan tatatertib ke atas mereka di mahkamah. Mahkamah Rayuan memutuskan Seksyen 15 AUKU itu bertentangan dengan Perlembagaan Persekutuan dan tidak sah, menyebabkan tindakan tatatertib yang dikenakan ke atas mereka oleh pentadbiran universiti juga tidak sah dan terbatal.
[2] Dalam kes ini, 8 mahasiswa UM telah dikenakan tindakan tatatertib kerana menganjurkan program 50 Tahun Anwar: Dari UM Ke Penjara dengan membawa masuk ahli politik ke kawasan kampus. Mereka mencabar keabsahan (legality) tindakan tatatertib oleh pentadbiran Universiti di Mahkamah Tinggi Shah Alam.