Mahasiswa dan Penulisan

Oleh : Nur Kamilea Syasya

Aktivis Harmoni UIAM Gombak

 

Apakah nilai signifikan sebuah penulisan pada pembentukan peribadi mahasiswa? Jawapannya ada pada kata hikmah ini, setitik dakwat mampu membuat sejuta manusia berfikir. Penulisan itu lebih daripada jari dan pena sahaja. Penulisan itu bisa mencari semula yang lenyap dari jiwa. Penulisan itu pada hakikatnya banyak sekali membantu kita mengenali hati sendiri. Kerana, apa yang ditulis itulah menggambarkan apa yang ada di jiwa.

Penulisan sentiasa membuka inspirasi. Namun hanya dengan penulisan juga akan membuat inspirasi terhenti. Memperjuangkan sesuatu penulisan hanya bisa pada kata-kata. Kata-kata tidak semestinya harus menjadi hebat. Sebagai mahasiswa yang mahu membuat perubahan dalam hidup, kita perlu memulakan perubahan tersebut dengan membuat sesuatu yang baharu.

Perkara baharu tidak semestinya sesuatu yang drastik dan memerlukan pengorbanan yang besar. Pilih sahaja sesuatu yang mudah yang tidak pernah atau terlalu jarang dilakukan selama ini. Antara perkara atau aktiviti mudah yang setiap daripada mahasiswa mampu lakukan sekarang adalah dengan menulis. Belajar mengamalkan ilmu menulis yang telah lama ada pada kita.

Menulis sememangnya hal yang mudah akan tetapi sulit untuk dilakukan. Sekali menulis belum tentu hasilnya seperti yang diharapkan. Namun, itu bukanlah penghalang pada mahasiswa untuk terus menulis. Jika gagal, cubalah lagi. Bagi menghasilkan tulisan yang baik dan bermanfaat, prosesnya memang tidak sekali jadi. Generasi dengan bakat menulis yang cemerlang, sudah jarang ditemukan. Jadi sebagai mahasiswa yang inginkan perubahan, gerakkan jari dan pena anda untuk menghasilkan sebuah tulisan yang memberikan inspirasi kepada yang lain. Bukan sekadar menjadi mahasiswa yang hanya banyak menghabiskan waktu dengan duduk di hadapan komputer atau handphone tanpa berbuat apa-apa perubahan.

Generasi kini lebih memilih bercanda, ketawa sesama sendiri dan memilih untuk bermain handphone dengan mengakses media sosial. Sehingga mereka hanya meluangkan waktu dengan berbual kosong dan menyibukkan diri masing-masing dengan perkara tidak berfaedah tanpa meluahkan tinta pada kertas kosong. Padahal menulis itu dapat mempengaruhi kecerdasan otak manusia. Menurut Aleysius H. Gondosari, aktiviti-aktiviti kreatif seperti menulis dapat meningkatkan fungsi otak. Sebaliknya aktiviti yang tidak kreatif, dapat mengurangkan fungsi otak. Menulis sebuah tulisan pendek dapat meningkatkan fungsi otak sebanyak 5%. Dengan menulis sebuah buku, fungsi otak akan meningkat sebanyak 10% hingga 20%. Menulis buku setebal “Laskar Pelangi” atau buku setebal “Harry Potter” dapat meningkatkan fungsi otak sebanyak 20%.

Dalam Al-Quran sudah dijelaskan dalam surah Al-Alaq pada ayat 4 yang bermaksud : Yang mengajar manusia dengan pena dan tulisan. Pada tafsir ayat tersebut juga dijelaskan bahawasanya (Yang mengajar) manusia menulis dengan pena iaitu orang pertama yang menulis dengan menggunakan kalam atau pena ialah Nabi Idris A.S. Sudah jelas orang-orang sebelum kita sudah menulis pada zaman dahulu. Dari huraian kandungan surah Al-Alaq di atas memberikan penjelasan kepada kita sebagai mahasiswa supaya menjadi seorang yang rajin membaca atau menulis. Kita sedia maklum bahawa membaca dan menulis adalah pintu pertama yang dilalui oleh ilmu untuk masuk ke dalam fikiran dan hati manusia.

Ayat di atas juga mengisyaratkan kepada manusia terutama umat Muhammad SAW agar ketika kita telah memperoleh ilmu pengetahuan, maka sebaiknya harus disampaikan semula kepada manusia lain dengan melalui penulisan. Allah-lah yang menjadikan manusia berkemampuan untuk membaca dan menulis dalam memberikan ilmu yang manusia tidak pernah mengetahui apa-pun sebelumnya. Hal ini juga memberikan maklumat kepada masyarakat lain tentang sumber ilmu pengetahuan iaitu datangnya daripada Allah SWT.

Menulis adalah memberikan goresan tinta pada selembar kertas, yang merupakan implementasi peristiwa yang kita alami. Ketika kita cuba untuk menulis, menulis-lah terus mengikuti gerakan tangan, konsentrasi fikiran, dan melayang-lah ke angan masa kecil yang indah. Kebanyakan mahasiswa mengatakan bahawa menulis itu sulit, maka mereka tidak suka menulis tetapi sebenarnya setiap orang adalah penulis. Kerana aktiviti menulis sebenarnya sudah dilakukan setiap hari misalnya menulis surat, memo, membuat tugasan kuliah, serta membuat laporan kelab persatuan.

Suka untuk saya nyatakan petikan daripada sebuah buku bertajuk Curahkan Ghairah Menulis, “Menulis adalah cara kita berfikir, kalau anda tidak tahu, anda tidak tahu menulis. Belajar menulis bererti anda sedang belajar berfikir” Justeru itu dengan menulis mahasiswa dapat meningkatkan kecerdasan intelektual dan linguistik. Belajar menulis juga menjadikan mahasiswa belajar membudayakan budaya membaca. Ketika mahasiswa inginkan menghasilkan sebuah penulisan hebat, mahasiswa itu sendiri perlu memperbanyakkan bacaan kerana membaca dapat meningkatkan pengetahuan seseorang.

Tidak hanya membaca, memahami yang dibaca juga sangat penting. Dengan memahami bahan bacaan, mahasiswa dapat menghasilkan penulisan yang lebih hidup dan hebat. Analoginya, menghasilkan sebuah penulisan tanpa membaca bagaikan memiliki tanaman, tetapi tanaman itu tidak pernah dapat disirami air. Tanaman itu bagaikan hidup di sebuah tanah yang sangat gersang. Membaca adalah bagaikan air bagi tanaman tersebut. Tanaman itu akan dapat hidup subur dan terus tumbuh jika disirami dengan air yang cukup.

Kesimpulannya, mahasiswa perlu menjadi agen utama dalam melakukan sesuatu perubahan. Dengan menulis, mahasiswa dapat mengekspresikan perasaan dan fikiran dalam satu tulisan yang hidup. Pujangga berkata, seribu langkah bermula dengan langkah pertama.

Siapa sangka, kecintaan pada ilmu dan menghasil-kan penulisan menjadikan anda seperti Imam As-Suyuti yang dikenali sebagai Ibn Kutub. Saidina Ali Bin Abi Talib juga pernah berkata “Jika kalian ingin melihat masa hadapan, lihatlah generasi muda pada hari ini.” Mulalah untuk mengubah sesuatu keadaan dengan menghasil-kan penulisan yang hidup dan hebat. Jika bukan mahasiswa, siapa lagi yang akan lakukannya?

 

Leave a Reply