REMBAU 30 APRIL 2018. Sebahagian pelajar UITM yang hadir mendengar ceramah oleh Ketua Pegawai Eksekutif Malaysia Life Line for Syria, Ahmad Fahmi Muhd Samsudin dan Presiden of Hunger Hurts Malaysia, Faiz Hadzim pada Program Human C Unity anjuran pelajar Masscomm UITM Kampus Rembau. NSTP/HAZREEN MOHAMAD

September saban tahun merupakan bulan peralihan buat pelajar sekolah menengah ke alam varsiti setelah menempuh lebih dari satu dekad dunia pendidikan formal. Pastinya mahasiswa baru atau freshies berasa bangga tatkala kerap kali mereka dicanang oleh guru atau ibu bapa dengan kejayaan indidvidu tertentu melanjutkan pelajaran ke universiti. Namun perlu diingatkan bahawa semakin tinggi tahap atau kedudukan kita maka semakin tinggi ujian atau cabaran yang bakal diterima.

Realitinya, universiti bukanlah tempat untuk bersuka-ria, bersiar-siar dan berhibur sepanjang masa. Di sana banyak tanggungjawab yang bakal dipikul bermula dari tanggungjawab diri, ibubapa dan masyarakat umumnya. Rata-rata mahasiswa baru tidak sedar kewujudan mereka di universiti adalah untuk kembali berbakti kepada masyarakat luar. Ada yang merasakan bahawa keberadaan mereka di universiti sekadar sebuah transit sebelum menggapai cita-cita.

Berdasarkan setahun pengalaman mengikuti program asasi di salah sebuah IPTA, saya merasakan mahasiswa baru perlu sedar bahawa alam universiti sebenarnya banyak liku-liku dugaan yang bakal ditempuhi. Bermula dari cabaran keterbukaan sosial sehingga kepada cabaran manisnya bicara manusia.

Minggu pertama di universiti adalah acara minggu orientasi yang diadakan bagi menyambut freshies. Maka dari situ kita dapat mengenali suasana universiti yang sebenar. Ada yang dipenuhkan dengan budaya berfikir dan ada juga yang hanya dipenuhkan dengan tarian zumba, cheers yang berlebihan dan sebagainya.

Atas sebab itulah saya terpanggil disini untuk menyatakan amanat buat diri dan freshies sekalian sebagai langkahan awal sebelum menjejakkan kaki ke sana. Boleh jadi amanat ini sekadar bahan bacaan kosong namun hasrat besar saya supaya amanat ini serba sedikit menjadi panduan kepada freshies sekalian, kalau tidak menjadi panduan sekalipun cukuplah sebagai perangsang untuk membina amanat diri.

 

  1. Kewajipan mengutamakan tanggungjawab sebagai mahasiswa berbanding hal-hal lain.

 

Secara umumnya, universiti dikenali sebagai gedung ilmu. Kejayaan kita disini sebenarnya bermula dari semangat kesungguhan menuntut ilmu sewaktu di alam persekolahan dahulu dan seharusnya semangat itu terus membakar setelah berjaya melangkah ke universiti.

Tanggungjawab mahasiswa adalah untuk menuntut ilmu dan memenuhkan ruang-ruang waktu dengan perkara yang bermanfaat. Mereka boleh menghadiri diskusi santai, wacana ilmiah dan forum perdana. Namun senario ini bertukar bagi sesetengah mahasiswa dimana alam varsiti mereka dipenuhi dengan budaya melepak dan menghabiskan masa terluang di pusat membeli belah.

Saidina Umar Al-Khattab juga pernah berpesan, jika ingin melihat masa depan sesebuah negara maka lihatlah pada generasi muda hari ini. Kita juga selalu melaungkan slogan ‘mahasiswa pewaris kepimpinan negara’ , namun semua ini akan terus kaku disini jika mahasiswa berterusan melupakan tanggungjawab mereka.

Seterusnya, mahasiswa terlalu mengutamakan program luaran dan membiarkan jadual kelas pengajian mereka terlepas begitu sahaja. Secara peribadi saya pernah diceritakan tentang hal mahasiswa yang sanggup memonteng kelas semata-mata menjaga bahan kempen parti sewaktu minggu kempen pilihanraya kampus berlangsung.

Perkara sebegini tidak mustahil berlaku namun keutamaan kita ialah untuk menghadiri kelas pengajian yang telah dijadualkan. Sentiasa mengutamakan kelas pengajian kemudian barulah diisikan dengan lain-lain aktiviti yang bermanfaat.

 

  1. Membudayakan sifat menilai dalam semua hal

 

Saya difahamkan bahawa di universiti ini sarat dengan persatuan-persatuan dan projek-projek mega dan ada yang keahliannya ditapis untuk orang-orang tertentu sahaja. Boleh jadi freshies menjadi sasaran untuk ditawarkan menyertai persatuan dan projek tertentu. Saya yakin apabila freshies berdepan dengan situasi ini, hinggap perasaan teruja di hati lantas gagal membuat pertimbangan sewajarnya.

Setiap yang berlaku itu pasti ada kebaikan dan keburukannya. Mahasiswa baru perlu bersikap tenang sebelum membuat sesuatu keputusan. Setiap keadaan yang berlaku itu perlu untuk kita menilai secara teliti terlebih dahulu dan tidak terus bertindak secara melulu.

Sepatutnya setiap mahasiswa perlu mencari ruang untuk membuat penilaian dan keputusan sendiri tanpa termakan bicara manis manusia. Perkara ini sewajarnya diaplikasikan di setiap keadaan sekeliling kita bukan sahaja terfokus di alam varsiti.

Di awal usia belia ini juga, jiwa muda kita ini sering berkobar-kobar untuk menyatakan pandangan dan idea-idea yang dirasakan bernas. Memetik penulisan Dr. Ghazali Din, ‘mahasiswa bukan robot atau insan tidak berjiwa, sebaliknya perlu dididik menyampaikan pandangan bernas terhadap universiti dan kerajaan. Mahasiswa tentunya berhak memberi cadangan bernas secara berhemah yang mencerminkan kewibawaan personaliti mereka asalkan menerusi saluran yang berhemah.’

Terkadang kita mendahulukan emosi berbanding kewarasan akal. Jangan sesekali tersalah beza antara memberi pandangan dan menghukum, mengkritik dan mencaci. Pastikan setiap inci perkara yang ingin dilakukan itu sudah melepasi proses penilaian dan sedia memikul tanggungjawab atas risiko yang mendatang. Jangan tenggelam dalam gelojak api kemarahan takut-takut kelak menjadi bahan sesalan.

Intihanya, negara kita amat memerlukan tenaga-tenaga baru yang mampu membawa Malaysia ke arah negara yang lebih bertamadun dan beradab, maka ayuh sama-sama kita manfaatkan ruang hidup di alam varsiti ini untuk menambah nilai harga diri. Sebagai akhir, saya menyeru semua mahasiswa baru untuk turut menyatakan satu amanat buat diri dijadikan sebagai panduan sebelum kita sama-sama memulakan perjalanan besar ini.

FAKHRIL ZAIDI
Aktivis Belia Harmoni Pantai Dalam

 

Leave a Reply