HAK ASASI PALESTIN: BILAKAH MASANYA?
Oleh : Mohd Akmal Hazieq (Demokrat UM)
Sempena Hari Solidariti Antarabangsa Untuk Rakyat Palestin – 29 November 2018

Isu penindasan rakyat Palestin oleh Israel tidak pernah mempunyai kesudahannya bahkan saban hari Israel terus melancarkan serangan dan penindasan terhadap rakyat Palestin. Suatu kehairanan apabila rakyat Palestin ditindas di negara sendiri. Mereka bagaikan rakyat asal tanah Palestin yang merempat di tanah sendiri. Mereka terpaksa hidup dalam keadaan ketakutan kerana bahaya sentiasa menghantui kehidupan mereka. Ibu ayah rakyat Palestin setiap hari memikirkan apakah nasib anak-anak mereka. Anak kecil Palestin sudah tidak lagi memandang perkembangan teknologi, permainan elektronik, keseronokan bermain di pasaraya seperti mana anak-anak di negara aman yag lain sebagai sebuah aktiviti wajib bagi kebiasaan kanak-kanak . Jika dibandingkan keadaan rakyat Palestin dan rakyat Malaysia, sudah pasti rakyat Malaysia jauh lebih aman, hidup dalam keadaan selesa dan berhibur tanpa memikirkan serangan musuh terhadap diri dan keluarga tercinta.

Ayuh kita renungkan dari sudut ilmu psikologi manusia yang menfokuskan kepada humanistik, Teori Herarki Keperluan Maslow tentang kesempurnaan hidup manusia. Maslow dalam kajiannya mendapati bahawa manusia tidak akan mencapai self-actualization atau kesempurnaan hidup atau kebahagiaan selagi tidak dipenuhi Fisiologi, safety, belonging and love, dan self- esteem. Jika kesemua peringkat herarki ini dipenuhi, barulah kesempurnaan hidup dapat dicapai oleh seseorang manusia atau sesebuah masyarakat.

Namun amat menyedihkan bagi rakyat Palestin yang merempat di tanah air sendiri apabila bukan sekadar kesempurnaan hidup mereka tidak dapat miliki. Bahkan peluang untuk memenuhi self-esteem dan rasa untuk berkasih sayang dengan keluarga, rakan-rakan, jiran tetangga dan lain-lain akibat kematian disebabkan oleh serangan Israel. Selain itu, rasa selamat serta aman tidak dapat dikecapi oleh mereka kerana asas keperluan hidup untuk memenuhi dan memperolehi kesemua heirarki diatas masih tidak dimiliki oleh mereka iaitu keperluan fisiologi manusia. Timbul beberapa persoalan “ Bilakah agaknya rakyat palestin dapat hidup dalam keadaan aman, erkasih sayang antara satu sama lain? Berpeluang mengembangkan potensi serta bakat mereka? Membangunkan keluarga, masyarakat dan negara? Bilakah agaknya rakyat palentin dapat merasai kebahagiaan dalam kehidupan dunia.?”

 

 Rajah 1 menunjukkan hierarki fisiologi.

Persoalannya, berbalik kepada keperluan fisiologi, apakah yang dimaksudkan dengan keperluan fisiologi manusia?Saudaraku sekalian, keperluan fisiologi manusia ini secara ringkasnya adalah keperluan asasi manusia yang sering disebutkan dengan istilah Basic Needs of Human. Manusia akan sentiasa memikirkan tentang keperluan fisiologi mereka untuk meneruskan kehidupan.

Mereka tidak mempunyai waktu untuk memikirkan tentang keseronokan, keamanan, apatah lagi kebahagiaan dalam kehidupan dunia. Apa yang mereka fikirkan seperti; “ Apakah makanan aku untuk hari ini? Dimanakah tempat untuk aku berteduh bagi hari esok? Apakah pakaian aku sehelai sepinggang ini untuk selamanya? Bilakah aku boleh belajar seperti anak-anak remaja lain di negara yang aman? dan banyak lagi persoalan yang berbentuk hak asasi manusia yang mereka fikirkan setiap waktu, setiap saat , setiap detik demi kelangsungan hidup mereka di bumi tercinta mereka iaitu negara Palestin.

Soal keamanan pula, hampir setiap masa mereka diserang dan ditindas oleh Israel. Kehidupan mereka diselubungi dengan rasa ketakutan akan serangan tentera Israel dan bom-bom yang menghancurkan rumah kediaman mereka, membunuh keluarga dan jiran tetangga mereka. Setiap hari mereka memikirkan apakah tempat tinggal mereka ini benar-benar selamat atau akan datang sebuah bom yang akan membedil syurga kecil mereka sekeluarga. Bom yang berdentum di sekitar mereka sudah menjadi seperti hiburan dihari raya bagaikan letupan mercun bunga api sahaja.

Menurut keratin akhbar Sinar Harian bertarikh 11 November 2018, tentera Israel telah membuat serbuan di sebuah sekolah tinggi di bandar Tuqu’ yang terletak 12 Kilometer dari Bailtulaham. Serbuan itu telah mengakibatkan 22 orang pelajar cedera.

Saudaraku, bolehkah kita bayangkan bagaimana perasaan pelajar-pelajar di Palestin setiap hari, dalam keadaan mereka cuba untuk memenuhi keperluan asas mereka, mereka tetap dihalang bahkan mereka dibelenggu dengan rasa ketakutan akan serangan, serbuan, letupan dan segala yang tidak mereka ketahui akan nasib mereka untuk hari-hari yang mendatang. Sudah pasti, fikiran mereka bercelaru, perasaan mereka terganggu dan masa depan mereka tiada siapa yang dapat memberi jaminan.

Dilaporkan lagi, pada 20 Oktober 2018, seramai 77 orang rakyat Palestin ditembak oleh tentera Zionis dan sekurang-kurangnya 156 rakyat Palestin terbunuh sejak 6 bulan yang lalu.
Walaupun secara umumnya sebagai manusia, keperluan dan kehendak duniawi mereka tidak dipenuhi. Sebagi contoh menginginkan kesempurnaan hidup, kebahagiaan, keamanan, peluang membangunkan diri, keluarga dan negara, rasa selasa dan rasa cukup dengan semua keperluan asas manusia. Namun mereka tetap teguh mempertahankan negara mereka Palestin yang tercinta, mereka mampu tersenyum saat di kunjungi oleh sukarelawan seluruh dunia, anak-anak kecil mereka masih mampu bermain-main dalam keadaan bahaya seolah-olah tiada peperangana yang berlaku, semua ini adalah kekuatan dalaman yang mereka miliki hasil daripada tarbiah Islam yang kuat dalam jiwa mereka.

Rakyat Palestin sangat yakin dan percaya akan syurga yang menanti mereka andai mereka syahid hari ini. Mereka yakin akan kebahagiaan yang menanti mereka di Akhirat sana. Mereka yakin akan kemenangan Islam yang akan tiba bila-bila masa. Mereka yakin akan janji Allah bagi orang-orang yang bertaqwa. Ruh Islami telah memberi harapan kepada rakyat Palestin untuk terus berjuang dan hidup dalam dunia yang penuh dengan ujian. Persoalannya, apakah kita di Malaysia merasai sama seperti yang dirasai oleh rakyat Palestin? Pernahkah kita membayangkan Malaysia diperlakukan sepertimana Israel memperlakukan Palestin hari ini? Saya tinggalkan persoalan ini untuk kita bersama-sama menjawab pada diri kita.

Harapan saya, andai hari ini Palestin dapat merdeka dari cengkaman pihak kuku besi, kita amat bersyukur kerana ianya sebuah permulaan kepada rakyat Palestin untuk memenuhi keperluan hidup mereka yang tertangguh berdekat lamanya. Namun, perjuangan rakyat Palestin sehingga hari ini tidak menemui jalan penyelesaian. Perjanjian Palestin dan Israel diakhiri dengan pengkhianatan Zionis laknatullah. Dan kita akan terus tertanya-tanya “ Bilakah hak asasi Rakyat Palestin akan dipenuhi. ?

Leave a Reply