Oleh: Pahlawan Saiyan

Gendang Pilihan Raya Kampus (PRK) dipalu kembali di seluruh ceruk kampus awam. Para politikus kampus mula mempersiapkan idea-idea politik untuk dipertaruhkan bagi menawan hati pelajar. Ketika artikel ini ditulis, beberapa kampus telah menamatkan proses pilihan rayanya. Majoriti kemenangan telah didominasi oleh gerakan-gerakan pro-establishment. Agak menarik juga untuk disoroti gerakan mahasiswa dalam masa muka ini.

Kebangkitan gerakan-gerakan alternatif di beberapa kampus seperti Demokrat, Angkatan di Universiti Malaya dan Suara Mahsiswa di Universiti Sabah Malaysia –dilihat telah memeriahkan lagi senario pesta pilihan demokrasi pelajar. Sama ada ianya kesan perpecahan pakatan politik pembangkang atau pembinaan alternatif politik buat mahasiswa yang muak dengan sandiwara gerakan politik arus perdana di peringkat nasional, pembaharuan budaya politik ini sekaligus telah memecahkan dominasi norma politik binari (baca: Pro A Vs. Pro M) yang menjadi landasan politik gerakan-gerakan mahasiswa suatu ketika dulu.

Ironinya pertumbuhan gerakan-gerakan politik mahasiswa ini langsung tidak mencerminkan kematangan pelajar dalam berpolitik. Peratusan pelajar yang turun mengundi semakin susut saban tahun. Ini adalah jelas manifestasi “political fatigue” yang mula membekas dalam jiwa pelajar. Tidak dinafikan, budaya ketakutan (culture of fear) yang telah dipasak oleh institusi pemerintah masih kukuh terpasung dalam minda pelajar.

Proses normalisasi budaya ini telah sekian lama merajut minda pelajar agar kekal lesu dan terasing daripada realiti politik. Ditambah pula kejenuhan pelajar yang mengalami bebanan hutang pendidikan telah menyah-manusiakan lagi pelajar untuk hidup dalam keterasingan (alienasi).  Keterasingan ini telah membuka ruang bagi institusi pemerintahan merantai jiwa pelajar untuk akur dan tunduk pada kekuasaan dan hidup untuk melestarikan kitaran sistem sosial sebagai tenaga modal industri.  Namun penulis juga percaya dilema pelajar ini juga terkait dengan kelesuan kepimpinan pelajar sendiri.

Kata dan Aksi

Penulis percaya pilihan raya bukan sekadar gelanggang untuk mempertaruhkan kata-kata, tetapi paling penting adalah untuk membuktikan perlaksanaanya. Kebanyakkan calon sibuk menyolek imej personalitinya dengan gaya karismatik yang disulami dengan retorika untuk menarik perhatian pelajar. Batang tubuh mereka kemas dengan kemeja bertali leher bersarungkan blazer bagi menggambarkan identiti profesionalisme dan elitis mereka kepada pelajar. Begitu juga dengan status atau tweet dalam media sosial. Kalau dahulu dipenuhi dengan status yang mengarut atau pra-matang, tiba-tiba hari ini laman sosialnya telah bertukar menjadi medium untuk berbincang hal ehwal pelajar sok politikus yang bibirnya tak lekang meratib keperihan rakyat.

Penulis memahami tanggungjawab yang digalas oleh calon untuk memenangkan dirinya dan ini adalah mekanisme untuk menaikkan populariti dan publisitinya dihadapan khalayak. Namun amat malang mahasiswa politikus ini gagal untuk memaknai idealisme politik yang lebih praktikal. Kegagalan ini amat jelas apabila pemenang-pemenang ini sekadar menyibukkan jawatan mereka sebagai perwakilan pelajar untuk menjadi proksi antara pentadbiran universiti dan pelajar. Malah tanggungjawab mereka sebagai perwakilan pelajar sekadar dilunaskan melalui KPI program-program yang tidak menyentuh secara menyeluruh pembangunan budaya pelajar yang lebih progresif dan mampan dalam mencipta idea dan mengakar dalam masyarakat.

Pendek kata majlis perwakilan pelajar ini tidak punya kemandirian dalam mencipta idealisme mahasiswa dan berdikari daripada kebergantungan dalam sistem pentadbiran. Mereka sekadar menjadi tukang turut autoriti universiti. Ada pun hal ehwal pelajar yang berbangkit ianya akan dibincangkan di atas meja bulat bersama orang atasan. Selesai atau tidak isunya, biar gambar mesra bersama orang atasan selepas mesyuarat yang menjadi saksi ‘penat lelah’ gerak kerja mereka. Mahasiswa tidak perlu lagi menjadi radikal. Biarlah toleransi dan profesionalisme yang mengajar kita untuk lebih matang dan santun dalam berpolitik, bilang mahasiswa politikus itu.

Begitu juga calon yang merelakan batang tubuh mereka untuk dibonekakan oleh pentadbiran universiti. Mereka ini dengan rela hati menjual idealisme orang muda kepada sang penguasa dan terus terpenjara dalam kekuasaan. Mahasiswa bacul ini secara terang-terangan telah mencabul prinsip demokrasi yang sepatutnya menjadi sebuah pentas yang adil, bebas, dan saksama. Disogok dengan wang atau posisi, kehormatan mereka telah tercabut sebermula mereka mula nyaman untuk menyendeng pada bahu sang penguasa. Sungguh meloyakan penyembah sang penguasa korup ini yang sanggup menunggang nama mahasiswa, sedangkan mereka ini sekadar menjadi alat sang penguasa untuk membungkam suaranya lalu membenarkan segala bangkai kejahatan terus membusuk dan bersarang di atas ajang kekuasaan.

Maka kita sendiri usah hairan kenapa politik dalam kalangan pelajar pada hari ini dianggap sebagai wilayah terasing. Malah bagi pelajar Sains Politik sendiri, subjek-subjek yang diajar sekadar menjadi silibus untuk dihabiskan di universiti –dan bukan menjadi medan perbahasan idea-idea yang diskursif atau dialogik dalam membawa wacana tanding terutama berkaitan dengan hal kekuasaan. Malah kehilangan fungsi kepimpinan mahasiswa untuk merdeka dalam beridealisme dan menonjolkan ciri kepimpinan yang jelas kepada pelajar bakal memperpanjangkan lagi barisan perbudakkan – yang akan berbondong-bondong keluar daripada universiti ini suatu hari nanti. Kewarasan sistem kapitalisme yang disumbat ke dalam fikiran pelajar untuk siap dicetak menjadi pekerja industri bakal meneruskan lagi kitaran hidup sosial yang teralienasi daripada kejelikan realiti dan dihidangkan dengan ilusi konsumerisme.

Kepimpinan yang tandus?

Mengakhiri bicara, penulis menyeru semua pelajar untuk berpadu tenaga bersama demi mengumpulkan kekuatan dan keberanian untuk terkehadapan dalam membicarkan masalah-masalah sistem ekonomi, sosial, politik, dan pendidikan pada hari ini. Sebagai kaum yang tercerah telah menjadi  tanggungjawab asasi kepimpinan pelajar untuk melawan pemerasan budaya, bangun demokrasi universiti dan autonomi mahasiswa, dan cipta idealisme mahasiwa demi mengangkat semula citra mahasiswa merdeka yang mengakar sebagai juru bicara massa.

Pelajar memerlukan kepimpinan yang memahami realiti sistem sosial dan kesannya terhadap kondisi massa. Mereka juga seharusnya mempunyai seni dalam menganalisa segala permasalahan secara kritis serta menyediakan mekanisme untuk keluar daripada jalan perhambaan ini. Leon Trotsky dalam tulisan beliau ‘The Transitional Program’ menyebut:

“All method are good which raise the class consciousness. Their trust in their own forces, their readiness for self-sacrifice in the struggle… The impermissible methods are those which implant fear and submissiveness in the oppressed before their oppressors, which crush the spirit of protest and indignation or substitute for the will of masses…”

Pelajar tidak memerlukan kepimpinan yang sanggup menelanjangkan maruah idealismenya demi bersenggama dengan kekuasaan yang korup dan bobrok. Pelajar membutuhkan kepimpinan yang jelas idealismenya untuk menyatu padukan pelajar dan massa dalam satu barisan solidariti demi menerjang segala perbudakkan budaya. Ayuh jangan biarkan masa-masa kita sebagai pelajar dipersia-siakan. Maka untuk pelajar, bergeraklah bersama idealisme kerana;

“Idealisme adalah kemewahan terakhir yang hanya dimiliki orang muda.” – Tan Malaka.

 

 

By aininasofia

Yang lebih banyak mengajar tentang kehidupan adalah jalan yang penuh manusia & kemanusiaan.

Leave a Reply