Detik 9 Mei 2018 yang lalu, menjadi suatu titik tolak kepada arus politik di Malaysia. Buat pertama kalinya, rejim Barisan Nasional tumpas dibawah Pakatan Harapan. Tsunami gelombang rakyat memastikan kejatuhan Barisan Nasional ini haruslah diambil pengajaran bahawa rakyat punyai kuasa untuk memilih siapa yang mahu mengetuai mereka. Itulah lumrah sebuah amalan demokrasi. Waktu itu laungan-laungan seumpama hidup rakyat, hidup pakatan dan reformasi bergema di seantero negara malah menjadi zikir harian buat rakyat. Segala mimpi dan harapan tersimpul erat buat Pakatan Harapan untuk mentadbir urus Malaysia dengan lebih baik dan telus.
Jika mahu diceritakan detik-detik bersejarah sewaktu pertukaran kerajaan yang lalu, bukanlah disini tempatnya. Mungkin boleh tanya si Hishammudin Rais. Dia ada buat coretan. Jikalau tidak, tanyalah rakan-rakan anda yang bergiat aktif dalam membantu parti-parti yang bertanding di PRU 14 yang lalu atau tekan carian google sahaja. Hal itu, kita boleh bincangkan dan diceritakan di dalam ruangan lain yang lebih santai. Namun harini, saya mengajak anda semua untuk melihat kembali pandangan yang marhaen ini. Sekadar mahu kita semua berfikir-fikir dan menilai kembali.
Menemui PRK Sandakan akan datang, PH agak bergelut untuk mendapatkan kepercayaan rakyat. Kekalahan PH di tiga Pilihan Raya Kecil (PRK) adalah bukti kekecewaan tersebut. Rakyat menghantar mesej amaran kepada kerajaan PH untuk lakukan sesuatu. Ditambah lagi dengan sebuah statistik yang diuruskan oleh Merdeka Centre berkenaan kepuasan rakyat terhadap PH ialah sebanyak 39% sahaja. Ini menjadi sebuah pemberat bahawa PH haruslah menyusun kembali langkah dan roadmap untuk mendapatkan kepercayaan rakyat. Bukan sekadar mempamerkan hasil yang telah dibuat di media sosial sahaja, tetapi kembali memikirkan sentimen yang realistik untuk disuntik kepada rakyat.
MELAWAN NARATIF UMNO & PAS
Saya berpandangan bahawa isu penggabungan UMNO dan PAS adalah suatu yang mustahak dalam konteks semasa. Demi Survival Politics pasca Malaysia Baharu. Begitulah strategi politik. Kita berpolitik bukanlah hanya mahu menjadi penonton, tetapi kita mahu untuk meraih sokongan dan dokongan orang ramai. Walaupun pimpinan PAS mengeluarkan kenyataan yang saling kontradik antara satu sama lain berkenaan penggabungan ini, namun lihat sahaja siri PRK yang telah dilalui.
Tambah lagi, saya berfikir bahawa penggabungan ini membawa suatu naratif baharu dalam landskap politik Malaysia. Naratif Melayu-Islam. Gabungan antara dua parti yang majoriti Melayu-Islam disamping membawa agenda penyatuan ummah ini mampu merobek usaha-usaha Pakatan Harapan dek lalai dalam bermain sentimen ini. Dimana PPBM dan AMANAH sekarang?
Pakatan Harapan harus melihat realiti ini sebagai sebuah perlawanan dan banyak kerja rumah (homework) yang harus dianalisis dan disusun atur kembali percaturannya. Perlawanan membina naratif. Naratif ini haruslah dicari ubatnya dalam membaik pulih keadaan semasa. Saya boleh katakan bahawa ketidak-jelasan peranan Parti Peribumi Malaysia (PPBM) dan AMANAH pasca PRU ke-14 tempoh hari dalam membawa agenda Melayu dan Islam secara drastik memberi kelebihan kepada UMNO dan PAS untuk memanfaatkan peluang sebegini. PPBM dan AMANAH wajar untuk meniti kembali perjuangan mereka dalam mencorak naratif Melayu-Islam yang baru.
Saya tidak punyai masalah untuk UMNO dan PAS membawa agenda tersebut, cumanya harus diingat bahawa tugas fundamental sebagai parti oposisi pembangkang yang solid harus diutamakan. Fokuskan kepada proses semak imbang yang berkesan dalam berbicara soal polisi dan dasar negara. Nasihat saya, UMNO dan PAS harus mencari sokongan daripada bukan Melayu untuk kekal releven dalam pertarungan idea ini.
KITA LIHAT 4 TAHUN LAGI
Tidak dinafikan bahawa PH punyai banyak kelemahan yang harus diperbaiki. Kekecewaan ini harus diberi perhatian. lambatnya tindakan kerajaan menyelesaikan skandal 1MDB, kecewa kerana harga komoditi sawit dan getah jatuh teruk, kecewa kerana menteri PH kerap mengeluarkan kenyataan yang bercanggah sesama mereka, kecewa dengan tindakan U-Turn, kecewa pemansuhan Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) tidak menurunkan kos hidup dan harga barang, kecewa kerana kerajaan PH mengubah kaedah bayaran Pinjaman Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) dari janji asal manifesto mereka, dan kecewa kerana kurangnya peluang pekerjaan.
Namun kita lihat kebebasan media memberikan tamparan hebat untuk memenangi hati rakyat kembali. Banyak jugak hal-hal reformasi institusi yang dilakukan oleh kerajaan kini antaranya pelantikan Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) iaitu , Ketua Hakim Negara, Ketua Polis Negara yang saya yakin dapat membawa negara ke depan. Saya juga dapati kesungguhan kerajaan untuk memerangi rasuah, meningkatkan kebebasan media, dan menghormati hak-hak politik rakyat dijamin.
Pakatan Harapan harus belajar untuk mengurus naratif di media sosial. Hari ini dunia tanpa sepadan. Segalanya boleh dicapai melalui jari sahaja. Menjadi suatu keperluan untuk wujudnya suatu mekanisme dalam menyaring segala berita yang songsang dan tidak benar asalkan menjaga hak bersuara rakyat. Selain PH seharusnya fokus untuk menunaikan janji yang telah dicanang ketika PRU-14 lalu.
Sekadar berkongsi sedikit pandangan. Semoga penulisan memberikan kita ruang untuk berfikir kembali.
Luthfi Yusri
Mahasiswa Universiti Malaya
Editor Nadi Mahasiswa Malaysia