Bersempena dengan Malaysia baharu ini, kita tidak dapat lari daripada hakikat memiliki kecenderungan untuk menilai, menghukum serta membuat spekulasi tersendiri terhadap corak pemerintahan baharu ini.

Sama ada menyatakan persetujuan atau mengkritik pentadbiran baru ini, ia sebenarnya adalah bergantung terhadap bagaimana seseorang individu itu membuat penilaian menurut kaca mata sendiri, atau sekadar dipengaruhi oleh cakap-cakap orang.

Daripada aspek siapa yang memimpin dan siapa yang menjadi pemerintah, sebagai rakyat yang dipimpin maka sudah menjadi satu kewajipan dan tanggungjawab setiap daripada kita untuk mentaati golongan pemimpin tersebut, patuh dan tunduk hormat selagimana pemerintahan mereka tidak jauh tersasar daripada landasan dimana sesuatu sistem itu seharusnya diletakkan.

Malahan, dalam siyasah Islamiah juga sememangnya ada ditegaskan mengenai kewajipan mentaati pemerintah. Islam telah menetapkan bahawa ada kewajipan pada hukum wala’ terhadap golongan pemimpin. Hal ini dapat dibuktikan apabila ada riwayat yang mengatakan; ‘Dengar dan patuh kepada pemimpin walaupun dia memukul belakangmu dan mengambil hartamu.’

Apabila membicarakan mengenai kedudukan sebagai pemimpin, persoalannya bukanlah semata-mata mengenai keadilan seseorang pemimpin mahupun ketelusan dalam pimpinannya, tetapi ia lebih daripada itu. Dimana ada pemimpin, maka disitulah ada yang dipimpin. Justeru, golongan rakyat juga seharusnya tahu dan menyedari bahawa mereka (Baca: Kita) mempunyai peranan kita sendiri dalam aspek pentadbiran negara.

Antaranya, kita harus memahami bahawa antara salah satu contoh fiqh awlawiyat dalam konteks politik atau siyasah adalah; Memperjuangkan atau menentang pemimpin yang sedang berkuasa adalah lebih utama berbanding memperjuangkan atau menentang pemimpin yang sudah pencen.

Justeru, mesejnya disini adalah jelas yakni, kita harus berhenti meneruskan sikap kebiasaan kita seperti terus-terusan mengangkat cerita pemimpin yang sebelum dan terdahulu termasuklah cerita-cerita yang tidak seharusnya diangkat. Sebaliknya, berilah peluang serta laluan kepada pemimpin yang menduduki kerusi kepimpinan terkini untuk melakar cerita kepimpinannya sendiri agar dapat dilihat oleh semua orang. Umum mengetahui bahawa usaha untuk membangunkan sesebuah negara merupakan satu pelaburan besar dalam jangka masa yang panjang.

Harus diingatkan, bahawa segala perihal yang membabitkan pemimpin sekarang perlulah mengatasi perihal pemimpin sebelum dan terdahulu. Sama ada kita menyatakan persetujuan atau mengkritik pentadbiran baru ini, itulah antara sebab mengapa Islam mengangkat amalan demokrasi dan memberi ruang bersuara untuk menyatakan kebenaran.

Menurut sebuah hadis yang pernah diriwayatkan oleh Abu Daud; ‘Jihad yang paling baik adalah berkata benar terhadap raja yang zalim’ atau dalam riwayat lainnya ada menyebut bahawa Rasulullah SAW pernah bersabda, ‘Sebaik-baik jihad adalah kalimah adil di hadapan pemerintah yang zalim.’

Tidak langsung berniat untuk menuduh mana-mana pemimpin sebagai pemimpin yang zalim dan kejam, tetapi yang hanya ingin disampaikan disini adalah kita semua harus tahu dan yakin bahawa kuasa rakyat yang ada pada kita adalah kuasa untuk bersuara dan berdemonstrasi secara aman. Bahkan, masih ada banyak saluran lain yang boleh kita jadikan medium untuk menyampaikan suara rakyat.

Walaubagaimanapun, cara kita menilai dan menghukum sesuatu sistem pemerintahan dan pentadbiran negara haruslah didasari oleh adanya pengetahuan yang baik, ilmu yang absah, serta sifat keterbukaan yang jelas.

Sebagai penegasan kepada isi penulisan ini, suka untuk dipetik satu kata-kata daripada seorang sasterawan Jerman;

“Bilakah manusia itu menjadi manusia yang paling tak berguna? Iaitu, pada saat mereka tidak dapat memerintah dan patuh pada perintah.” (Goethe, 1749-1832)

SOFIYA TAMIZI
Nadi Mahasiswa Malaysia.

Leave a Reply