Ketika negara berada di bawah tampuk pimpinan UMNO, akhbar Utusan Malaysia dijadikan sebagai akhbar utama serta medium yang menjadi perantaraan untuk proses penyampaian maklumat kepada seluruh rakyat. Justeru, akhbar yang digelar sebagai media arus perdana inilah yang menjadi tumpuan utama dalam kalangan masyarakat Malaysia, sama ada buat mereka yang menetap di bandar mahupun luar bandar.

Namun, sejak dulu ramai yang memerhatikan, bahawa media arus perdana yang satu ini sangat banyak melahirkan suara-suara berbaur kritikan serta pemprotesan terhadap pihak di sebelah kiri, iaitu golongan pembangkang.

Saya jadi tertanya-tanya, sekiranya begitu, lalu apakah peranan sebenar akhbar harian sebagai medium penyampaian maklumat mengenai isu-isu semasa yang berlaku dalam negara terutamanya. Adakah hanya kerana pada ketika itu Barisan Nasional adalah kerajaan, kerajaan yang berkuasa dan mempunyai kuasa ke atas sesuatu, maka ‘anak-anak’ syarikat yang bekerjasama dalam urusan akhbar Utusan Malaysia harus menjadi seperti lembu yang dicucuk hidungnya; iaitu yang menurut apa sahaja kemahuan dan perintah yang dikeluarkan oleh jawatankuasa tertinggi pemimpin ?

Semua orang harus tahu, bahawa akhbar harian seperti Utusan Malaysia adalah umpama tempat bergantung untuk rakyat mengetahui perihal sesuatu berita, isu semasa serta sebarang maklumat-maklumat terkini yang berlaku. Oleh itu, sudah menjadi satu kewajipan, kewajaran serta keharusan agar setiap berita yang dipaparkan dalam akhbar dibuat secara telus dan ‘bersih’. Akhbar adalah akhbar. Politik adalah politik. Justeru akhbar tidak boleh dianak tirikan oleh golongan politikus semata-mata untuk membenarkan matlamat dan tindakan politik mereka.

Saya tidak menafikan bahawa sebahagian besar paparan berita dalam akhbar Utusan Malaysia adalah benar, tetapi saya sekadar cenderung berpendapat bahawa terdapat beberapa ‘gaya’ yang perlu diubah serta memastikan setiap penulisan tidak mengandungi unsur-unsur yang berupaya menimbulkan salah faham ekoran daripada ketidaktelusan akhbar tersebut. Atau menurut istilah yang digunapakai dalam kaedah usul fiqh di dalam ilmu Syariah; Ia cenderung kepada mafsadah berbanding maslahah.

Barangkali, kini sudah tiba masanya untuk kita perbahaskan secara lebih meluas mengenai media bebas. Media massa yang ada pada hari ini, atau yang lebih dikenali sebagai media arus perdana ini harus dihapuskan agar ruang dan peluang dapat diberikan kepada mereka yang benar-benar jujur dan berintegriti dalam etika penyampaian maklumat kepada seluruh masyarakat.

Rakyat tidak mahu lagi melihat situasi di mana media-media arus perdana yang dikuasai oleh pimpinan kerajaan hanya asyik menceritakan tentang kebaikan kerajaan dan keburukan pihak pembangkang. Buktinya, apa yang selalu kita perhatikan, wajah-wajah yang seringkali muncul melalui media arus perdana seperti RTM adalah mereka yang datang dari parti kerajaan berbanding parti pembangkang.

Saya jadi agak tertanya-tanya, sejak bilakah kebebasan media harus menjadi hak eksklusif untuk mereka yang mempunyai kuasa sahaja? Sekiranya benar negara kita adalah sebuah negara yang mengamalkan prinsip-prinsip demokrasi, maka aspek media bebas adalah wajar untuk diperkenalkan. Oleh itu, peranan semula akhbar harus dilakukan penambahbaikan. Sekiranya tidak, lalu apa sebenarnya erti tagline akhbar Utusan Malaysia – Penyebar Fikiran Rakyat ?

Dalam masa yang sama, kita juga berharap agar kerajaan baharu Pakatan Harapan tidak akan cuba-cuba untuk mengambil alih media arus perdana ini untuk dikuasai oleh pimpinan mereka, atau sekiranya tidak, pada tahun-tahun yang akan datang, rakyat akan tampil dan bersuara bagi menyatakan rasa tidak setuju dan memprotes tindakan tersebut.

Dalam proses penyampaian maklumat ini, ketelusan harus diangkat disamping membuang ke tepi masalah berat sebelah yang disebabkan oleh perbezaan ‘padang’ dalam kalangan ahli politik serta pemimpin negara. Sebagaimana kita tidak boleh ‘menjual’ ayat-ayat suci Al Quran untuk membenarkan hasrat kita, maka begitulah juga kita tidak wajar mempergunakan akhbar harian untuk berselindung mewajarkan kepentingan diri.

Sekiranya wujud rasa tanggungjawab, amanah dan integriti, saya percaya bahawa akhbar harian seperti Utusan Malaysia akan bergerak dengan sendirinya tanpa dapat dikawal atau dipengaruhi oleh mana-mana kuasa politik.  Akhbar ini tidak sepatutnya berdiri di atas sandaran mana-mana parti politik atau kuasa. Jika pemimpin atasan tahu akan kelemahan rakyat, lalu mengapa memilih untuk mengambil kesempatan ke atas kelemahan mereka. Sedangkan, menurut seorang tokoh politik India bernama Mahatma Gandhi, beliau mengatakan bahawa kehebatan sesuatu negara itu adalah diukur melalui cara ia melayani rakyatnya yang lemah.

Akhbar Utusan Malaysia, jadilah ‘mata dan telinga’ yang adil dan telus untuk semua. Anda tidak bekerja untuk siapa-siapa, tetapi anda bekerja adalah untuk rakyat yang tinggal di bawah satu bumbung negara yang sama serta berkongsi udara dan hasil negara yang sama.

SOFIYA TAMIZI
Nadi Mahasiswa Malaysia.

By Editor

Leave a Reply