KENYATAAN MEDIA: MAHASISWA DUDUK BANTAH, YB MENTERI DAN KPM PERLU MENGAMBIL LANGKAH PROAKTIF, KONSTRUKTIF, DAN DIPLOMASI

8 September 2018 | 27 Zulhijjah 1439

Susulan pelantikan YB Dr Maszlee Malik sebagai Presiden Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) baru-baru ini, sekumpulan aktivis mahasiswa yang diketuai oleh saudara Asheeq Ali telah mengambil inisiatif untuk membuat aksi ‘duduk bantah’ di hadapan bangunan Kementerian Pendidkan Malaysia.

Seperti yang dilaporkan media dan portal berita atas talian, tuntutan sekumpulan aktivis mahasiswa itu adalah supaya YB Dr. Maszlee meletakkan jawatan sebagai Presiden UIAM yang baru. Perlu dijelaskan juga bahawa tuntutan ini adalah supaya YB Menteri Pendidikan menunjukkan usaha serius dalam memastikan autonomi universiti dapat ditegakkan.

Sementara di pihak Menteri Pendidikan, sebarang penjelasan tidak dibuat sehinggalah petang Jumaat 7 September, pada hari aksi duduk bantah sedang dijalankan. Malangnya penjelasan itu tidak menjawab persoalan ‘autonomi universiti’ tetapi sekadar menjelaskan unsur-unsur teknikal dalam lantikan dan bayaran gaji.

Pergeseran antara pihak Menteri Pendidikan yang berada jauh di Sarawak dengan kumpulan aktivis mahasiswa yang kekal berada di bangunan KPM sehingga lewat malam menjadi semakin bertambah buruk apabila pihak PDRM mengambil tindakan menahan dan membawa dua aktivis mahasiswa ke IPD Putrajaya. Walau atas alasan apa sekalipun perkara ini terjadi, ia seolah-olah mencurah ‘minyak ke api’ dan memburukkan lagi keadaan antara pihak Menteri-Aktivis duduk bantah.

Hanya pada hari ini, 8 September YB Menteri Pendidikan mengeluarkan kenyataan tentang aksi dan tangkapan aktivis mahasiswa semalam. Sokongan dan bantahan terhadap layanan kepada aktivis mahasiswa yang melakukan aksi semalam juga semakin banyak dikeluarkan oleh ahli politik lain antaranya YB Syed Saddiq dan YB Saifuddin Abdullah. YB Dr Maszlee juga telah mengumumkan bahawa beliau akan berjumpa dengan kumpulan aktivis mahasiswa ini pada hari Rabu untuk menerangkan dan berdialog secara terus dengan mereka.

Persatuan Belia Harmoni Malaysia, dengan penuh rasa rendah diri ingin mencadangkan beberapa perkara buat pihak YB Menteri Pendidikan, mahasiswa secara umum, dan masyarakat awam terutamanya netizen yang menyumbang kepada tersebar luasnya sesuatu isu sama ada yang baik mahupun buruk.

Persatuan Belia Harmoni Malaysia mencadangkan agar:

i) Pihak YB Menteri Pendidikan segera menjawab setiap isu yang mendapat reaksi negatif daripada masyarakat dengan tepat dan mencerahkan terutamanya apabila melibatkan isu mahasiswa.
ii) Pihak YB Menteri Pendidikan melibatkan mahasiswa dengan melakukan interaksi secara dua hala berkenaan segala keputusan atau hal ehwal berkaitan mahasiswa demi mengelakkan geseran seperti ini berlaku lagi di masa akan datang.
iii) Kumpulan-kumpulan mahasiswa terus mengamalkan hak untuk berdemonstrasi dan menyuarakan pendapat.
iv) Masyarakat awam berdiskusi dan memberikan pendapat secara objektif dan tidak mengikut sentimen dan emosi.

Semoga YB Dr Maszlee dan kumpulan aktivis mahasiswa dapat menyelesaikan pergeseran antara mereka pada perjumpaan hari Rabu ini dan seterusnya melancarkan usaha reformasi Institusi Pengajian Tinggi seperti yang dijanjikan.

Ahmad Taqiyuddin Bin Shahriman
Presiden
Persatuan Belia Harmoni Malaysia

Akhlak | Khidmat | Ukhuwah

By Editor

Leave a Reply