Menang Tanpa Bertanding di Kampus
Tinta Purnama

Majlis Perwakilan Pelajar merupakan sebuah badan pelajar yang bertindak sebagai pembawa suara dan idea golongan mahasiswa dalam membentuk pembangunan sebuah universiti untuk kemaslahatan para penuntut.

Seiring dengan hakikat negara kita merupakan sebuah negara yang mengamalkan demokrasi, pemilihan perwakilan ini ialah melalui sistem pilihan raya di kampus.

Sistem pilihan raya melibatkan majoriti pengundi untuk menjadikan keputusan yang diperoleh itu relevan.

Namun begitu, sejak kebelakangan ini, sistem pilihan raya kampus semakin tidak berfungsi dan menjurus ke arah satu situasi yang menakutkan- kematian demokrasi di kampus.

Kematian demokrasi di kampus yang dimaksudkan ialah melalui kejayaan sebilangan besar perwakilan ini melalui kemenangan tanpa bertanding.

Ya, menang tanpa bertanding juga merupakan salah satu hasil yang akan diperoleh melalui pilihan raya apabila tiada pihak lain yang ingin bertanding.

Perkara ini melahirkan satu persoalan yang lain, apakah ini bukti ketandusan sifat kepimpinan di dalam mahasiswa negara?

Rata-rata kemenangan tanpa bertanding ini diperoleh tanpa perwakilan tersebut mengeluarkan sebarang manifesto.

Apabila perwakilan ini menjawat kerusi di Majlis Perwakilan tersebut, sebilangan besar mereka tidak mempunyai visi dan misi yang jelas, apatah lagi perjuangan yang mereka ingin perjuangkan sepanjang satu penggal mereka di singgah sana. Mereka sekadar menjadi “penghubung antara pengurusan universiti dan mahasiswa”.

Tanpa haluan kepimpinan yang jelas, adalah wajar mereka ini digelar sebagai “perwakilan pelajar” semata-mata, bukanlah “kepimpinan mahasiswa”.

Mereka tidak relevan mahupun mempunyai kuasa untuk membuat sesuatu yang benar-benar menggubah persekitaran di kampus.

jj

Penggunaan istilah “pelajar” itu sendiri jelas menggambarkan hakikat arena pengajian tinggi negara, yang berusaha melahirkan pelajar yang “buta” dan bukanlah “mahasiswa” yang maha ilmu dan ideanya.

Hatta, perkara ini menyebabkan sebilangan besar Mahasiswa negara tidak cakna akan perkembangan politik negara.

Mereka tidak berupaya untuk menjadi sebahagian dari alam demokrasi di mana ini menyebabkan golongan muda tergelincir dari menjadi agen perubahan sejurus menjadi graduan nanti.

Tidak dinafikan, persaingan politik kampus yang sengit (menang dengan bertanding) masih wujud di institusi pengajian tinggi negara.

Namun begitu, kewujudan “tali-tali halus” dari luar kampus merosakkan pula utopia yang disangkakan masih ada ini.

Persatuan-persatuan mahasiswa di kampus dikawal oleh pihak-pihak berkepentingan dari luar dan menghalang percambahan idea dan kepimpinan sebenar mahasiswa.

Mahasiswa-mahasiswa bebas yang jujur untuk memperjuangkan idea kepimpinan tulen tenggelam dalam lautan politik kotor bawaan luar ini.

Hal ini secara terus merantai dan memenjarakan kebebasan mahasiswa untuk merencanakan idea-idea segar dan murni.

Kesedaran di kalangan mahasiswa untuk memeriahkan arena politik kampus perlu dimulakan dengan segera. Mahasiswa yang bertanding pula perlu merdeka dari rantai ideologi politik luar, sama ada kanan atau kiri. Hanya dengan cara ini sahaja kepimpinan golongan muda pewaris kepimpinan yang sebenar akan lahir.

 

Tulisan ini terbit di Malaysiakini.com pada 21/09/2016

By Editor

Leave a Reply