Aku tidak mengenali Dr. Maszlee dengan lebih dekat, melainkan menerusi kuliahnya di Youtube dan beberapa penulisan beliau. Selepas pertemuan mahasiswa-menteri, diikuti dengan jawapan Dr. Maszlee yang tetap dengan keputusannya ingin menerajui kepimpinan IIUM, kumpulan aktivis mahasiswa kelihatan tegas untuk melakukan lebih banyak bantahan sehinggalah Dr. Maszlee ‘didudukkan’ jauh dari kerusi kepimpinan universiti.
Dari sini, kita dapat melihat reaksi masyarakat terhadap para mahasiswa kita yang dilihat semakin kritikal (dan skeptikal) terhadap para politikus. Ada menyatakan pertemuan di restoran itu suatu yang mulia, mengisyaratkan keterbukaan Menteri Pendidikan baharu ini terhadap suara mahasiswa. Ada juga tidak berpuas hati kerana ia diadakan begitu santai sehingga tidak mempamerkan keseriusan Menteri terhadap suara mahasiswa.
Mahasiswa membantah posisi Dr. Maszlee kerana tidak ingin lagi kampus disetubuhi rencana politikus. Dr. Maszlee pula membicarakan visi beliau yang mahukan ‘Oxford di Malaysia’. Masing-masing berdiri dengan prinsip sendiri. Suatu yang mengujakan, bisikku. Mahasiswa sudah panjang taringnya, Menteri sudah lembut dagingnya.
Namun pertemuan santai ini hanyalah permulaan kepada persoalan yang lebih utama; apa agenda Dr. Maszlee?
Realiti Mahasiswa di Universiti
Sebagai penuntut kebebasan universiti, aku faham anti-tesis para kumpulan mahasiswa ini. Ketika zaman BN, universiti itu hanya jadi tempat doktrinasi dan rekrut ahli politik. Tempat untuk mendapatkan undi orang muda, tempat untuk ‘mendodoikan’ pelajar universiti menjadi buruh pantas yang boleh diperah tenaga kerjanya selepas konvokesyen. Mentari kemenangan PH diharap menyinsing sinar harapan yang berpakat menjadikan universiti sebagai tempat belajar dan bukan lagi tempat doktrinasi kerajaan serta batas yang subur untuk budaya takut.
Malah, aku juga mengenali seorang dua pensyarah yang memang tegar mencampuradukkan politik dengan pentadbiran universiti. Bahkan, upacara konvokesyen ijazah mudaku juga ‘dirosakkan’ oleh ‘wakil pelajar’ yang diangkat universiti (kami tidak diberi peluang pun untuk memilih ‘wakil pelajar’ yang sepatutnya berucap) sedangkan beliau hanyalah mantan MPP Fakulti dan bukanpun seorang pelajar yang memenangi Anugerah Diraja atau setara dengannya. Agaknya siapa yang (pernah) berkuasa, itu jugalah yang dijulang di universiti. Bukan pelajar yang hebat dan pintar, tapi yang hebat dan pintar politik kampus sahaja.
Dr. Maszlee ialah tokoh intelektual-politik yang bagus biarpun saban hari sejak rasminya pelantikan beliau, retorik yang dilaporkan media dilihat sudah bertukar menjadi salah seorang ahli politik yang ada PhD dan selonggok penulisan mengenai reformisme Islam dan kepentingan universiti yang bebas serta banyak berkuliah mengenai dunia Islam dengan kaca mata yang lebih akademik dan saintifik. Sejak pelantikannya, aku juga begitu ternanti-nanti apakah pembaharuan yang boleh beliau bawa ke dalam suasana alam pengajian tinggi.
Oxford di Malaysia?
Salah satu janji (atau alasan) beliau untuk masuk ke dalam pentadbiran IIUM ialah untuk merealisasikan idea menjadikan institusi akademik tersebut setara Oxford. Memetik ayat beliau, “Oxford untuk Muslim”. Visi beliau suatu yang besar, tinggi dan diyakini mampu menyuburkan semangat pembaharuan untuk intelektualisme Islam di Malaysia. Reputasi IIUM juga sudah lama melangkah ke arah kemenjadian institusi intelektual Islam Nusantara.
Namun begitu, kita harus meneliti (sekali lagi) terhadap keadaan beliau. Ya, beliau seorang ahli akademik, intelektual reformis Islam tapi beliau seorang Menteri. Lebih utama, PH pernah bermanifesto untuk menamatkan campur tangan ahli politik terhadap universiti. Jika beliau tidak menjawat apa-apa posisi dalam kerajaan, sudah pasti hal pelantikan beliau tidak mengundang bermacam spekulasi. Spekulasi tersebut banyak bersandarkan pada argumen kebebasan universiti dari para politikus, jadi untuk mengenang kembali sejarah pelantikan Menteri sebagai presiden universiti seolah mahu kembali ke universiti zaman BN, ‘kotor dengan kepartian’.
Lain pula halnya jika menuruti pemikiran beberapa ahli akademik yang menyokong kemasukan Dr. Maszlee seperti Dr. Mohd. Faizal Musa (dikenali ramai sebagai Faisal Tehrani), Mohammad Hashim Kamali, Dr. Tajuddin Rasdi malah John Esposito turut menyokong pelantikan Dr. Maszlee. Nama-nama ini adalah nama-nama besar dalam bidang ilmiah lagi-lagi berkenaan dengan Islam.
Dr. Tajuddin Rasdi memberi 4 sebab mengapa Dr. Maszlee perlu diangkat masuk ke dalam pentadbiran IIUM dalam artikelnya ‘Pressing the reset button on Islam and the Academia’*. Aku berpandangan bahawa 4 sebab ini sedikit sebanyak boleh mencerahkan visi ‘Oxford Muslim’ Dr. Maszlee.
- Niat kerajaan untuk mengubah suasana universiti sudah cukup buat masa ini. Kita perlu terima realiti bahawa tidak mudah untuk mengubah keadaan yang sudah lama berlangsung. Kita perlu faham bahawa perubahan perlulah dilakukan dengan berhati-hati, dan pelantikan Dr. Maszlee ialah salah satu langkah meniti ke jalan tersebut.
- IIUM perlu menjadi salah sebuah peneraju ke arah memperbaharui pemahaman masyarakat terhadap Islam yang lebih moderat. Cabaran ini datang daripada pertembungan (dan kini perkhawinan parti) versi Islam milik PAS dan UMNO, dimana kedua-duanya boleh menjurus kepada kederasan aliran ekstremisme Islam dan mengherotkan pandangan masyarakat terhadap Islam jika digunakan bergandingan dengan konsep bangsa ‘ketuanan Melayu’ yang sempit.
- Golongan profesional perlu kembali setia kepada usaha menambahkan ilmu dan menurunkannya kepada masyarakat awam. Mereka tidak harus setia terhadap institusi mahupun parti pemerintah untuk bantuan kewangan semata. Dr. Maszlee dilihat boleh mengembalikan semula tujuan asal pendidik, memulangkan ‘setia’ golongan pensyarah kepada rakyat dan memperbaik fungsi universiti serta menghapuskan kepentingan mengejar ranking universiti.
- Selagi universiti awam dibiayai oleh awam, campur tangan politik itu perlu kerana para akademik di universiti tidak boleh anggap mereka bekerja dalam vakum. Para ahli politik boleh memastikan para akademik bekerja untuk memperbaik masyarakat.
Keseluruhan hujah ini adalah hujah yang valid dan rasional. Ia juga sudah pasti tidak melambangkan kecondongan pada apapun melainkan idealisme reformasi universiti.
Dr. Maszlee Kembali, jadi Ahli Menteri atau Ahli Akademik?
Namun pada pandangan aku, hujah keempat kurang meyakinkan kerana ini lebih kepada mencongak tindakan yang wajar berbanding tindakan seorang Machiavellian. Retorik dan lagak Dr. Maszlee sedikit sebanyak dikatakan sudah berubah nada, jadi apa yang membuatkan beliau, seorang pandai, lebih menonjolkan sisi seorang cendikiawan berbanding seorang ahli politik kelak?
Boleh jadi beliau menyisip perubahan itu di belakang tabir sahaja (yakni hanya para akademik saja merasakan perubahannya) dan lebih berupaya menjadi intelektual sejati di balik pintu. Kalau begitu, conflict of interest tetap wujud di muka depan akhbar. Muka depan dan persepsi yang terhasillah bakal menentukan kontrak sosialnya dengan rakyat kurang dari 5 tahun lagi.
Daripada hujah-hujah ini juga, beliau nampak begitu dipercayai mampu mentransformasikan universiti awam khususnya kepada IIUM dan tujuan memperbaharui pemahaman Islam manhaj Malizy (manhaj Malaysia). Kedudukan, di samping kebolehan intelek beliau menjadikannya model ‘nabi sosial’ Malaysia baharu yang dapat mengheret para pensyarah agar lebih rajin, lebih terbuka dan lebih mesra rakyat.
Ketika beliau menulis pengalaman dan pengetahuannya dalam Orkes Masyarakat Manusiawi (2016), beliau masih orang biasa. Hari ini, mampukah Dr. Maszlee membuka pakaian seorang Menteri, untuk datang ke tengah masyarakat, dan menyarung kain lusuh yang sama?
*Ini ialah terjemahan dan ringkasan yang terbit dari fahaman peribadi. Jadi terdapat kemungkinan berlakunya kesilapfahaman, salah terjemah dan lain-lain. Aku lebih selesa jika para pembaca boleh mentafsirkan hujah-hujah Dr. Tajuddin daripada sumber penulisan asal. Sebarang kesalahan adalah khilaf diri yang penat dan lapar, dan aku memohon maaf atas kesilapan yang tidak disengajakan.