Salam reformasi,
Terlebih dahulu pimpinan University of Malaya Association of New Youth (UMANY) ingin merakamkan ucapan tahniah kepada Pakatan Harapan yang berjaya menamatkan pemerintahan kleptokrasi UMNO BN. Difahamkan bahawa Dr. Mahathir telah mengangkat sumpah sebagai Perdana Menteri pada 10.05.2018 dan maka bermulanya era pentadbiran Pakatan Harapan dalam tempoh lima tahun yang akan datang.
Sebagai gerakan mahasiswa utama Universiti Malaya (UM) yang telah lama menentang campur tangan UMNO BN dalam kampus, UMANY sedar bahawa terdapatnya banyak agenda yang akan dilaksanakan oleh kerajaan Pakatan dalam tempoh lima tahun ini. Namun UMANY tetap ingin memberikan peringatan mahupun amaran awal kepada kerajaan baharu ini agar tidak melupai untuk memansuhkan Akta Universiti dan Kolej Universiti (AUKU) dalam lima tahun ini.
Sejak pelaksanaan AUKU pada tahun 1971 sehingga kini, gerakan mahasiswa telah ditekan dan hampir dilenyapkan tidak kiranya sesiapa pemimpin yang menerajui pentadbiran negara dan ini termasuklah di bawah pemerintahan gandingan Dr. Mahathir serta Anwar Ibrahim seketika dahulu.
Bukan sahaja kebebasan mahasiswa dicabuli, malah telah wujudnya puak mahasiswa yang berpihak kepada pentadbiran, iaitu Aspirasi (Penggerak Mahasiswa) ataupun jelmaan nama yang lain, untuk membantu dalam usaha menindas kuasa mahasiswa sebenar. Semua mengetahui bahawa puak mahasiswa yang berpihak kepada pentadbiran adalah dikongkong dan menerima arahan UMNO BN selama ini dan ini merupakan satu fakta yang tidak dapat dinafikan.
Pakatan Harapan di bawah pimpinan Dr. Mahathir telah berusaha untuk mendedahkan skandal 1MDB kepada khalayak ramai dan sama sepertilah pemimpin mahasiswa UMANY yang telah dikenakan tindakan tatatertib lantaran tindakan mengangkat pelekat menentang skandal 1MDB dalam forum 1MDB yang berlangsung di UM.
UMANY menghargai segala tindakan solidariti daripada Pakatan Harapan khususnya DAP apabila pemimpin mahasiswa UMANY dizalimi oleh Bahagian Hal Ehwal Pelajar Universiti Malaya (HEPA) dan UMANY turut tidak akan melupai perihal puak mahasiswa UMNO BN (Penggerak Mahasiswa) yang mempertahankan skandal 1MDB ketika itu.
Selepas Dr. Mahathir mengangkat sumpah sebagai Perdana Menteri baru, Penggerak Mahasiswa yang selama ini dikongkong UMNO BN telah melambaikan tangan kotornya kepada kerajaan baharu Pakatan Harapan apabila menyedari bahawa bos sebenar mereka secara rasminya telah kecundang dalam medan peperangan dan tidak dapat lagi menjaga kepentingan mereka.
Berbeza dengan puak sebegini yang jijik dan sibuk mencari bos baru, UMANY ingin menyatakan bahawa perjuangan untuk menghapuskan AUKU serta mengembalikan Persatuan Mahasiswa (Students’ Union) merupakan tuntutan mustahak bagi para mahasiswa/wi. Adalah pentingnya untuk memberikan autonomi sepenuhnya kepada pimpinan mahasiswa untuk mentadbir kampus seperti apa yang berlaku pada tahun 1960-an.
Sekiranya kerajaan Pakatan Harapan mengambil sikap tidak endah terhadap janji untuk menghapuskan AUKU, maka UMANY akan mengambil pendekatan lawan tetap lawan terhadap Pakatan Harapan lantaran UMANY bukan merupakan Penggerak Mahasiswa yang bersifat kehambaan dalam menggadaikan hak dan kebajikan mahasiswa. Kendatipun Penggerak Mahasiswa mentohmah UMANY sebagai DAP UM selama ini, namun UMANY akan lawan habis-habisan terhadap Pakatan Harapan sekiranya kerajaan baharu ini tidak menunaikan janji dalam lima tahun ini.
Imbas kembalilah rakaman tahniah Najib Razak kepada semua barisan mahasiswa UMNO BN dalam ucapan bajet 2018 sebelum kerajaan Pakatan Harapan bersalaman dengan Majlis Perwakilan Pelajar Universiti Malaya 2017/2018 (MPP) yang ditunjangi Penggerak Mahasiswa yang sibuk #HebatkanNegaraku dalam kempen pilihan raya ini. Tidak lupa juga senyuman manis Presiden MPP yakni Syaiful kepada Najib Razak apabila dipuji atas kejayaan menjalankan arahan UMNO BN ketika ucapan bajet terakhir oleh UMNO BN.
Selamat mereformasi negara!