Setelah lebih 60 tahun diperintah oleh Barisan Nasional, akhirnya pada hari ini kita akan menerima kerajaan baharu. Saya seolah-olah tidak percaya dengan apa yang berlaku, negeri-negeri yang dahulunya pernah menjadi kubu kuat Barisan Nasional jatuh satu per satu sehingga membawa kepada kemenangan Pakatan Harapan. Jika pada Pilihan Raya Umum 13 (PRU13), kita dimomokkan dengan “Tsunami kaum Cina” maka pada PRU14 “Tsunami rakyat” telah berlaku. Rakyat sudah terlalu muak dengan kerajaan yang terpalit dengan pelbagai skandal dan peningkatan kos sara hidup yang semakin menekan.
**
Permulaan baharu politik Malaysia
Beberapa tahun lepas kebanyakan kita sering beranggapan menukar kerajaan di negara ini adalah sesuatu yang mustahil. Saya melihat kekalahan Barisan Nasional pada kali ini terjadi atas beberapa faktor utama. Saya fikir kita semua bersetuju tanpa Tun Mahathir maka impian untuk menukar kerajaan adalah hampir mustahil. Kehadiran Tun Mahathir dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) telah membantu proses memecahkan undi Melayu dalam kalangan penyokong setia UMNO. Lebih-lebih lagi apabila BN terlalu kerap menyerang peribadi Tun Mahathir berbanding menjawab isu yang cuba dikemukakan oleh Perdana Menteri kita itu. Sebelum kehadiran PPBM – saya tidak fikir orang akan menduga Barisan Nasional akan kalah di Johor, Melaka dan Negeri Sembilan. Terbaru Warisan telah mendakwa berjaya mengumpulkan Ahli Dewan Undangan Negeri terbanyak untuk membentuk kerajaan negeri di Sabah.
Kemudian kekalahan Barisan Nasional juga terjadi akibat “kebusukan” Barisan Nasional. Kes-kes seperti 1MDB, isu GST, derma 2.6 bilion dan lambakan kes skandal telah membuatkan rakyat melihat BN sudah terlalu “toksik” untuk memerintah Malaysia. Tambahan lagi, kesan-kesan daripada tadbir urus negara yang tidak efisien dirasakan secara langsung oleh rakyat. Kos sara hidup yang meningkat, peluang pekerjaan untuk graduan berkurangan, kos pemilikan harta (rumah dan kereta) yang naik mencanak. Rakyat tidak perlu mendengar ceramah politik untuk merasakan tekanan ini kerana ia berlaku secara langsung. Saya yakin ini membuatkan rakyat memilih untuk merehatkan Barisan Nasional. Oleh sebab itu – saya berpandangan paradigma pengundi pada PRU14 kali ini adalah “anti-BN”, dan sentimen ini diterima oleh kebanyakan pengundi.
Selain itu, kita tidak boleh menafikan peranan pengundi muda (bawah 40 tahun) yang mencecah lebih dari 7 juta. Pengundi generasi muda pada kali ini mempunyai akses kepada sumber berita-berita alternatif dan sosial media. Barisan Nasional mungkin mampu menjadi juara dalam kempen-kempen memasang bendera dan poster dan berita perdana, tapi di internet mereka kalah teruk. Internet telah menjadi instrumen yang penting dalam mempengaruhi undi pengundi muda. Tambahan lagi, BN ketika memerintah sering gagal untuk menjawab soalan-soalan yang dikemukan oleh generasi muda sehingga menyebabkan sebahagian besar kelompok itu hilang keyakinan kepada BN. Keadaan ini bertambah buruk apabila parti komponen BN seperti MIC dan MCA kelihatan lemah pada PRU kali ini apabila kedua-dua presiden parti ini kalah.
**
Malaysia masih memerlukan Barisan Nasional
Semalam saya membaca keratan akhbar yang menyatakan beberapa individu dan parti berhasrat untuk meninggalkan Barisan Nasional dan menyertai Pakatan Harapan, bagi saya ia bukan berita yang baik untuk sistem demokrasi di negara kita. Saya berpandangan untuk memiliki sebuah kerajaan yang baik, pembangkang yang kuat dan lantang diperlukan. Hal ini penting – walaupun Tun Mahathir dan beberapa ahli PPBM pernah ahli kerajaan, tapi rata-rata politikus PH akan menjadi ahli kerajaan buat kali pertama. BN pula akan menjadi blok pembangkang buat kali pertama, oleh itu kedua-duanya memerlukan diantara satu sama lain untuk menjadi “watch dog”.
Saya gusar jika terlalu ramai individu dan parti menyertai PH sehingga menyebabkan koalisi itu menjadi terlalu kuat dan dominan. Sebenarnya itulah yang terjadi kepada BN beberapa tahun lepas, sehingga mereka lentok dek kuasa.
Kebanyakan pengkritik kerajaan lepas mungkin akan diberikan jawatan sebagai penghargaan kepada jasa-jasa mereka membantu kemenangan PH. Hal ini bermakna kita akan kehilangan beberapa figura hebat dalam mengkritik kerajaan, vakum ini harus diisi oleh orang-orang BN atau mereka yang tetap memilih untuk sentiasa “menjaga” penguasa.
Saya fikir sekarang adalah detik yang paling “afdhol” untuk BN berevolusi dan bermuhasabah diri. Jika selama ini mungkin mereka terlalu lena dan selesa dengan kuasa sehingga gagal menghidu kebangkitan dan kemarahan rakyat, kehilangan kuasa mungkin akan mengetuk kepala mereka supaya lebih berkerja keras dan amanah. Moga BN akan bangkit dengan wajah dan etika baharu selepas kekalahan ini, saya pasti mereka masih mempunyai kekuatan yang hebat.
**
Janji 100 hari dan reformasi institusi
Masih terlalu awal untuk kita menilai apa yang mampu dilakukan oleh Pakatan Harapan. Namun tempoh 100 hari pertama menjadi kerajaan merupakan waktu yang kritikal untuk mendapat kepercayaan rakyat. Janji-janji 100 hari yang pernah ditawarkan oleh PH perlu ditunaikan. Menarik untuk melihat bagaimana mereka akan mencapai janji-janji ini kerana berhadapan dengan cabaran – “masalah” yang ditinggalkan kerajaan terdahulu. Masa 100 hari akan memberi gambaran awal apa yang akan berlaku untuk 5 tahun mendatang.
Reformasi institusi penting, Tun Mahathir telah menyebutkan beberapa – Peguam Negara dan SPR misalnya. Saya fikir mengambil contoh reformasi institusi kerajaan Selangor semasa peringkat awal PR memerintah dahulu boleh dijadikan contoh yang baik. Diantara reformasi tersebut adalah memberi banyak kelebihan kepada ketua pembangkang di DUN. Bahkan, Selangor merupakan satu-satunya negeri yang membenarkan ketua pembangkang memulakan usul.
Saya juga berpandangan sudah masanya ada satu kekangan kepada ahli Parlimen atau ADUN lompat parti sesuka hati. Saya menyedari kebebasan ini dijamin dalam perlembagaan – namun perlu ada satu “kekangan” seperti memberikan sebab yang munasahah, umumkan harta, bersedia disiasat untuk memastikan aksi itu tidak dilakukan berlandaskan wang dan kuasa semata-mata. Ini merupakan salah satu “reformasi” yang saya fikirkan perlu diambil perhatian supaya undi rakyat tidak dikhianati kerana wang dan kuasa.